Senyum lebar Puan Salma bila Iliana melayannya ke sana sini. Iliana pula betul-betul mengotakan janjinya untuk melayan mak dan ayahnya sepanjang dia bercuti. Tetapi yang paling tak tahannya, habis saja majlis di rumah keluarga Hazrul, terus Puan Salma cadangkan kepada Haji Rosli untuk berjalan. Ajak ke Melaka pula tu! Hilang terus sakit badan orang tua tu bila isteri ajak berjalan. Esoknya, subuh-subuh hari mereka bertiga bertolak ke Melaka.
Tiba di Melaka jam sepuluh pagi, Iliana membawa kedua orang tuanya makan terlebih dahulu sebelum menaiki Menara Taming Sari. Tersenyum Iliana memerhatikan Puan Salma dan Haji Rosli berjalan berdua berpimpin tangan. Dah tua-tua pun masih romantik. Puan Salma memang manja dengan Haji Rosli. Haji Rosli pula melayan Puan Salma sebaik yang boleh. Dari kecil, jarang dia mendengar mak dan ayahnya bergaduh.
Cuma dia saya tidak menurun sikap Puan Salma. Dia rimas bila semua perkara perlu diharapkan pada lelaki. Semua keputusan perlu mengikut kuasa veto suami. Bukanlah hendak menggalakkan perempuan menjadi isteri yang derhaka, cuma pada Iliana, dia mahukan lelaki yang boleh mendengar pendapatnya dalam membuat keputusan dan sentiasa menyokong dirinya.
"Sweetnya mak dengan ayah ni," usik Iliana sewaktu mereka berehat sebentar di taman sebelah Menara Taming Sari.
"Janganlah jeles. Kalau jeles, carilah calon menantu untuk ayah..." balas Haji Rosli.
Iliana hanya ketawa. "Calon menantu ayah sesat. Tak pakai GPS agaknya."
"Pandailah kamu..." balas Haji Rosli pendek.
"Susah-susah sangat, Na... kalau lepas ni ada orang masuk meminang kamu je mak terus terima," usik Puan Salma pula.
"Terimalah mak... zaman sekarang ni tak ada dah orang nak melamar anak dara orang yang tak kenal. Jadi, Na tak risaulah. Tak adanya tiba-tiba orang datang rumah nak melamar Na."
"Eh! Itu cakap kamu. Yelah, benda belum kena batang hidung sendiri bolehlah cakap. Nanti kalau betul-betul ada... jangan sibuk merayu-rayu dekat mak nanti minta tolak pinangan tu!" ugut Puan Salma.
"Tak mak. Na takkan tolak!" Iliana hanya ketawa kecil. Tak mengambil serius kata-kata Puan Salma.
"Kita makan tengahari dululah baru check in hotel. Boleh ke?"
"Nak makan lagi ke, Na? Ayah kenyang lagi ni."
"Mak pun sama. Kita pusing-pusing Bandar Hilir dululah baru check in hotel. Beriya sangat kamu ni, Na. Sampai nak tidur hotel apa semua."
"Alah bukannya selalu pun mak. Nanti kalau Na berjalan dengan kawan-kawan, tidur hotel mak kecik hati pulak sebab tak bawak mak."
"Entah. Betul kata Na tu, emaknya. Awak juga yang bising Na berjalan ke sana sini dengan kawan-kawan."
Iliana ketawa kecil. Geli hati bila Haji Rosli mengenakan Puan Salma. Ada saja gurauan mereka berdua. Kemesraan mereka berdua semakin menjadi sejak mereka berdua menunaikan haji dua tahun lepas.
"Mak ayah nak naik beca?" soal Iliana bila terperasankan mata Puan Salma memerhatikan beca-beca yang berhias tidak jauh daripada mereka.
"Boleh juga kalau ayah nak."
"Jomlah. Bukan selalu datang sini pun. Awak nak naik beca yang mana?"
Lebar senyuman Puan Salma. Mereka bertiga melangkah ke arah beca-beca yang tersusun. Selepas memilih beca yang dirasakan menarik, Iliana meminta kedua ibu bapanya untuk naik sementara dia menunggu di taman tadi. Sengaja memberi peluang untuk mak dengan ayahnya berdua.