"AKU ingatkan kau datang studio aku ni sebab nak buat video tutorial tudung kau," ujar Elly lalu meletak semula kamera jenis DSLR miliknya dia atas meja kerja. Kemudian, dia melangkah menuju ke ruang santai yang ada di pejabatnya itu. Punggung dilabuh di atas sofa yang berhadapan dengan Qaireena yang nampak gelisah.
Qaireena tidak terus menjawab. Dia bertandang ke pejabat kawan baiknya ini kerana mahu meluahkan rasa kecewanya atas apa yang berlaku semalam. Kegagalan dia memohon pinjaman dari sebuah bank tempatan membuatkan dia kebingungan.
Semalaman dia memikirkan cara untuk mendapatkan modal bagi memulakan perniagaan butiknya di negara ini, namun tidak ditemui solusinya. Rasa menyesalnya masih menebal atas apa yang telah dia abaikan sebelum ini.
"Eh, kau ni okey ke tak? Aku tengok kau gelisah semacam ni kenapa?"
"Loan aku tak lepas." Terus sahaja Qaireena ke topik utama. Malas dia mahu berbasa-basi.
"Apa?! Loan kau tak lepas? Sebab?" Elly terkejut.
"Report CCRIS aku tak cantik. Sebelum ni aku ada culas dan lambat bayar loan PTPTN aku. So, record CCRIS aku tak cantik. Pihak bank tak percaya aku akan bayar balik loan aku mengikut jadual dan jumlah yang mereka akan tetapkan kalau permohonan aku diluluskan." Qaireena memilih untuk berterus terang.
"Dah dekat tujuh tahun kau habis belajar, kau masih tak habis bayar hutang PTPTN kau? Kau biar betul?" Elly terkejut untuk kali kedua.
"Aku bukan tak bayarlah. Cuma aku kadang-kadang bayar lambat dan terlupa nak bayar."
"Terlupa?" Elly terkejut lagi untuk kali yang ketiga. Terbuntang matanya memandang Qaireena yang sudah tersengih kerang di hadapannya.
"Inilah manusia, masa nak buat pinjaman semua tak lupa. Masa nak bayar, boleh buat-buat hilang ingatan."
"Aku tak perasanlah, Elly. Seingat aku, aku bayar ikut jadual. Tapi bila aku tengok balik record CCRIS aku, ada setahun tu aku tak bayar langsung. Terkejut aku."
Wajah marah Elly pudar perlahan-lahan. Tiba-tiba dia mula ditampar rasa serba salah. Dia tahu punca Qaireena tidak membayar pinjaman pelajarannya selama setahun itu.
"So, macam mana kau nak settlekan masalah kau tu? Kau try bayar habis loan PTPTN kau tu, lepas tu minta pihak PTPTN clearkan nama kau, tak boleh ke?" cadang Elly seraya melencongkan sedikit topik perbualan. Bimbang ada yang terbongkar.
"Aku ada tanya pegawai bank tu. Dia kata hal tu tak menjamin loan aku akan diluluskan. Ibarat nama aku dah kotor. So, mana-mana bank pun susah nak percayakan aku. Perlu ke aku pinjam pada along?"
"Hei, kau jangan nak jadi gila. Kau tak sayang nyawa kau? Lintah darat ni, faedah bayaran balik dia tinggi tau? Kau jangan nak cari fasal." Pantas Elly menolak cadangan gila kawan baiknya itu.
"Dah tu, cara apa yang aku ada?" keluh Qaireena, kebuntuan idea.
"Kau dah bagi tahu parents kau?"
"Belum dan aku tak akan bagi tahu dia orang. Aku tak nak susahkan dia orang. Loan yang aku nak buat tu bukan setakat ratusan ribu. Lebih sejuta."
Elly garu kepala yang tidak gatal. Dia sedia maklum tentang rancangan Qaireena yang mahukan lot kedai eksklusif untuk butiknya. Sebab itu jumlah pinjamannya agak tinggi.
"Apa kata kau buka butik kecil dulu. Dah balik modal nanti, perlahan-lahanlah kau besarkan butik kau." Elly sekadar mencadang. Hanya itu idea yang terlintas dalam fikirannya dan bisa diterima akal.
Qaireena diam sejenak sambil melentokkan kepala pada penyandar sofa. Mendongak dia melihat siling pejabat Elly itu. Dia berharap akan muncul idea yang tidak disangka-sangka ketika ini. Malangnya, harapan hanya tinggal harapan sahaja.

ANDA SEDANG MEMBACA
JANGAN HILANGKAN DIA
Ficción GeneralTajuk: Jangan Hilangkan Dia Penulis: Hazel Jay Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-0992-54-9 Harga: RM24.00 (Semenanjung) // RM27.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Februari 2017