Seorang pegawai polis lelaki berbangsa Cina melangkah keluar dari sebuah wad, ditemani seorang doktor wanita.
"Dia... Tak ingat apa-apa pasal insiden malam itu nampaknya," kata pegawai polis itu sambil hela nafas lemah. "Adakah dia takkan ingat pasal itu untuk selamanya, doktor?"
Doktor wanita itu diam seketika. "Saya tak dapat pastikan sama ada dia akan ingat semula memori itu atau tidak. Memang amnesia antara kesan sampingan terapi itu. Tapi, kalau memori dia pada malam itu sebabkan dia alami katatonia... Biarlah dia lupakan saja."
Polis itu mengangguk lemah. Faham akan kata-kata doktor itu. "Nampaknya, kemungkinan besar fail kes 'pembunuh aksara' ni akan ditutup terus..."
"Yalah. Suspek mati. Saksi hilang ingatan. Saya tak pelik kalau itu berlaku." Doktor itu mengangguk perlahan. "Saya nak tengokkan pesakit itu. Kalau ada apa-apa update, nanti saya maklumkan pada tuan... Er..."
"ASP Alex Lim Kok Chuan."
"Ah ya. Tuan Alex Lim. Lupa lagi nama. Padahal selalu juga tuan ke sini sebab nak jumpa pesakit tu."
"Tak mengapa, Doktor Suria. Saya faham doktor uruskan ramai sangat pesakit sampai lupa nama." Sekeping kad nama dihulur. "Ni kad saya. Kalau hilang lagi, tak tahulah mahu kata apa."
Doktor itu sekadar sengih seraya mengambil kad yang dihulurkan itu, sebelum bergegas ke wad seliaannya.
(...)
"Assalamualaikum!"
Kak Suria yang baru sahaja keluar dari bilik Laily terus menjenguk keluar. Kelihatan Hana berdiri di pintu pagar, membawa sesuatu dalam bekas tupperware.
"Waalaikumussalam," jawab Kak Suria, terus keluar rumah, berjalan ke arah pintu pagar.
Bekas tupperware dihulur. "Ni, saya ada buatkan kek keju blueberry. Ada lebih, ingat nak beri sedikit pada Laily. Nak bagi dia rasa. Er... Laily mana?"
"Laily? Dia demam. Tengah tidur sekarang. Nanti, bila dia dah bangun, akak beri dia kek awak ni. Terima kasih, ya," kata Kak Suria, mengambil bekas tupperware itu.
"Akak," kata Hana, terus merenung dalam-dalam mata Kak Suria. Senyumannya sedikit memudar.
"Kenapa?" Kak Suria bertanya. Hairan. Hana tersentak sedikit lalu menggeleng laju.
"Tak ada apa-apalah, kak. Saya gerak dulu," kata Hana, sengih. Dia kemudian berjalan laju meninggalkan kawasan itu.
Sebaik sahaja Kak Suria masuk ke dalam rumah, Hana berhenti melangkah. Dia tekup mulutnya. Setitis air mata mengalir ke pipi.
(...)
Hana termenung, melihat awan yang berarak di langit biru. Mindanya menghadam apa yang dia nampak dalam minda Kak Suria tadi. Sesekali dia melihat telefonnya, mesej dari Bray dibaca. Baru dia faham kenapa Tuan Alex menyusuh Syam mengikutnya pagi tadi.
"Banyak betul kejutan hari ini," kata Hana perlahan.
"Kejutan?" Zel tiba-tiba menegur dari belakang. Hana terus menoleh ke arah Zel.
"Ya. Salah satunya, apa yang awak buat ni," kata Hana, kurang senang.
Zel sengih. Sepotong kecil kek non-bake keju blueberry diletakkan di atas pangkin. Sesudu kek disuap ke mulut. "Apa yang awak nampak masa pergi rumah Laily tadi?"
"Kak Suria. Dia bukan kakak kandung Laily sebenarnya."
"Habis tu?"
"Dia psychologist merangkap penjaga Laily. Laily sebenarnya sebatang kara sejak umurnya 12 tahun."
YOU ARE READING
Hubung : 2 + 1 + 1(?)
AventureSeorang gadis yang kasar dan lasak, juga jaguh sukan paintball. Seorang gadis yang berupaya untuk 'nampak' fikiran orang lain melalui mata. Seorang remaja perempuan misteri, berpakaian serba hitam dengan selendang terlilit di leher, dan kerap muncul...