Iliana mencapai sebuah novel berwarna coklat keperangan. Gambar rama-rama di tengah-tengah muka hadapan novel tersebut menarik perhatiannya. Sekilas sinopsis di belakang novel dia baca. Menarik. Harganya pula tengah promosi, tanpa berfikir panjang, Iliana terus mengambil novel bertajuk Bidadari itu untuk dibawa ke kaunter pembayaran nanti.
Iliana melangkah pula ke arah rak-rak buku masakan. melihatkan gambar-gambar yang tertera di kulit buku membuatkan dirinya terliur. Nampak sedap! Iliana mencapai sebuah buku resipi masakan ayam. Usai membelek, dia letakkan kembali buku itu ke tempat asal. Terpandangkan sebuah buku resipi yang sedikit tebal, Iliana menghulurkan tangan untuk mengambil buku itu. Namun tidak sempat dia hendak capai, tangannya bersentuh dengan tangan seorang lelaki yang turut hendak mengambil buku yang sama.
"Eh! Sorry!" ucap lelaki itu tatkala tersedar perkara yang berlaku.
Iliana sekadar tersenyum. "Tak apa...."
Kepala ditoleh. Tatkala matanya menyapa wajah lelaki itu, memori lama yang tersimpan kemas kembali muncul.
"Iliana?"
Sedaya upaya Iliana menahan riaksi wajahnya daripada berubah. Gelojak di dalam hatinya hanya Allah yang tahu.
"Sorry. Kita pernah jumpa ke?" soal Iliana selamba.
Lelaki itu tersenyum hambar. Kepalanya digelengkan perlahan.
"Mungkin saya salah orang agaknya..."
Iliana sekadar tersenyum lalu mengangkat bahu. Tidak mahu berlama-lama dengan lelaki itu, Iliana melangkah ke arah kaunter pembayaran dengan tenang. Selesai membeli, terus Iliana berjalan keluar meninggalkan kedai buku Popular di belakang. Tangannya yang sedikit menggigil dia genggam kuat.
Ah... kenapa selepas bertahun-tahun, dia berjumpa kenangan yang dia mahu lupakan? Iliana mengurut-urut kening kirinya lembut. Cuba untuk mengawal perasaannya. Tersentuhkan kelopak mata kiri, ingatan Iliana melayang teringatkan peristiwa beberapa minggu yang lepas.
"... ada yang kata kelopak mata kiri bergerak ni petanda ada kawan-kawan lama nak jumpa."
Iliana mengetap bibir. Kalau inilah kawan lama yang nak jumpa, tak jumpa sampai mati pun dia sanggup!