Karma 15
"Saya tak sangka awak sekejam ni, Iliana."
Menyirap darah Iliana mendengarkan suara Hazrul yang keras itu. Punyalah Iliana cuak memikirkan pelbagai cara untuk menjawab panggilan Hazrul dengan elok tadi, tiba-tiba lepas jawab telefon dia kena sound pula.
"Dah kenapa telefon saya terus nak tuduh-tuduh macam ni?" marah Iliana. Tak boleh terima betul rasanya. Macam ni nak kahwin dengan aku? Huh!
Hazrul terdiam.
"Hah! Hilang dah suara? Tadi marahkan saya bukan main. Apa yang awak tak puas hati lagi?"
"Sampai hati awak kan? Come on Iliana. Benda dah lama berlalu. Tak boleh ke awak buka buku baru?" nada Hazrul mula mengendur.
"Awak cakap pasal apa ni? Saya tak fahamlah...." nada Iliana turut kembali rendah.
"Kenapa batalkan pertunangan kita?" Hazrul terus menyoal tanpa konar.
"Batal atau tak, tak ada beza pun..."
"Banyak bezanya. Awak batalkan bermaksud awak menolak saya, pinangan keluarga saya, Iliana!" nada Hazrul mula mengeras.
Iliana menggeleng perlahan. Confirm Hazrul dengar berita tak habis ni. Agaknya masa Cik Aya cakap tak jadi bertunang, berkejar dia untuk telefon aku.
"Kan awak yang cakap, suka hati saya nak buat apa yang saya nak. Yang awak nak melenting sangat ni kenapa?" sindir Iliana.
"Awak tak matang Iliana. Awak langsung tak pernah bagi saya peluang, kan?"
"Saya ni pilihan keluarga awak je pun, kan? Kalau betul pun saya tolak pinangan keluarga awak tu, awak tak patut melenting macam ni. Cakap saya tak matang konon. Awak patut cermin diri awak sebab awak pun tak matang sama. Macam manalah keadaan kita dah kahwin nanti. Saya tak boleh nak bayangkan..."
"Jap. Awak cakap apa ni? Saya tak faham..."
"Jumpa awak dua bulan lagi, Hazrul. Doa sajalah rumah tangga kita aman dan tenang nanti Bak kata awak, berkat restu kedua orang tua kita," sindir Iliana sebelum dia menamatkan panggilan.
Iliana mencampakkan telefon ke atas katil dengan geram. Kalau Hazrul depan dia sekarang, entah apalah dia akan buat pada lelaki itu. Bunyi mesej yang baru masuk membuatkan Iliana mencapai kembali telefon bimbitnya. Mesej pendek daripada Hazrul dia baca.
Jumpa hujung minggu ni. Saya ke sana. - Hazrul
Iliana mencebik.
Tak payah. Jumpa dua bulan je lagi. - Iliana
Banyak benda kita kena uruskan. Saya tak akan benarkan awak buat sesuka hati untuk majlis kita nanti. - Hazrul
Iliana membaca balasan Hazrul dengan sakit hati. Suka hati awaklah Hazrul!
***
Hujung minggu itu, Hazrul sudah terpacak depan rumah Iliana. Iliana yang baru hendak keluar mencari sarapan memandang Hazrul tanpa perasaan. Pukul berapa pulalah lelaki ni tiba? Seingatnya, tak ada panggilan telefon mahupun mesej daripada Hazrul subuh tadi.
"Morning," sapa Hazrul apabila melihat Iliana berjalan menghala ke pintu pagar.
"Hrm... dah breakfast?" Iliana menyoal.
Hazrul menggeleng.
"Jomlah. Awak drive, saya tunjukkan arah," ujar Iliana pendek. Kemudian pintu kereta Hazrul dibuka. Terpaksalah dia buat muka selamba dan membiasakan diri. Tambahan pula dua bulan lagi bakal hidup berdua.
Hazrul memandu tenang keluar dari taman perumahan Iliana. Iliana pula hanya memberikan arahan menuju ke kedai sarapan pagi sepatah-sepatah. Sungguh dia masih kekok bila berhadapan dengan Hazrul.
Sampai di kedai makan, Iliana terus ke arah sebuah meja yang terletak di tengah-tengah kedai. Belum sempat dia menarik kerusi, Hazrul mencuit lengannya dan menunjukkan ke arah sebuah meja di penjuru kedai. Sedikit jauh daripada meja-meja yang lain. Iliana memandang wajah Hazrul yang serius. Boleh baca kenapa Hazrul mengajak dia duduk di situ. Aduh... mahu atau tidak, dia kena hadap juga.
"Apa je aktiviti hari ni?" soal Hazrul selepas mereka memesan makanan. Wajah Iliana di hadapannya dipandang. Walaupun sudah sepuluh tahun berlalu, wajah gadis ini tidak berubah. Semakin cantik dan semakin manis.
"Tak ada apa. Plan nak husband hunting terpaksa cancel."
Terangkat kening Hazrul mendengar. "Husband hunting? Really?"
Iliana hanya senyum sinis.
"Tak guna pun awak pergi husband hunting. Sepuluh tahun awak cari pun akhirnya dengan saya juga," balas Hazrul selamba.
"Yakinnya awak?" soal Iliana sinis. "Apa-apa pun boleh terjadi dalam masa dua bulan ni. Kalau tak saya yang berubah, awak yang berubah."
"Memang saya tak boleh nak yakin seratus peratus pun. Tapi..." Hazrul tidak meneruskan kata-katanya.
Iliana mengangkat muka. "Tapi?"
"Makanlah ajelah," ujar Hazrul bila makanan mereka tiba. Secara tidak langsung terus mematikan perbualan mereka.
"Nanti kita pergi kedai kopi yang selesa sikit. Saya nak bincang tentang majlis kita dengan awak. Banyak yang saya dah uruskan. Tinggal nak cari cincin, baju, barang hantaran dan kalau apa-apa yang saya tertinggal."
"Chop! Sekejap. Ada yang tak kena dalam ayat awak tadi. Cuba ulang balik?"
Hazrul memandang Iliana dengan riak pelik. Kata-katanya tadi diulang semula. Bahagian mana yang Iliana tak faham?
"Nak bincang tapi banyak yang awak dah uruskan?"
Hazrul mengangguk. Telefon bimbitnya dia scrol. Senarai persiapan perkahwinan dia belek. Ini pun Hazirah yang banyak membantu ni.
"Oh! Untuk majlis kita, mak ayah kita dah setuju nak buat sekali. Jadi, saya dah booked dewan dan tukang masak, pelamin. List tetamu belum finalise lagi. Baju sanding kita tempah. Nanti balik kampung kita pergi tengok yang mana awak nak. Untuk hari ni kita cari kain untuk buat baju. Untuk HIV test saya dah buat. Tinggal tunggu awak saja untuk kita hantar borang kebenaran nikah," satu demi satu dia baca dan terangkan. Iliana ternganga.
"Wow. Cepat betul ya? Kalau tiba-tiba saya kata tak nak bertunang dan kahwin dengan awak hari tu macam mana?" soal Iliana. Tiba-tiba dia jadi gerun membayangkan majlis mereka dua bulan lagi. Sejujurnya tidak langsung tak bersedia dari segi mental mahupun fizikal.
"Benda nikah bukan boleh buat main. Mana yang saya boleh uruskan, saya buatlah. Saya dah cakap, saya tak akan biarkan awak rosakkan hari bahagia saya."
"Bahagia ke kalau kahwin dengan saya?" sindir Iliana.
"Awak pilihan keluarga saya. Insya Allah bahagia," jawab Hazrul yakin.
Iliana hanya mampu menghela nafas berat.