3 (1)

219 17 9
                                    

Zel dan Nina menggigit tart keju blueberry hasil kerjasama Azlin dan Hana. Mata Zel terpejam, menghayati nikmat yang baginya syurga dunia itu.

"Kak Lin dengan Hana patut buka bakeri," puji Zel. "Ini tart keju blueberry paling sedap Zel pernah rasa."

Hana dan Azlin sama-sama senyum puas.

"Menjadi juga tart tu, ya?" Hana berkata, mengambil sebiji tart di pinggan hidangan lalu dimakan. Azlin senyum sendiri. Dilihat sedozen tart keju blueberry yang diletakkan di redai kuih, yang baru sahaja keluar dari ketuhar. Empat biji tart diambil lalu dimasukkan ke dalam tupperware. Tupperware itu kemudian dibiar terbuka, tidak mahu tart itu lemau segera.

"Akak, kenapa akak asingkan tart tu?" Zel bertanya, hairan.

"Adalah," kata Azlin, tersipu malu.

"Kakak dah ada boyfriend," kata Nina secara tiba-tiba. Azlin tergamam, malu.

"Eh? Seriuslah!" Hana terkejut.

"Siapa?" Zel tanya teruja.

"Er... Kejap lagi, awak berdua jumpalah dia," kata Azlin, masih tersipu malu.

(...)

"Tepung gandum?"

"Check!"

"Mentega?"

"Check!"

"Keju krim?"

"Check!"

"Gula kastor?"

"Check!"

"Inti blueberry?"

"Check!"

"Esen lemon?"

"Mana ada esen lemon?"

"Tak ada, ya?"

"Takde."

"Betul tak ada, Zel?"

"Dah tiga kali check. Takde."

Hana diam seketika sambil merenung senarai bahan membuat tart keju blueberry di tangannya.

"Esen vanila ada di rumah, kan, Nina?" Hana tanya Nina yang melihat-lihat telur di rak.

"Ada je," kata Nina. "Hana, apa beza gred-gred telur ni?"

"Gred telur? Saiz dia. Gred A besar, gred B sedang, gred C kecil."

"Gred AA?"

"Tu... Telur yang paling besar. Selalunya kuning telurnya 'kembar'," kata Hana.

"Jadi... Kalau dia menetas, anak ayam tu jadi kembar siam ke?"

"Er..." Hana garu kepala seketika. "Tak pernah pula terfikir nak cuba eramkan telur tu, tengok apa jadi."

"Kita cuba eramkan, nak?" Nina tanya teruja.

"Kalau nak telur tu bertukar jadi telur tembelang, buatlah!" Zel berkata selamba. Nina mencebik.

Hana tertawa. "Betul kata Zel tu. Kalau dah letak dalam karton tu, dah tak dapat jadi anak ayam dah. Kalau telur tu memang nak ditetaskan jadi anak ayam, dia takkan jual. Keluar je dari ibu ayam tu, dia eramkan terus."

"Ooh..." Nina mengangguk perlahan.

"Heh. Cakap pasal telur ni, aku terus teringat Putra," kata Zel perlahan. Hana terus sengih.

"Siapa Putra?" Nina tanya.

"Oh. Kawan satu course kitorang. Tak payahlah tahu apa dia dah buat," kata Hana.

Putra pernah buat kecoh di asrama beberapa minggu lepas, sebab dia memandai-mandai sorok beberapa biji telur ayam kampung segar di atas peti sejuk pantri tingkat 4 blok C KBJ. Cukup saja tiga minggu, ada beberapa ekor anak ayam merayau-rayau di pantri. Dan, macam biasa, Andi yang jadi mangsa keadaan. Tak pasal-pasal kena saman atas alasan 'membela haiwan peliharaan tanpa izin', disebabkan ada orang ternampak Putra menyorokkan telur-telur itu di situ.

"Hm... Nina, ambil sajalah telur gred C sekarton," kata Hana. Nina menurut, meletakkan telur itu ke dalam raga berisi barangan membuat tart.

"Cukup ke ni? Ramai nak makan ni," kata Nina.

"InsyaALLAH cukup."

"Lepas ni, pergi Dewan Persadalah, kan?"

Hana mengangguk.

"Yes!" Nina bersorak perlahan.

Zel angkat kening. "Wei. Kau teruja sangat ni, apahal?"

"Ala. Saja. Kita pergi sana ni, nak tengok-tengok je kan. Manalah tahu kalau-kalau terserempak encik penulis novel ni, kan?" Nina bawa keluar novel 'Kerana Aku Cinta Kamu' dari dalam beg silangnya.

"Dah kenapa kau bawa novel tu?" Zel tanya, kurang senang. "Kan aku dah cakap, fan-meet tu minggu depan."

"Ala. Ni buat bacaan masa dalam kereta tadi," kata Nina selamba. "Manalah tahu terserempak, kan. Manalah tahu..." Dia peluk novel di tangannya itu rapat ke dada.

Zel tiba-tba terasa seram. Memori dia menghadap 'mambang jamban' itu kembali bermain dalam mindanya. Dahlah 'mambang jamban' itu watak utama novel di tangan Nina itu! Aron Raiz!

Hana tepuk bahu Zel. "Dahlah. Jom bayar. Nanti lambat pula nak ke pameran buku tu."

"Y... Ya..." Zel tergagap-gagap.

(...)

Suasana di Dewan Persada riuh dengan para pengunjung. Pameran buku sudah masuk hari kedua. Hari ini, diadakan program bertemu peminat untuk para kartunis. Ruang utama penuh dengan peminat komik dan novel grafik tempatan. Para kartunis sibuk melayan peminat masing-masing, terutamanya mereka yang bernaung di bawah label 'Tim MISI'.

Laily masuk ke reruai STP Publications, sedang berdiri di hadapan rak buku yang menempatkan novel-novel di bawah siri 'Tunas Muda' - merujuk kepada penulis novel yang berusia 15 tahun ke bawah. Sesekali dibelek-belek novel-novel itu.

"Laily, tertarik ke dengan hasil kerja sendiri?"

Laily sedikit terkejut. Dia menoleh di sebelahnya. En. Alwan, editor komik bagi syarikat STP Publications sedang berdiri di sebelahnya.

"Tak adalah, En. Alwan. Saja nak tengok-tengok. Elok pula rupanya bila siap. Risau juga kalau-kalau fail rosak masa submission hari tu."

Laily berkerja di rumah secara sambilan dan atas talian, menghasilkan ilustrasi untuk siri novel 'Tunas Muda' bersama dua orang lagi ilustrator bertaraf professional. Melihat hasil kerja siap di depan mata amat memuaskan hatinya, walaupun sekadar lukisan untuk kulit buku. Yalah, dia cuma pelukis kartun bertaraf amatur saja.

"Bila nak hantar proposal komik?" Tiba-tiba En. Alwan bertanya.

"Bila idea cukup buat satu buku," jawab Laily. "Idea yang sedia ada ni, tak cukup nak buat bukulah, En. Alwan. Buat one-shot, bolehlah. Rasanya tak ada projek komik antologi buat masa terdekat ni, kan."

"Hm... Tiada rasanya. Kalau macam tu, kamu carilah penulis, buat pasukan. Macam Tim MISI," cadang En. Alwan.

"Macamlah ada yang sudi, En. Alwan," kata Laily perlahan.

Tiba-tiba, gegantung di ruang hadapan reruai itu terjatuh dilanggar seseorang. En. Alwan dan Laily terus menoleh ke arah hadapan reruai. Seorang lelaki baru sahaja bangun dari lantai, sedang kelam-kabut mendirikan semula gegantung yang dilanggarnya itu.

"Ish, kau ni, Syam. Cuai benar," tegur seorang lelaki di sebelahnya.

"Aku tak sengajalah," kata lelaki yang mendirikan semula gegantung itu. Mereka berdua terus berjalan ke arah reruai yang terletak selang tiga reruai dari situ. Reruai milik syarikat A'm Novel St. Holding.

Laily yang perhatikan gelagat lelaki itu terus kerut dahi. Hairan. Punyalah besar laluan depan sana, dia masih boleh berlanggar dengan gegantung itu. Rabun mata agaknya.

Hubung : 2 + 1 + 1(?)Where stories live. Discover now