Karma - 07

23 1 0
                                    

"Karma..." sepatah perkataan itu terpacul daripada mulut Iliana.

Zila yang sedang leka melayan drama melayu menoleh. "Kau cakap dengan aku ke?" soalnya apabila terdengar Iliana berkata sesuatu.


Iliana menggeleng. "Kau percaya pada karma, Zila?"

Lama Zila diam. Berfikir. "Setahu aku, kalau dalam Islam ni... karma tak wujud. Yang ada hanyalah kifarah. Balasan Allah dekat dunia atas dosa-dosa yang kita buat."

Iliana mengangguk faham. Kalau begitu, apa yang berlaku dalam hidup dia dua tahun lepas merupakan kifarah atas dosa-dosa dia pada Hazrul, kah? Kerana apa yang dia lalui sebiji seperti apa yang dia telah lakukan pada Hazrul.

"Kenapa tiba-tiba tanya pasal karma ni? Ada novel baru pula ke?"

Iliana ketawa kecil. Kepalanya digelengkan perlahan. "Tak adalah. Tiba-tiba terfikir pasal karma. Selalu sangat orang cakap, bila kita buat orang, kita akan kena balik. Bak kata mat saleh, what goes around comes around."

Zila memandang Iliana dengan riak tidak percaya. "Pasal Hazrul ke?"

Iliana tersenyum nipis. "Kau ni kan, tahu aja apa yang aku fikir."

"Aku kenal kau bukan baru sebulan dua, Na. Aku kenal kau dari darjah satu. Dah dua puluh tahun dah Na..."

"Kau rasa apa yang aku buat dekat Hazrul dulu tu, kejam sangat ke, Zila?"

"Hrm..." Zila menggaru kepala yang tidak gatal. "Kejam jugalah sebenarnya. Kau gunakan Hazrul untuk kepentingan kau. Kesian juga dekat pak cik tu. Lama dia nak move on tau! Mujur tak sampai bunuh diri je."

Iliana sedikit terkejut. "Bunuh diri? Kau biar benar, Zila? Agak-agaklah. Aku pergi, sepuluh yang datang tau!"

"Kau ingat dia main-main ke dengan kau dulu?"

Iliana terdiam.

"Dia sayang kau bersungguh kot. Demi kau, dia ubah style dia untuk ikut style yang kau suka. Budak yang dulunya rambut sikat tepi jadi rambut bad boy. Sebab kau lah Hazrul yang tak popular tu jadi bualan dan kegilaan budak-budak perempuan lepas dia jadi hot, kau tahu?"

"Itu yang aku cakap... aku seorang pergi, sepuluh orang mari!"

Zila menggeleng tidak bersetuju. "Pak cik tu, depression teruk lepas kau tinggalkan dia. Kau yang kena dumped dengan Zul pun setahun lebih tak move on."

"Sheeshhh" Iliana menjeling Zila. Perlu ke ambil kes dia sebagai contoh?

"Macam itu jugalah pak cik tu. Dulu aku dengar cerita daripada akak dia, lama dia murung. Mujurlah nak juga sambung belajar dekat universiti akhirnya."

Iliana hanya diam. Sejak dia putuskan hubungan dengan Hazrul dulu, inilah pertama kali dia mendengar apa yang berlaku pada Hazrul selepas itu. Sedikit sebanyak, perasaan bersalah mula mengetuk hati Iliana.

***

"Bila kamu nak balik, Na? Dah sebulan lebih mak tak tengok muka kamu," kata Puan Salma di hujung talian.

Ilana tersenyum nipis. "Nanti ada cuti, Na baliklah mak. Sekarang ni tengah sibuk betul."

"Na... mak ayah tak pernah mengharapkan duit kamu bulan-bulan tu Na. Kami ni kalau boleh nak tengok kamu depan mata. Tahu kamu sihat ke tidak, hidup terurus ke tidak..." bebel Puan Salma lagi.

Iliana ketawa kecil. "Mak, takkanlah mak nak Na balik kampung? Apa je peluang kerja yang ada dekat sana? Penat Na belajar bertahun-tahun dekat universiti tiba-tiba mak nak Na balik kampung pula?"

"Apa salahnya? Kamu tahu si Hazrul tu... yang berkawan dengan kamu masa tingkatan empat sampai tingkatan lima?"


Iliana mengetap gigi. Hendak berlakon dia hilang ingatan, tak boleh pula. Kenapa mesti nama Hazrul juga yang Puan Salma sebut? Macam tak ada orang lain!

"Dia dah balik kampung, Na. Beli tanah Wan Leman nak usahakan jadi kolam ikan."

"Itu orang. Bukannya Na..."

"Kamu kerjalah dengan dia."

"Hish mak ni. Tak ada kerjalah Na nak kerja dengan Hazrul tu. Kerja sekarang lagi seronoklah mak. Gaji pun sedap."

"Tapi masa untuk keluarga tak ada...."

"Tak apalah mak. Na single lagi. Nanti dah kahwin cerita lain."

"Itulah silap budak-budak muda sekarang... kalau single, sebut keluarga je fikir kahwin. Lupa ke ada mak ayah di kampung?" sindir Puan Salma.

Iliana menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dia mula lagi... akhirnya Iliana mengalah.

"Nantilah, minggu depan Na balik. Mak janganlah merajuk..."

"Kamu kalau tak cakap, memang tak akan tunjuk muka."

"Ye mak. Minggu depan Na balik. Promise!" ujar Iliana sekali lagi. Mahu menamatkan bebelan Puan Salma yang tak tahu bila akan berhenti.

KarmaWhere stories live. Discover now