Karma - 17 end

38 2 2
                                    

Tq and happy reading~
.
Karma 17

Rombongan daripada pihak Hazrul masih belum tiba. Masing-masing yang berada di rumah pihak perempuan sudah mula tak senang duduk. Sudah dua puluh minit berlalu, kenapa rombongan Hazrul lewat sangat? Sedangkan bukannya jauh benar rumah mereka. Hanya lorong sebelah saja.

Iliana cuba menenangkan diri. Jari-jemarinya terasa seram sejuk. Janganlah perkara yang tidak elok berlaku. Kalau dia ada calon untuk menjadi pengganti Hazrul tak mengapa juga. Dia tarik saja pengganti itu kalau tiba-tiba Hazrul buat onar. Jadi pengantin lelaki bidan terjun pun tak apa. Dia upah saja lelaki itu jadi suaminya seumur hidup.

“Masih tak dapat hubungi keluarga Hazrul lagi, abang?” Puan Salma menyoal suaminya. Susah hati bila bayang rombongan lelaki masih tak kelihatan.

“Dah. Tadi abang dapat bercakap dengan abang Mus. Hazrul cirit birit katanya…”

Barulah masing-masing menarik nafas lega mendengarkan penerangan Haji Rosli. Puan Salma sudah menggelengkan kepala. Entah apalah si Hazrul ni makan sampai sakit perut?

Iliana menggaru lehernya perlahan. Sakit perut pulak dah…

“Sabar…” bisik Zila perlahan.

Iliana hanya ketawa menutup kekok. Badannya sejak tadi tidak rasa selesa dengan pakaian yang dipakai. Ditambah pula dengan perasaan cuak hendak menikah dan cuak kerana Hazrul tidak muncul-muncul, berpeluh juga dibuatnya. Nasib baiklah ruang tamu rumah orang tuanya ni ada penyaman udara dan malam pernikahannya hanya dihadiri oleh beberapa orang saudara terdekat. Tidaklah lencun pakaiannya dengan peluh.

“Aku tawakkal je apa nak jadi. Tak larat nak fikir apa dah.”

“Insya Allah nanti sampailah tu. Lagipun ayah Hazrul sendiri yang jawab panggilan ayah kau tadi, kan?”

Iliana hanya mengangguk. Sedang dia mengelap peluh di dahi dengan tisu, kedengaran suara Haji Mustapha memberi salam. Iliana menarik nafas lega.

***

“Sorry untuk apa yang berlaku malam ni,” ujar Hazrul sewaktu mereka sedang menjamu selera berdua. Baru inilah dia dapat bercakap dan berdua-duaan dengan Iliana selepas sibuk bersalam dan bergambar selepas nikah tadi.

“Ingatkan tiba-tiba tukar keputusan tadi, tak jadi kahwin dengan saya. Manalah tahu, balas dendam…”

“Mana ada. Saya siang tadi tak sempat nak makan. Dapat makan sandwich je, beli masa keluar ke pekan. Tak sangka boleh food poisoning pula. Punyalah berusaha nak jadikan dua hari ni hari yang perfect…”

“Biasalah. Kita hanya merancang. Tuhan yang menentukan. Saya dah rancang nak kidnap je anak lelaki sesiapa tadi jadi suami saya kalau betul awak batalkan pernikahan kita ni tapi, Tuhan dah tentukan awak jodoh saya,” ujar Iliana selamba.

“Hish! Sepuluh tahun saya tunggu malam ni tau! Walau apa pun yang terjadi, saya akan usahakan sampai jadi realiti!”

Iliana mengangkat muka dan menoleh ke arah Hazrul. “Awak cakap apa? Sepuluh tahun?”

Hazrul sedikit gelabah. “Apa dia yang sepuluh tahun?”

“Awak cakap sepuluh tahun awak tunggu saya?”

“Mana ada. Awak salah dengar ni. Sepuluh harilah. Kan awak tak nak jumpa saya dekat dua minggu. Makanlah… saya rasa perut saya rasa tak sedap baliklah…”

Hazrul menukar topik. Iliana hanya tersenyum sumbing. Nak mengelaklah tu! Mujur dia dah dengar sebahagian cerita daripada mulut Hazirah. Tak apa, panjang umur, panjang jodohnya dengan Hazrul, adalah nanti lelaki tu buka cerita. Tak dengan dia, dengan anak-anak mereka nanti. Ah! Tiba-tiba fikirannya terlalu ke depan.

“Saya nak kena pergi bilik air ni. Perut memulas balik. Teman saya sekejap.”

Akhirnya Hazrul tidak boleh menahan lagi. Kuih apam yang sudah dia buang kelapanya dia letakkan ke atas pinggan Iliana. Ini pun dia takut nak makan beriya sebab tahu perut masih tak elok.

“Awakkan tahu kat mana bilik air rumah saya? Masuk sajalah…”

“Ish! Malulah. Nanti orang kata apa pula. Temanlah sekejap…” kata Hazrul lebih berupa arahan.

Iliana menggeleng. Tak faham sungguhlah dia. Orang nak kata apa? Semua orang dah tahu Hazrul sakit perut. Iliana mencapai tisu merah yang ada di atas meja panjang itu. Tanpa sebarang kata, mulutnya dikesat lembut untuk membuang sisa minyak daripada mee goreng yang dia makan tadi. Kemudian, dia menarik lembut tangan Hazrul dan mereka berdua berjalan ke dalam rumah. Tanpa menghiraukan mata saudara-mara yang memandang dan suara-suara yang mengusik.

Iliana menyuruh Hazrul masuk ke dalam bilik air di dalam bilik pengantin yang sudah berhias. Hampir ketawa Iliana dibuatnya bila melihatkan Hazrul hampir berlari masuk ke dalam bilik air. Walaupun tak patut dia ketawakan suaminya yang dalam kesakitan.

“Dah selesai?” soal Iliana bila wajah Hazrul muncul disebalik pintu bilik air.

“Eh? Awak tunggu?”

Iliana mengerutkan dahi. “Dah tadi awak juga suruh teman?” jawab Iliana jujur.

Hazrul tersenyum manis. Lain pula perwatakan Iliana selepas bertukar status. Adakah kerana statusnya sebagai suami menyebabkan Iliana melayannya dengan baik begitu? Adakah Iliana terpaksa dan hanya bermuka-muka? Ya Allah jika Iliana hanya berpura-pura melayannya baik sekalipun, kau tumbuhkanlah rasa sayang dan cinta di dalam hati Iliana, isteriku buat diriku ya Allah. Kalaulah Iliana tahu perasaannya sepuluh tahun ini…

Melihatkan Hazrul berjalan menghampirinya, Iliana berdiri. Bersedia untuk melangkah seiringan keluar dari bilik. Belum sempat dia membuka langkah, tiba-tiba saja tubuhnya dipeluk dari belakang. Iliana pegun.

“Terima kasih…”

Lembut suara Hazrul menyapa telinganya.

“Terima kasih sebab terima saya jadi teman hidup awak, Iliana. Mungkin saya bukan pilihan awak, saya bukan ideal type awak, tapi saya janji selagi saya hidup, saya akan cuba bahagiakan awak dan saya nak bimbing awak dan anak-anak kita untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik. Itu janji saya…”

Iliana hanya mampu menelan air liur. Tiba-tiba saja hatinya terusik mendengarkan kata-kata Hazrul. Sedar pula Hazrul yang dia bukan ideal type aku, getus hati Iliana.

“Saya…” kata-kata Iliana terhenti bila Hazrul lebih cepat dalam tindakannya. Spontan darah menyerbu ke mukanya. Malu apabila kali pertama diperlakukan begitu.

“Jom keluar. Apa kata saudara-mara kita nanti…” ajak Hazrul lembut.

“Eee… keluar bilik air terus peluk cium orang…” bebel Iliana, menutup malu.

Hazrul ketawa besar. “Saya dah basuh tangan tau! Mulut saya pun bersih, ok?”

Iliana hanya mencebik. Langkah Hazrul diikuti. Lama dia memandang belakang Hazrul yang bidang. Hazrul sepuluh tahun dulu berbeza dengan Hazrul sekarang. Hazrul tidak tahu, kematangan yang Hazrul tunjukkan sedikit sebanyak mencuit hati Iliana. Sesuatu yang Hazrul tiada sepuluh tahun dulu. Beri saya masa, Hazrul… untuk belajar menyayangi dan mencintai awak seperti sayang dan cintanya awak pada saya, bisik Iliana di dalam hati.

-End-

KarmaWhere stories live. Discover now