Subuh menjelang. Suasana terang-terang tanah. Terasa dingin menyucuk ke tulang. Seorang lelaki bertubuh besar sedang mundar-mandir di hadapan Hotel Melati. Dia bagaikan memerhatikan sesuatu di situ.
"Encik, kenapa encik ke sini Ada apa-apa yang boleh saya bantu?" Seseorang beruniform hotel, yang hendak bergerak pulang, menegur lelaki bertubuh besar itu. Dia hanya bungkam lalu pergi dari situ, meninggalkan pekerja hotel itu terpinga-pinga.
Di atas bumbung deretan kedai dua tingkat berhadapan hotel itu, satu lembaga hitam sedang duduk, memerhatikan gelagat lelaki itu.
(...)
Syam yang baru sahaja selesai solat Subuh berjalan ke arah sliding door kaca yang menghala ke beranda yang menghadap ruang hadapan hotel. Tirai kain diselak sedikit. Dahinya berkerut seketika. Di atas bumbung sebuah kedai, betul-betul bertentangan dengan biliknya, kelihatan satu lembaga hitam duduk di situ.
Dia gosok mata. Takut tersalah nampak. Lembaga itu masih di situ. Siap tenung Syam lagi.
"Hei, tengok apa tu?" Bray menegur secara tiba-tiba. Terperanjat Syam dibuatnya.
"Aku tengok..." Dia pandang semula ke bumbung kedai itu. Lembaga itu sudah menghilangkan diri.
"Tengok apa?"
"Er... Tak ada apa-apa."
(...)
Laily berjalan membelah kesamaran Subuh. Di tangannya ada plastik berisi kuih-muih yang dibeli di gerai berhampiran. Suasana jalan besar yang terletak bersebelahan tanah perkuburan Islam itu gelap dan terasa seram, namun Laily bagaikan tidak peduli dengan keseraman itu.
Langkah Laily tiba-tiba terhenti. Telinganya menangkap bunyi besi berlaga. Lantas dia menoleh ke arah tanah perkuburan di sebelahnya. Matanya menangkap kelibat manusia sedang melarikan diri.
Laily tolak pintu pagar kecil tanah perkuburan itu, memberi salam kepada ahli kubur lalu masuk ke dalam. Langkahnya menghampiri satu kubur yang terletak agak jauh dari pintu pagar. Dahinya berkerut. Ada cebisan kain kuning terikat di kaki batu nisan itu. Melihatkan bentuk batu nisan itu, itu kubur seorang perempuan. Dia pandang ke arah pagar chain link tidak jauh dari situ. Ada lubang yang agak besar, bagaikan dipotong sesuatu.
Laily kemudian keluar dari kawasan tanah perkuburan itu, berjalan pulang ke rumah sambil berfikir panjang.
(...)
Salleh pandang sekeliling di koridor Dewan Persada. Hairan. Pameran buku masih berjalan seperti biasa. Namun, di satu sudut, kelihatan beberapa orang datang berpakaian sebiji macam watak-watak animanga dari Jepun. Daripada watak dalam siri anime Naruto hinggalah ke watak filem animasi Studio Ghibli. Ada yang pakaian mereka diubahsuai supaya patuh syariah.
"Weh, betul ke Hana suruh datang sini ni?" Salleh bertanya Andi yang berada tidak jauh darinya. Andi angguk sekali, mengiakan.
"Ada aku terlepas apa-apa ke hari ni?" Salleh tertanya-tanya dan kagum pada masa yang sama melihat kumpulan cosplayer yang bertandang. Andi di sebelah menghulurkan flyer yang diberikan pihak penganjur.
"La. Hari ini ada event cosplay? Bukan selalu event macam ni buat hujung minggu ke?" Salleh berkata perlahan selepas membaca isi flyer itu.
"Entah. Saya bukannya follow sangat dunia ACG. Pergilah tanya penganjur," kata Andi.
"Huh. Kalau aku tahu ada event cosplay, aku pun nak sertai," kata Salleh perlahan.
"Awak nak cosplay watak apa, kalau ya pun?" Andi bertanya, hairan.
"Watak komik tempatan! Watak 'Danial' dari komik 'Babap Boi'! Bandana bintang dah ada dalam poket ni. Er... Pinjam cermin mata Yunus, boleh tak?"
Andi pandang Salleh, lama. "Er... Tak payahlah. Takut hilang pula nanti..."
"Ala..."
Bray muncul seketika kemudian, kelihatan tidak bersemangat. Naik pelik mereka berdua melihat kehadiran lelaki itu.
"Eh, apa awak buat di sini? Syam mana?" Salleh terus bertanya.
"Hana panggil juga. Syam di hotel, temgah sambung tidur lepas Subuh."
Sambung. Tidur. Huh? Fikir Salleh.
"Apahal Hana panggil awak pula?"
Bray terus teringat insiden tengah malam tadi. Dia menggeleng perlahan, tidak mahu jawab soalan cepuklemas Salleh itu.
(...)
Lelaki bertubuh besar itu muncul kembali di hadapan Hotel Melati. Kali ini, berpakaian sukan dengan berkopiah di kepalanya. Dia berjalan masuk ke lobi. Dia cuba seboleh mungkin untuk mengelakkan tingkah lakunya dicurigai orang sekeliling. Sebuah beg kembara yang kelihatan berat dibawa bersama.
Dia berhenti di antara tong sampah besi dan pasu bunga di lobi hotel, lalu meletakkan beg itu di situ. Muat-muat beg itu terselit di situ. Dia kemudian pandang sekeliling untuk memastikan tiada sesiapa yang nampak dia tinggalkan beg itu di situ.
Tiada sesiapa yang pedulikan apa yang dibuatnya di situ. Masing-masing di lobi sibuk dengan hal masing-masing.
"Kamu semua... Akan sedar pada kebenaran. Tunggulah," kata lelaki itu.
Dia kemudian terus berjalan meninggalkan kawasan lobi, dan keluar dari hotel.
(...)
Di atas bumbung rumah kedai berhadapan hotel, lembaga hitam itu kembali duduk di situ, memerhatikan gelagat lelaki itu. Jam tangannya direnung. Pukul 11 pagi.
"Tiada yang benar, melainkan yang benar belaka, ya?" Lembaga itu menggumam perlahan. "Betulkah itu kebenarannya, huh?"
(...)
Dia tolak tirai kain ke tepi lalu melihat ke luar melalui sliding door itu. Baru sahaja dia perasan kewujudan lembaga hitam di atas bumbung deretan rumah kedai, yang menghadap hotel tempat penginapannya itu.
Ada sesuatu sedang berlaku di hadapannya itu.
Dia pandang semula ke arah bumbung itu. Lembaga itu menghilang. Lagi sekali.
Mencurigakan.
Ada sesuatu yang... Tidak sepatutnya berlaku sekarang ini.
Dia menoleh sekeliling. Tiada sesiapa di dalam bilik. Dia berjalan ke arah kabinet bina dalam tidak jauh dari situ, tempat beg-beg pakaian diletak. Pintu kabinet dibuka. Dibawa keluar tiub simpanan lukisan boleh laras yang dibawa dari rumah. Penutup tiub dibuka, isinya dikeluarkan.
Bukan lukisan. Tapi sesuatu yang panjang dan berbalut kain. Balutan kain dibuka, mendedahkan isinya.
Sebilah pedang samurai.
YOU ARE READING
Hubung : 2 + 1 + 1(?)
AdventureSeorang gadis yang kasar dan lasak, juga jaguh sukan paintball. Seorang gadis yang berupaya untuk 'nampak' fikiran orang lain melalui mata. Seorang remaja perempuan misteri, berpakaian serba hitam dengan selendang terlilit di leher, dan kerap muncul...