Seminggu berlalu
Aiman dalam perjalanan pulang ke Melaka setelah menghabiskan masa selama tujuh hari di kampung, merehatkan fikiran dan memulihkan semangatnya yang hilang. Biarpun luka-lukanya sudah kering, namun rasa sakit masih ada. Doktor sendiri cakap berkemungkinan besar tempoh pemulihan sepenuhnya mengambil masa lebih lama berbanding biasa.
Seminggu di kampung, Aiman berehat saja sepanjang masa. Terbaring di atas katil tanpa menyentuh langsung telefonnya yang banyak kali berdering. Memang kalau berada di kampung, Aiman lebih suka menjauhkan diri dari telefon. Dia mahu rehat sepuas-puasnya. Lebih-lebih lagi apabila dia sendiri menerima layanan seperti anak raja. Makanan dihidangkan sampai ke bilik. Minta apa saja, memang akan diberi. Seronok betul jadi orang sakit! Pak Cik Ayob pun tak berani nak sentuh Aiman. Bila dia datang dekat, Aiman akan mendesis seperti ular tedung selar.
"Gila apa orang tua ni? Aku tengah sakit pun nak menyangap lagi?" bisik Aiman sewaktu dia didatangi oleh Pak Cik Ayob pada satu malam.
Mujur saja tiada perkara yang tidak diingini terjadi antara mereka berdua. Aiman pulang semula ke Melaka tanpa membawa pengalaman ngeri bersama. Dia yang sempat mengulang kaji pelajaran untuk peperiksaan akhir sudah bersedia untuk menghadapi hari-hari yang mendatang dengan tenangnya. Kepulangannya juga tidak dimaklumkan kepada rakan-rakan. Seperti biasa, Aiman lebih suka memberikan kejutan. Tak mahu menyusahkan, katanya.
Ketika berada di dalam bas, hampir keseluruhan masanya dihabiskan dengan tidur. Aiman paling suka tidur di dalam bas. Dia sendiri tidak tahu kenapa. Sedapnya tidur di dalam bas hanya Tuhan saja yang tahu. Lebih-lebih lagi apabila kerusi di sebelahnya kosong tanpa penumpang. Memang seronoklah Aiman dapat ruang besar yang cukup selesa.
"Nanti dah habis exam, telefonlah. Pak Cik Ayob datang jemput bawak balik barang-barang semua kalau ada." Aiman teringat pesan ibunya sebelum dia berangkat pulang tadi.
"Jemput bawak balik barang-barang apanya? Orang duduk rumah sewa, bukannya kolej lagi," jawab Aiman, membuat Puan Faridah terkedu sebelum tertawa.
Aiman tersenyum sendiri mengenang kembali insiden tadi.
Setelah hampir enam jam berada di dalam bas, akhirnya dia tiba juga di Melaka Sentral. Ada satu perasaan nostalgik ketika dia turun dari bas itu. Kali terakhir dia berada di Melaka Sentral adalah waktu Cecilia menghubunginya dulu untuk memaklumkan tentang pembunuhan Haekal. Serta merta hati Aiman menjadi runtun seketika. Fikirannya beralih arah kepada Dzul dan Asyraf.
Selama seminggu, Dzul dan Asyraf langsung tidak muncul dalam kotak fikiran. Tapi hari ini, bayangan mereka berdua kembali menghantui. Aiman masih terkilan dengan apa yang telah Dzul lakukan. Tapi dia tak mahu terus berdendam dengan orang yang sudah tiada. Dzul telah pun menyesali perbuatannya. Sehingga dia sanggup membunuh diri sendiri kerana tidak larat lagi menanggung rasa bersalah. Tentu ianya sangat menyakitkan.
Pin! Pin!
Sebuah kereta hampir terlanggar Aiman apabila dia melintas jalan tanpa memandang ke kiri dan ke kanan. Aiman menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia tidak mahu terus diganggu oleh bayangan Dzul dan Asyraf lagi. Dia pantas mencari teksi berdekatan untuk pulang semula ke Saujana Heights di Lendu.
"Pak cik, Saujana Heights, Lendu" kata Aiman kepada seorang pemandu teksi yang kelihatan sudah terlalu tua untuk bekerja. Aiman membahasakan pemandu teksi itu sebagai pak cik biarpun secara logiknya, lelaki itu sudah cukup usia untuk dipanggil atuk.
"RM50" pak cik itu memberitahu Aiman sebelum Aiman naik.
Aiman yang faham bagaimana sistem teksi di Melaka berfungsi langsung tidak membantah. Dia hanya menganggukkan kepala dan masuk ke dalam teksi itu bersama-sama beg galasnya.
**********
Aiman tiba di Saujana Heights, Lendu ketika matahari mula tenggelam. Dari jauh dia dapat melihat rumah sewanya bersama rakan-rakan yang lain dalam keadaan gelap, tidak berlampu.
"Diorang keluar ke? Hm, menyesal aku tak call awal-awal," gumam hati Aiman sewaktu dia menghulurkan RM50 kepada pak cik pemandu teksi tadi. "Terima kasih, pak cik!"
Aiman menunggu sehingga teksi itu berlalu pergi sebelum masuk ke dalam rumah. Memang sah kesemua penghuni dalam rumah itu keluar. Satu kereta pun tak ada. Ke mana sajalah mereka pergi? Mengulangkaji pelajaran di perpustakaankah? Tak mungkin! Aiman kenal mereka. Mereka tidak segigih itu. Tentu mereka pergi tengok wayang! Aiman membuat andaian.
Sebaik saja membuka lampu-lampu yang memang patut dibuka pada waktu malam seperti lampu ruang tamu dan lampu luar rumah, Aiman menghubungi Brandon. Dia menanti penuh sabar sebelum Brandon menjawab panggilannya.
"Helo?" suara Brandon kedengaran.
"Helo, Brandon. Korang kat mana?" tanya Aiman.
"Aku dekat KL sekarang dengan Boboy. Kenapa? Kau dah sampai Melaka ke?"
Aiman menjulingkan biji mata mendengar nama Boboy. Bukan main galak sekali Brandon dengan Boboy sekarang. "Ya. Semua orang tak ada kat rumah. Tu yang aku call tu."
"Sorry weh. Aku rasa diorang pegi DP or MP kot. Try la call diorang," Brandon mencadang.
"Okey" Aiman terus mematikan talian.
Dia berfikir sejenak. Tak payahlah susah-susah telefon diorang. Let them have fun, Aiman. Aiman terus membatalkan hasratnya untuk menghubungi kawan-kawannya yang lain. Mungkin mereka sudah terlalu penat mengulangkaji pelajaran. Jadi mereka mengambil keputusan untuk keluar dan menghilangkan stress sebelum kertas pertama. Kertas yang Aiman tak dapat duduki kerana apa yang berlaku antara Cecilia dan Puan Raihan.
"Oh well!" kata Aiman sebelum naik ke biliknya di tingkat atas.
Tangga menuju ke biliknya berada dalam gelap. Aiman pantas menghidupkan lampu dan masuk terus ke dalam biliknya. Sekali lagi, suis lampu dihidupkan selepas dia masuk ke dalam. Dia meletakkan begnya di atas katil dan cuba menyusun buku-bukunya yang tidak teratur. Tentu angkara Brandon! Selepas siap, Aiman mencapai tuala mandi dan terus berjalan masuk ke bilik air.
Dia mengambil masa selama hampir 40 minit di dalam kamar mandi. Semuanya kerana dia harus berhati-hati takut lukanya terkena air. Ianya belum kering jadi jika terkena, pedihnya akan rasa seperti daging kulitnya dicucuk-cucuk dengan lidi.
Usai membersihkan diri, Aiman keluar dan bersedia untuk menghubungi rakan-rakannya. Dia mahu mengirim makanan dari mereka kerana dia sudah lapar. Sewaktu dia sedang menyidai tuala mandinya pada jendela tingkap, satu susuk tubuh lelaki datang menghampiri dari belakang.
"Hai Aiman!" tegur lelaki itu, membuatkan Aiman tersentak dan hampir terjatuhkan tuala mandinya tadi.
Aiman mengurut-urut dadanya sambil menoleh ke belakang. Dia membuntangkan mata melihat lelaki di hadapannya. "Apa kau nak? Macam mana kau masuk rumah ni hah?"
"Relaks. Kau rindu aku tak?" tanya Asyraf sambil tersenyum sinis memandang Aiman yang sedang terketar-ketar ketakutan.
YOU ARE READING
Helokz
Teen Fiction"Ahhhhhhh..." Pertama kali dia hilang perawannya, Aiman tidak mahu berhenti. Dia mahu terus bersama lelaki itu kerana lelaki itu baginya adalah yang paling helokz pernah dia jumpa. Tapi sayang, lelaki helokz itu sering melukakan hatinya. Berkali-kal...