Iliana mengurut-urut kelopak mata kiri yang bergerak-gerak. Pelik. Sudah seminggu kelopak matanya bergerak sendiri. Membuatkan dia rasa tidak selesa saja. Apa agaknya petanda bila kelopak mata bergerak sendiri ni ya? Dia kekurangan zat dalam makanan, kah? Tapi apa dia? Kalsium? Potasium? Sodium? Hahaha! Pandai-pandai saja dia ni.
"Jauh menung, cik kak? Kau tengok tv atau tv tengok kau?" tegur Zila bila melihatkan rakan serumahnya termenung.
Iliana menoleh. Zila sudah duduk di atas sofa di sebelahnya. Bila masa rakannya balik pun dia tak sedar.
"Mana remote?"
"Celah kusyen kot," balas Iliana pendek. Dia sendiri tak perasan ke mana hilangnya alat kawalan jauh yang dia pegang tadi.
Zila menyeluk tangannya di celah-celah kusyen. Sebaik saja berjumpa dengan alat kawalan jauh itu, terus dia menukar kepada siaran yang lebih menarik.
"Kau ada masalah ke? Atau masih teringatkan Zul yang tak guna tu? Lupakanlah dia. Dah dua tahun, Na. Anak dia dah nak masuk tiga dah tu..." ujar Zila tak berperasaan.
Iliana menjeling ke arah Zila geram. Dua tahun berlalu, tak pasal-pasal nama Zul muncul. Sengaja hendak menggamit memorinya terhadap lelaki tak guna tu. Tiga bulan selepas memutuskan pertunangan mereka, Zul dan Fatin kembali rujuk. Entahlah. Dia sendiri tidak tahu hendak katakan tindakan Zul itu betul atau salah. Tidak tahu hendak membenci ataupun tidak. Melihatkan wajah ceria Fahmi, dia jadi tidak sampai hati untuk membenci Zul dengan tindakan yang dia ambil. Mungkin benar, Fahmi lebih memerlukan ibu kandungnya daripada dia, bekas bakal ibu tirinya ni.
"Kenapa dengan mata kau tu? Sakit ke?" soal Zila. Dari tadi dia perasan Iliana mengurut-urut mata kirinya.
"Atau ketumbit?" soal Zila lagi. Tangan kiri Iliana dibawa turun. Bulat matanya memerhatikan mata kiri Iliana. Tiada apa-apa pun.
"Mata aku ni. Dah seminggu asyik bergerak sendiri. Badan aku tak cukup zat ke apa agaknya, ya?"
"Tak cukup zat?" Zila nemandang Iliana dari atas ke bawah. "Aku rasa terlebih zat adalah," usik Zila. Sebulan dua ni nampak muka Iliana semakin berisi. Tak cengkung seperti selepas ditinggalkan Zul dahulu. Setahun lebih juga Iliana mengambil masa untuk pulih seperti biasa.
"Kau nak kutuk aku ke apa ni?" Iliana menarik bantal kecil disebelah. Dengan lembut bantal itu ditampar ke bahu Zila. Zila hanya ketawa melihatkan reaksi Iliana.
"Kejap. Aku google apa maksud bila kelopak mata kiri bergerak ya!"
Iliana hanya memandang Zila yang sudah memegang telefon bimbitnya. Fokus gadis itu mencari sebab kenapa kelopak mata kirinya bergerak. Iliana menahan ketawa. Kelakar pula melihatkan kesungguhan Zila. Sahabat yang sentiasa berada dengannya waktu susah dan senang.
"Okey dah jumpa! Dari segi perubatan tak ada. Tapi ada yang kata kelopak mata kiri bergerak ni petanda ada kawan-kawan lama nak jumpa. Ada lagi satu ni, tapi kau jangan takut pula aku cakap ni..."
"Hrm... apa dia?"
"Disebabkan jin." Zila memandang wajah Iliana dengan serius.
"Jin?"
"Jin. Jin kan bergerak melalui pembuluh darah manusia."
Berkerut dari Iliana mendengarkan penjelasan Zila. Selesai mendapatkan apa yang dicari, Zila meletakkan kembali telefon bimbit ke atas kusyen. Kepalanya dianggukkan beberapa kali, tanda dia serius dengan apa yang dikatakannya tadi.
"Tapi aku pelik."
"Pelik kenapa pulak?"
"Pelik sebab aku nampak je kau depan mata. Tak berjalan ke mana-mana pun?" Iliana menahan ketawa. Melihatkan wajah Zila yang tidak faham kata-katanya tadi menyebabkan tawa yang disimpan akhirnya berhamburan keluar.
"Kenapa... hei! Kurang asam punya member! Kau nak cakap aku jin ke apa?"
Zila memandang wajah Iliana geram. Akhirnya dia turut sama ketawa. Sedikit sebanyak dia turut bersyukur Iliana sudah boleh ketawa begini.