Karma - 14

20 1 0
                                    

14

"Jemputlah datang majlis saya nanti. Dua bulan dari sekarang insya Allah..."

Kata-kata itu terngiang-ngiang di telinganya sendiri. Iliana menampar-nampar pipinya perlahan. Kenapalah dia boleh cakap begitu tadi? Semuanya sebab dia tak nak nampak lemah dan kalah. Mana tidaknya? Selepas Zul menegurnya, Fatin berjalan masuk ke dalam Baskin Robbins dengan anak kecil mereka. Nampak benar mereka semakin bahagia.

"Kenapalah bijak sangat aku cakap macam tu? Pinangan si Hazrul itu pun belum tentu aku terima..." Iliana membebel sendiri.

"Pandai Iliana! Nak nampak kuat sangat, menempah bala. Alahai Iliana... Iliana..." tambahnya lagi.

Sampai di rumah, Zila masih menonton drama Melayu di televisyen. Dia punya fokus, sampai langsung tak menegur Iliana nak baru pulang.

"Nah aiskrim kau."

Iliana meletakkan bekas aiskrim di atas meja kopi. Tanpa sebarang suara, Zila mengambil bekas itu dan mula mencedok aiskrim dengan sudu yang diberikan.

"Aku jumpa Zul tadi."

Zila terhenti menyuap. Pandangannya dialihkan daripada kaca televisyen ke muka Iliana yang tidak beriak di sebelahnya. Kisah Iliana terasa lebih menarik daripada drama Suami Aku Drebar Lori yang sedang ditayangkan.

"Dia ada kat sini?"

Iliana mengangguk. "Pindah sini balik tahun lepas."

"Oh..." Zila sambung menyuap aiskrim. "Kau ok, kan? Cerita dua tahun lepas. Takkan kau masih mengharap?"

"Gila kau. Aku tak desperate mana nak kan dia."

"Bagus! Maknanya kau dah move on sepenuhnya. Fikirkan masa depan kau je, Na. Takyah dikenang-kenang barang yang lepas. Tu Hazrul tu. Dia tu masa depan kau."

Iliana mencebik. Tangan membuka lilitan selendang di kepala. Dalam pada masa yang sama, dia memikirkan kata-kata Zila tadi. Hazrul masa depannya? Entahlah. Dia masih tidak yakin untuk menerima Hazrul. Dia sendiri tak tahu dia tidak yakin dengan Hazrul ataupun tidak yakin dengan diri sendiri. Tapi bila Hazrul sudah katakan dia ikutkan saja keputusan kedua orang tuanya, tinggal dia yang perlu membuat keputusan.

'Terima atau tolak?'

Iliana menelan air liur. Persoalan itu masih berlegar-legar di fikirannya. Wajah Hazrul menerpa ingatannya. Hazrul sekarang bukanlah Hazrul sepuluh tahun dulu. Jadi dia tak boleh nak agak apa yang lelaki itu rasa dan fikirkan. Dia dengan Hazrul sudah menjadi orang asing. Agak-agak kalau dia tak balik masa rombongan Hazrul datang nanti, apa jadi agaknya?

Bunyi telefon bimbit yang sayup-sayup dari dalam bilik mematikan khayalan Iliana. Terus dia bangun untuk menjawab panggilan tersebut. Membaca nama Puan Salma di skrin, Iliana menghela nafas berat.

"Buat apa sampai mak telefon sepuluh kali tak berangkat?" bising Puan Salma. Mana tidaknya, sepuluh kali dia mendail nombor Iliana tetapi tidak berangakat. Manalah tahu tiba-tiba anak perempuannya buat perangai pula.

"Na keluar tadi. Telefon tertinggal kat rumah. Kenapa mak?"

"Tak adalah apa. Sajalah mak telefon kamu nak dengar khabar. Bila balik sini? Cuti dah dapat belum? Rombongan Hazrul nak datang Sabtu ni. Kamu jangan buat perangai tak nak balik pulak."

Iliana mengetap bibir. Risau pula kalau permintaannya nanti menyebabkan darah tinggi Puan Salma naik secara tiba-tiba.

"Mak..."

"Apa dia, Na?" suara Puan Salma masih lembut di hujung talian. Hatinya mula gundah. Terasa lain nada suara Iliana malam ini.

"Kalau Na tak balik weekend ni, boleh tak? Kita batalkanlah urusan hujung minggu ni. Na tak payah bertunang..." ujar Iliana. dengan berhati-hati.

"Iliana!" nada suara Puan Salma meninggi. Apa yang dia takutkan menjadi juga. Alahai Iliana anak bertuah!


KarmaTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang