Kereta sudah siap diservis. Luaran dan dalaman kereta pun sudah berkilat dan bersih. Sebaik sahaja tamat waktu bekerja hari Jumaat itu, Iliana terus memandu pulang ke kampung. Perjalanan yang memakan masa hampir lima jam dia hiburkan dengan mendengar lagu-lagu kegemaran yang dia sudah masukkan ke dalam pendrive.
Membaca papan tanda selamat datang sebaik saja tiba di daerah dia membesar, senyum Iliana mula lebar. Kali terakhir dia pulang ke kampung adalah tiga bulan lepas. Dia pun tak sedar terlalu lama dia hanyut dengan kerja. Patutlah Puan Salma bising benar.
Akhirnya Iliana memohon cuti tiga hari. Dia hendak menghabiskan masa dengan Puan Salma. Kalau tidak buat begitu, bising lagilah emaknya. Panas telinganya nanti hendak mendengar ceramah maknya. Almaklumlah, dia suka kumpul cuti banyak-banyak untuk pergi bercuti dengan kawan-kawan. Bak kata Puan Salma, tak utamakan keluarga!
Lagi sepuluh kilometer untuk sampai ke rumah, telinga Iliana menangkap satu bunyi yang ganjil. Iliana memberhentikan kereta di bahu jalan. Kemudian dia turun untuk cek apa yang berlaku. Bulat matanya melihat tayar keretanya pancit.
Ah sudah! Iliana memerhati kawasan sekeliling. Kena pula tempat keretanya pancit ni tak ada rumah orang di sekeliling. Mana tidaknya? Dia baru saja keluar daripada lebuhraya. Jarak tol lebuhraya dengan bandar bukannya dekat. Jam pula sudah menunjukkan pukul sembilan malam.
Iliana menggaru kepalanya. Macam mana aku nak buat ni? Iliana tercongok di depan tayar yang pancit. Teorinya dia tau bagaimana hendak selesaikan, tetapi praktikalnya dia tidak pernah buat!
"Tayar pancit ke?" mendengarkan satu suara menegur, gelisah Iliana mula hilang.
Iliana bangun dan menoleh dengan senyuman. "Haah. Tayar..." muka Iliana berubah. Nadanya pula perlahan. "Pancit"
Hazrul menjeling ke arah jam di pergelangan tangan. Kemudian dia memandang wajah Iliana yang serius. "Saya ada urusan lain pula. Tak dapat nak tolong. Saya pergi dululah, ya?" ujar Hazrul lalu meneruskan pemanduannya.
Iliana menghentakkan kakinya geram. Yah! Kalau dah ada urusan lain, tak payah nak tunjuk baik dengan berhenti tadi. Jerk!
***
"Dah kenapa comot sangat kamu, Na?" tegur Puan Salma sewaktu Iliana bersalam dengannya.
Iliana menghela nafas perlahan. "Tayar pancit keluar tol tadi. Nak tak nak terpaksalah Na tukar dulu. Jauh lagi nak berjalan sampai ke rumah."
Puan Salma menggeleng. "Kenapa tak telefon rumah? Kan Abang Long kamu ada."
Iliana menepuk dahi. "Tak terfikir pula, mak."
Cis! Marahkan Hazrul punya pasal, sampai dia menyusahkan diri menukar tayar kereta.
"Pandai pula kamu tukar tayar kereta? Seumur hidup mak, abah kamu yang buat semua."
"Na buat sikit je. Tak sampai lima minit ada budak datang tolong."
"Nasib baiklah budak baik. Buatnya ada yang niat jahat, lain pula jadinya malam-malam ni."
Iliana sekadar tersengih. Teringatkan budak muda tadi, dia terfikir sesuatu. Cara si Amin tadi datang seolah-olah memang semata-mata hendak membantunya. Itu pun kerana Amin datang dari arah bandar dan pulang ke arah yang sama. Datang pula seolah-olah memang sudah tahu di mana lokasi kereta dia pancit. Iliana mengurut-urut dagunya. Adakah dia yang terlebih fikir?
***
"Esok temankan mak pergi rumah Cik Aya kamu. Dia ada buat doa selamat."
Tegak terus Iliana duduk mendengarkan permintaan Puan Salma. Cik Aya itu emak kepada Hazrul. Rumah Cik Aya pula bermaksud rumah mak Hazrul. Kalau dah ada majlis di rumah itu, bermakna dia akan berjumpa bertentangan mata dengan Hazrul. Ah! Itulah perkara yang paling dia hendak elakkan bila balik ke kampung ini.
"Na malaslah, mak. Ayah tak pergi ke?"
"Ayah mengadu tak sedap badan petang tadi. Dia suruh mak pergi seorang. Memandangkan Na pun ada, boleh Na ikut sekali. Na pun lama tak balik kampung, kan?"
Iliana mengetap bibir. Bukan menjadi masalah pun kalau dia lama tidak balik ke kampung. Lagipun, adakah maknya dah lupa sejarah dia dengan Hazrul dulu? Ish!
"Na tak ikutlah, mak. Mak pergi sajalah. Sampaikan salam Na pada Cik Aya."
Puan Salma memandang Iliana yang selamba meneruskan suapannya. Kepalanya digelengkan perlahan. Pasti anak gadisnya itu hendak mengelak daripada Hazrul.
"Temankanlah mak. Takkanlah sampai hati Na biarkan mak pergi seorang?"
Bila Puan Salma buat ayat macam tu, anak mana sanggup buat tak tahu. Iliana mengeluh perlahan. Akhirnya dia mengangguk bersetuju. Lebar senyuman Puan Salma apabila melihatkan anaknya menurut kata begitu.