Bab 2

109K 4.1K 142
                                    

SELEPAS seminggu tamat peperiksaan di Kanada, Janna dan Aida akhirnya pulang ke tanah air. Sengaja mereka pulang sedikit lambat berbanding rakan-rakan senegara yang lain. Lima tahun di Kanada, bila tiba waktu untuk pulang ke Malaysia, jujur hati terasa berat. Lepasni, entah bila pula mereka boleh ke sini kecuali untuk majlis graduasi.

   Turun sahaja daripada teksi, Janna angkat beberapa buah beg dari dalam but belakang kereta. Langkah kaki dihayun menuju ke arah pintu rumah. Butang loceng pada dinding ditekannya sekali dua. Salam dilaung sekali. Sambil menanti, sambil matanya liar menjeling kawasan rumah teres dua tingkat ini. Rasanya dah dua tahun dia tak balik. Dua tahun juga dia beraya di Kanada gara-gara kesibukannya di kampus. Jadual padat mengalahkan menteri.

   "Waalaikumussalam... Ya Allah! Janna! Budak bertuah ni!"

Tersengih Janna bila Mak long dah memandangnya dengan biji mata yang membulat. Kalut-kalut Mak long buka pintu grill untuk anak saudaranya itu. Langsung Janna hulur tangan menyalami tangan wanita itu. Tak menunggu lama, tubuhnya sudah tenggelam di dalam pelukan Mak long.

   "Mak long apa khabar?" soal Janna.

   "Sihat, Alhamdulillah. Ni kenapa balik tak bagitahu? Call kita apa pun tak. Tup-tup dah terpacak depan pintu rumah!" terjegil mata Mak long memandang Janna. Janna sengih menayang barisan giginya yang elok tersusun.

   "Saja lah, Janna nak buat surprise kat mak long. Tengok muka mak long ni, Janna dah tahu yang mak long memang surprise. Hehe!" balas Janna. Tergeleng-geleng kepala Mak long dibuatnya.

   "Bila sampai dari Kanada? Ni, sampai sini naik apa?"

   "Janna baru sampai pagi tadi, mak long. Lepastu terus ambil teksi ke sini."

   "Kenapa tak call bagitahu anak oi! Boleh mak long dengan pak long pergi jemput dekat KLIA tu. Tak payah bazir duit naik teksi bagai." Mak long bercekak pinggang. Janna garu kepala yang tidak gatal.

   "Ala, Janna tak nak susahkan mak long dengan pak long. Lagipun, apa guna ada teksi kalau tak naik. Betul tak? Janna tengah manfaatkan kemudahan awam lah ni mak long." Balas Janna, selamba.

   "Haih, menjawab aje kerja kamu ya. Terkejut tau mak long tengok kamu tiba-tiba berdiri depan rumah. Mati-mati mak long dok ingat kamu ada kat Kanada lagi."

   "Hehe. Maaf lah, mak long. Errr mak long memang nak biarkan Janna berdiri dekat luar rumah aje ke ni?"

   "Ha geram sangat dekat kamu sampai terlupa nak jemput masuk. Masuk-masuk! Hesy budak bertuah ni..." Mak long membantu Janna membawa masuk luggage dan beberapa biji beg ke dalam rumah. Nasib baik tak banyak sangat beg. Janna melangkah masuk ke dalam rumah teres dua tingkat itu. Kemudian dia melabuhkan duduk di atas sofa. Dia meliarkan pandangan ke sekeliling mencari-cari susuk tubuh pak long.

   "Pak long mana, mak long?" Janna menyoal. Pak long merupakan abang kepada arwah emaknya. Sudah hampir dua puluh tahun dia tinggal dengan pak long dan mak long di sini selepas kedua orang tuanya meninggal akibat kemalangan jalan raya. Disebabkan tiada saudara kandung yang lain, dia diambil dan dijaga oleh pak long dan mak long sehingga sekarang. Kasih sayang yang pak long dan mak long curahkan padanya, tidak berkurang sedikit pun. Dia ditatang bagai minyak yang penuh. Sempurna.

   "Keluar sekejap dengan Abang Kimi kamu tu. Entah pergi ke mana lah dua beranak tu," jawab mak long sambil menatang dulang minuman ke ruang tamu. Segelas minuman sejuk diletakkan di atas meja berhadapan Janna.

   "Abang Kimi balik?" Janna menyoal lagi. Hakimi Najwan atau lebih mesra dipanggil Abang Kimi itu merupakan anak sulung pak long dan mak long merangkap abang sepupunya. Tua dua tahun daripada Janna dan sekarang sedang bekerja di sebuah pelantar minyak di Terengganu. Pak long dan mak long mempunyai tiga orang anak. Hakimi Najwan, Shamimi dan Shamina. Shamimi dan Shamina masing-masing kini berusia 20 tahun dan sekarang sama-sama menuntut di sebuah kolej swasta yang terletak di Bangi. Dan ya, mereka merupakan pasangan kembar seiras. Disebabkan keduanya tinggal di hostel kolej, kadang-kadang sahaja si kembar itu melekat di rumah.

Pilihan Hati Tuan Syed | TerbitWhere stories live. Discover now