Hana melihat skrin telefon bimbitnya, kemudian merenung helaian kertas kajang yang dipenuhi tulisannya. Dia topang dagu, berfikir.
"Mereka semua dari pusat tahfiz yang sama, ya..."
Siang tadi, mereka berlima pergi mencari kanak-kanak berjubah dan berserban di sekitar bandar. Siap temuramah lagi. Ada yang tidak kisah ditanya soalan, ada yang hanya bercakap jika barang jualan dibeli, dan ada yang buat tidak tahu sahaja. Selalunya, yang ringan mulut bercerita itu adalah mereka yang masih kecil, sekitar 11 ke 12 tahun. Mereka yang buat tidak peduli itu pula adalah dari mereka yang lebih tua, sekitar 15 ke 16 tahun.
Nampaknya kelebihan 'nampak fikiran' Hana berguna apabila menghadapi pelajar tahfiz yang lebih tua. Jangkaannya langsung tidak meleset. Memang ada sesuatu yang tidak kena berkenaan pusat tahfiz tersebut. Kesannya dapat dilihat pada apa yang dia nampak dalam minda mereka.
Hana melihat tulisan di atas kertas itu - hasil 'tengok fikiran' Hana. Jari-jemarinya diketuk di atas meja.
'Islam tertindas di negara sendiri'
'pengaruh anasir luar merosakkan Muslim'
Okey... Yang ini boleh tahan lagi.
'mereka yang tidak mengamalkan Islam sebenar harus disedarkan'
'sesuatu harus dilakukan supaya mereka sedar pada kebenaran'
'tiada yang benar, melainkan yang benar belaka'
Pelik. Memang pelik. Seolah-olah fikiran mereka sudah didoktrinkan oleh seseorang. Dia teringat pula apa Salleh beritahu dia melalui telefon tadi.
"Mereka ni, nama je pelajar tahfiz. Tapi, bila ditanya, surah lazim pun tak lepas. Surah Al-Fatihah dan Ayat Kursi pun tergagap-gagap. Macam... Macam mereka ni cuma meniaga saja sejak masuk ke sana," kata Salleh.
"Ada lagi yang awak jumpa, Salleh?"
"Hm... Bray ada ajak satu kumpulan ni makan roti canai di kedai mamak tak jauh dari situ. Mereka makan tak ingat dunia! Nampak benar tak makan langsung sejak pagi. Andi pula, dia ada borak-borak dengan satu kumpulan lagi. Mereka cerita, yang mereka selalunya ditinggalkan di situ untuk meniaga pada pukul 7 pagi. Pukul 10 malam nanti, baru van datang ambil mereka balik asrama."
"Mereka ada beritahu tak pasal tempat mereka belajar tu?"
"Yang tu..." Salleh hela nafas. "Kami tak sempat berbual pasal tu. Masa berbual tadi pun, tiba-tiba muncul seorang lelaki badan macam komando, suruh budak-budak tu masuk van. Budak-budak tu pula, menurut saja arahan lelaki tu. Saya ni dia pandang macan nak makan. Dan... Itu yang pelik. Awal pula mereka balik asrama hari ini. Hmm... Belum masuk pukul 9 pun."
Hana kerut dahi. Mindanya berputar ligat. Ya, memang ada sesuatu yang tidak kena. Apa dia? Ikutkan hati, dia mahu saja tengok fikiran pekerja pusat tahfiz itu. Kenapalah Salleh pula yang terserempak dengan pekerja pusat tahfiz itu tadi?
"Hana!" Zel meluru masuk ke dalam bilik, mengejutkan Hana yang sedang berfikir. "Awak mesti nak tengok ni."
"Tengok apa?"
Zel tarik Hana ke ruang tamu, dan terus menunding ke arah skrin televisyen. Hana terpaku seketika.
(...)
Laily berhenti melakar dalam buku contengnya, lalu melihat apa yang terpapar di skrin televisyen. Laporan media berkenaan pelajar tahfiz sedang meniaga terpapar di skrin televisyen itu. Harapnya apa yang terpapar di situ dapat membuka mata masyarakat untuk lebih peka terhadap apa yang sedang berlaku.
Telefon bimbitnya berbunyi menandakan mesej masuk.
Yosh! Sudah tular di media massa dan media sosial! Tak sangka plan awak menjadi. - F/N😼
Laily senyum sendiri. Jarinya pantas menaip jawapan balas.
Pembetulan, plan kita. Awak juga main peranan yang besar. Lama juga nak yakinkan media massa untuk cover isu ni. Mujur Encik Alex beri lampu hijau. - Laily
Hehehe. Saya sekadar menjalankan tugas! 😊 - F/N😼
Laily sambung menonton apa yang dipaparkan di televisyen itu. Namun, jauh di sudut hatinya, dia terasa resah. Lebih-lebih lagi apabila mengenangkan apa yang diberitahu Adam siang tadi. Sejurus selepas mendapat maklumat itu, Laily terus menghubungi En. Alex.
"Harap En. Alex dapat segerakan bahagian dia," gumam Laily perlahan.
(...)
Komputer riba di atas meja terpasang dan dihubungkan kepada WiFi hotel. Dia melihat sekitar. Semua orang sedang lena diulit mimpi. Pelayar internet Google Chrome dibuka. Enjin carian Google terpapar secara default. Jari-jemarinya pantas menaip di ruang carian.
'Misteri Pembunuh Aksara'
Maklumat yang terpapar dibaca dengan terperinci.
Dia menyedari sesuatu sewaktu mengekori Bray siang tadi, sambil makan tart sepanjang jalan. Bray, bersama-sama kuartret dari KST itu, pergi mendekati kanak-kanak tahfiz yang sedang berniaga di sekitar bandar. Jadi, dia pergi mendekati salah seorang pelajar tahfiz itu dan membeli balm berubat - RM15 sebotol - semata-mata untuk memahami apa yang sedang dicari mereka.
Tab baru pelayar internet dibuka, sesuatu ditaip di ruang carian Google.
'Institut Tahfiz Nour Mina'
Dia menghadam apa yang terpamer di skrin. Dahinya berkerut. Kefahaman mula meresap ke dalam mindanya secara perlahan-lahan.
"Hm... Begitu?" Dia berbisik.
(...)
Adam tersedar dari lena. Dia melihat jam. Pukul 3 pagi. Perutnya terasa memulas. Dengan senyap dia pergi ke tandas.
Selesai sahaja urusannya, dia berjalan ke arah biliknya semula, namun terhenti apabila ternampak sekumpulan lelaki memikul rakan-rakan sebiliknya yang dibungkus kain selimut, tidak dapat menjerit dan sedang meronta-ronta, dibawa turun.
Adam terus lari ke tingkat bawah lalu bersembunyi di celahan tong biru tidak jauh dari pintu belakang. Dari situ, dia nampak rakan-rakan sebiliknya dibawa masuk ke sebuah lori.
"Kurang seorang," kata seseorang dalam gelap. Adam tersentak.
Itu suara Walid! Kenapa? Apa yang sedang berlaku?
"Walid, budak ni di sini."
Adam toleh belakang. Nizam sedang berdiri di sebelah tong tempat dia menyorok, sedang merenungnya sambil tersenyum lebar. Tangan Adam ditangkap. Dia diseret ke luar banglo itu.
Adam meronta-ronta seketika sebelum menggigit tangan Nizam. Pegangan dilepaskan. Adam terus buka langkah seribu, melepasi pintu pagar, meredah kegelapan malam.
"Tak guna!" Nizam mula mengejar Adam namun ditahan mudir institut tahfiz itu.
"Tak apa. Dia takkan dapat pergi jauh," katanya sambil senyum penuh makna.
(...)
Adam terhenti di hadapan balai polis. Dia tidak jadi masuk ke dalam apabila ternampak beberapa orang pekerja institut tahfiz itu berada di sana, sedang berbual dengan pegawai polis yang baru sahaja habis meronda di situ.
Adam berpusing, berlari tidak tentu arah, mindanya buntu. Dia lihat ke arah langit. Bulan dan bintang kelihatan.
"Kak Laily," katanya perlahan. Dia sudah tahu hendak ke mana.
Stesen minyak tempat dia selalu bertemu Laily.

ANDA SEDANG MEMBACA
Hubung : 2 + 1 + 1(?)
AdventureSeorang gadis yang kasar dan lasak, juga jaguh sukan paintball. Seorang gadis yang berupaya untuk 'nampak' fikiran orang lain melalui mata. Seorang remaja perempuan misteri, berpakaian serba hitam dengan selendang terlilit di leher, dan kerap muncul...