Karma - 11

22 1 0
                                    

Iliana kembali sibuk dengan kerja-kerjanya. Tiga hari bercuti, kerjanya terus menggunung macam tiga minggu dia bercuti. Suka atau tidak terpaksalah dia lebihkan masa bekerjanya sehingga semuanya selesai. Jam sudah menunjukkan pukul tujuh malam. Iliana masih ralit dimeja menyemak satu demi satu dokumen di dalam fail. Tiba-tiba konsentrasinya terganggu apabila telefon bimbitnya berbunyi. Iliana mengerutkan dahi. Mak? Pelik baginya bila Puan Salma menelefon waktu-waktu begini.

"Na ada dekat mana tu?"

"Di ofis lagi mak. Solat Maghrib dulu baru balik."

"Seorang je ke?"

"Tak. Ada ni dua tiga orang kawan tak balik lagi. Kenapa mak?"

Puan Salma diam. Iliana mengerutkan dahi. Dah kenapa pula mak ni? Tak pernah-pernah buat perangai begini.

"Nantilah dah balik rumah telefon mak semula. Apa perkara mak nak beritahu kamu ni."

Iliana menggaru keningnya. Makin pelik permintaan Puan Salma. Malas hendak memanjangkan perbualan, dia hanya bersetuju.

"Nantilah dalam pukul sembilan Na telefon."

"Okey."

Iliana menamatkan panggilan. Mendengarkan bunyi notification waktu solat sudah masuk, dia terus mengemas fail-fail yang berselerakan di atas meja. Mahu menunaikan solat Maghrib dan kemudian terus pulang ke rumah sewa.

Sampai di rumah, Iliana terus membersihkan diri dan bersedia untuk tidur. Hampir saja dia terlupa untuk menelefon Puan Salma. Mujur Puan Salma menghantar mesej bertanya sama ada dia sudah tidur atau belum. Tanpa berlengah, nombor telefon Puan Salma dia dail.

"Helo assalamualaikum."

"Waalaikumsalam, Na. Kamu dah tidur dah ke?"

"Haah. Baring dah. Nasib baik mak mesej."

"Hish kamu ni. Sibuk sangat ke dengan kerja tu?"

"Boleh tahanlah, mak. Apa benda yang penting sangat mak nak beritahu tadi?"

"Macam ni..." Puan Salma terdiam. Merangka ayat yang sesuai untuk dikhabarkan kepada Iliana.

"Ada orang datang rumah."

"Oh! Siapa? Kawan ayah?"

"Ye. Kawan ayah, kawan mak."

"Oh... okey..." balas Iliana pendek. Ingatkan ada apalah yang sampai Puan Salma telefon hendak bercerita.

"Dia nak merisik kamu, Na. Kamu belum ada berkawan dengan sesiapa lagi, kan?"

Dahi Iliana berkerut. Berita yang dibawa oleh Puan Salma kedengaran begitu pelik di telinganya.

"Dah kenapa tiba-tiba datang nak merisiknya ni? Dia kenal Na ke, mak? Tak yah nak mengarutlah mak. Na tak nak."

"Kamu ni. Sampai bila nak bujang macam ni? Ada lelaki yang baik datang, elok agamanya... tak baik menolak. Dia pun sudi terima Na seadanya. Janji dengan mak ayah nak jaga kamu sebaik yang boleh. Boleh jadi fitnah kalau mak dengan ayah menolak, tahu?"

"Ish mak ni. Zaman sekarang tak ada dah orang kahwin arrange marriage macam ni. Na tak percayalah! Mana mungkin lelaki tu hidup dengan Na yang dia tak kenal ni."

"Dia kenal kamu..."

"Hah? Apa mak cakap?"

"Dia kenal kamu dan kamu kenal dia. Mak dah setuju. Kamu juga yang setuju masa di Melaka hari tu, kalau mak terima mana-mana lelaki datang melamar kamu," ungkit Puan Salma. Itu saja cara untuk dia buat Iliana bersetuju dengan pilihannya.

Iliana mengurut-urut keningnya. Sakit terus kepalanya mendengarkan berita yang Puan Salma khabarkan. Menyesal pula berkata begitu semasa di Melaka dulu. Aduh! Apa yang dia patut lakukan sekarang?

"Siapa?"


KarmaTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang