Karma 16
Tinggal dua minggu saja lagi sebelum hari pernikahan mereka tiba. Iliana sudah tidak senang duduk. Tidurnya tidak lena. Mandinya tidak basah. Bukan kerana dia dilamun rasa cinta, tetapi kerana risau hendak masuk ke dunia baru. Dunia dia dengan Hazrul.
Iliana termenung di atas sofa, memerhatikan televisyen yang terpasang tanpa fokus. Minggu ini dia tidak ke mana-mana. Masa Hazrul mesej kata nak datang pun dia tak bagi. Dia nak rehat. Dia nak tenangkan fikiran.
'Bagi saya 'me time' sebelum saya kena habiskan sisa hidup saya dengan awak'
Itu yang dia balas pada Hazrul sehingga menyebabkan lelaki itu terus tidak menghubungi dia. Hazrul sentap? Ada dia kisah?
"Oit... jauh menung?" suara Zila menyapa gegendang telinganya.
Iliana memandang Zila sekilas sebelum kembali memandang televisyen di depan.
"Aku rasa aku tak bolehlah Zila."
Laju Zila menoleh. "Tak boleh apa?"
"Kahwin," balas Iliana pendek. Serentak dengan itu, kuat ZIla menampar lengan dia.
"Aduh! Sakitlah!" marah Iliana.
"Tahu pun sakit. Itu sakit sikit je tau. Tak fikir ke sakitnya hati mak ayah kau, sakit hati Hazrul, keluarga Hazrul..." bebel Zila. Bukan betul sangat Iliana ni. Buatnya dia ikut gila dia tu, mana keluarga Hazrul nak letak muka.
"Aku risau. Aku tak tahu boleh hidup dengan dia ke tak..."
"Sejak kebelakangan ni aku tengok korang berdua elok je? Takkanlah sikit pun tak ada rasa sayang?"
Iliana sekadar mengangkat bahu. "Dia yang nak sangat datang sini. Tak nak aku rosakkan majlis perkahwinan dia. Eh, majlis dia tu majlis aku jugak tau!"
Zila tersengih. "Kau ni cold feet ni. Sabar. Fikir apa kebaikan Hazrul sepanjang kau kenal dia. Aku yakin korang memang dah diciptakan untuk satu sama lain..."
"Mana kau tahu? Macam mana kau boleh yakin?"
"Entahlah ya? Bila aku tengok korang berdua, korang complement each other. Kau dengan gila kau, Hazrul dengan gila Hazrul. Tapi gila tu fit satu sama lain. Anak-anak korang mesti cheeky gila nanti..."
Iliana menjeling Zila. "Pandai-pandai je kau ni..."
"Betullah..." Zila dah ketawa. Nampak Iliana sudah sedikit relaks.
"Disebabkan kau tengah macam ni, apa kata kita keluar. Nak? Tengok wayang ke... karaoke ke... anything. Sebelum kau kahwin. Minggu depan kau dah start cuti, kan?"
Iliana diam memikirkan saranan Zila. Menarik juga. Lagipun lama dia tak keluar berseronok dengan Zila.
"Jom," putusnya dengan semangat.
Zila tersenyum senang hati. "That's my Iliana!"
***
Iliana sudah mula bercuti. Tinggal lagi beberapa hari saja lagi hari bersejarah dia dan Hazrul bakal tiba. Kalau sebelum ini dia gelabah, kini perasaannya mula tenang. Mungkin selepas dia memegang prinsip 'apa nak jadi, jadilah' membuatkan dia malas hendak berfikir panjang dan redah saja apa yang ada di hadapannya.
Sedang Iliana sibuk membantu Puan Salma di dapur, sayup-sayup telefon bimbitnya berbunyi dari dalam bilik. Laju Iliana berlari. Sebaik saja dia mendapatkan telefon bimbitnya, nama Hazrul dibaca sekilas. Degupan jantungnya tiba-tiba saja hilang rentak.
"Hello..."
"Assalamualaikum Iliana."
"Waalaikumsalam. Ya?"
"Nanti kakak nak hantarkan baju nikah dan sanding. Saya dah berikan nombor telefon awak pada dia. Tunggu ajelah dia telefon nanti."
"Oh..." Iliana mengangguk faham. Kakak tu merujuk kepada Hazirah. Satu-satunya kakak yang Hazrul ada.
"Itu saja?" soal Iliana bila Hazrul tidak menambah apa-apa lagi.
"Hrm..."
Entah kenapa hati Iliana sedikit kecewa mendengarkan balasan Hazrul. Sudah beberapa mingu tidak menghubungi dia, itu saja yang dia nak beritahu?
"Kenapa bukan awak yang hantar?" soal Iliana. Cuba memanjangkan bicara.
"Tak ada bezanya saya hantar atau kakak yang hantar. Yang penting baju tu sampai kat tangan awak dan awak boleh pakai masa majlis kita nanti," balas Hazrul dengan nada yang sedikit menyakitkan hati.
Iliana membuat muka. Menyampahnya! Macam tak boleh jawab elok-elok!
"Suka hati awaklah..." ujar Iliana sebelum mematikan talian. Hish! Baru ingat nak berbaik-baik sebelum menikah, dah dia sakit hati lagi dengan cara Hazrul.
Jam dua petang, Iliana menerima panggilan telefon daripada Hazirah. Hazirah sudah menunggu di luar rumah untuk menghantar baju. Bergegas Iliana mencapai tudung dan menyarung selipar untuk mendapatkan Hazirah.
"Terima kasih, kak."
"Sama-sama. Cantik betul baju korang berdua. Jeles akak tengok..." Hazirah menghulurkan sepasang kurung moden berwarna putih yang dihiasi dengan renda dan manik. Baju yang akan dipakai sewaktu nikah nanti.
Iliana hanya ketawa kecil. "Hazrul yang pilih."
"Okeylah tu. Dia memang bersungguh betul merancang majlis korang berdua. Tak nak ada cacat kata dia. Nak jadikan hari perkahwinan korang kenangan yang paling manis buat Iliana dia cakap."
Iliana ketawa kekok. "Iya ke?"
"Iye. Bersyukurlah Na. Hazrul tu sayang betul-betul dekat Na tau. Beriya dia minta mak risikkan tentang Na daripada Mak Cik Salma. Kalau betul Na tak ada sesiapa, dia nak pinang Na. Akak cakap bukan sebab back up dia adik akak. Tapi sebab akak kenal Hazrul tu dari kecik lagi. Akak boleh teka apa yang dia fikir, apa yang dia rasa..." kata Hazirah lalu menghulurkan sepasang lagi kurung moden berwarna peach untuk majlis sanding. Kedua-dua baju ini ditempah khas dengan tukang jahit di kampungnya. Hanya kain yang mereka pilih bersama.
Mendengarkan penerangan Hazirah, Iliana terdiam sendiri. Beriya-iya Hazrul berkata Iliana hanya pilihan keluarga Hazrul. Rupa-rupanya lain ceritanya.
"Hazrul punya baju dah ambil sekali?"
"Dah. Hazrul terpaksa uruskan ladang ikan dia hari ni. Tu yang minta akak ambilkan..."
Patutlah...
"Lagipun mak tak bagi dia jumpa Na dah dekat-dekat majlis ni. Maklumlah, tengah berdarah manis takut lain jadinya..."
Iliana hanya ketawa kecil. Sama saja mentaliti Cik Aya dengan Puan Salma. Orang-orang lama ni memang menjaga betul pantang dan adat melayu. Selagi tak bercanggah dengan hukum agama, dia ikutkan saja. Lagipun, tak ada sebab dia beriya nak jumpa Hazrul. Dah nak kahwin dah pun. Panjang jodoh, seumur hidup dia kena hadap muka lelaki tu.
"Oklah, akak balik dulu. Nanti cubalah bajunya. Kalau nak alter apa-apa boleh beritahu awal-awal. Ada masa lagi sebelum majlis," pesan Haziral sebelum pulang.
Iliana membawa dua pasang persalinannya ke bilik. Kemudian dia mencuba satu demi satu persalinan yang ada. Sewaktu dia memerhatikan diri di dalam cermin dengan tubuh tersarung baju nikah, Iliana menelan air liur. Tak sangka dalam masa beberapa hari lagi dia bakal menjadi isteri Hazrul. Fuh...!
