Bakul berisi beberapa paket kecil mayonis, plastik berisi bebrapa labu bawang merah dan beberapa tangkai cili padi, dua bungkus besar sayur salad yang diambil di ruang 'Reduced To Clear' dan dua tin sardin diperhati sedari tadi. Mata Salleh kemudian merenung ke arah Andi yang memeriksa harga telur.
Mereka berempat kini berada di Aeon Baiduri, untuk membeli barang yang diperlukan. Siap pinjam kad Aeon Member Kak Shila lagi, sebab nak merasa diskaun. Kononnya.
"Itu je kau dapat dari budak-budak tahfiz tu?" Salleh bertanya.
"Ya. Tu je. Tapi okeylah, kan. Dapat tahu masa mereka beroperasi."
"Peh... Masa beroperasi!"
Andi tertawa kecil. Dia kemudian meletakkan bungkusan telur di tangan kembali ke rak.
"Mahallah telur-telur ni. Rasanya di kedai runcit boleh dapat telur 10 biji dengan harga RM5 ke bawah. Di sini, kalau nak beli jenis tu, kena beli sepapan." Tangannya menunding ke arah beberapa papan 30 biji telur-telur pelbagai gred yang elok tersusun di tepi rak.
"Tak ada langsung ke?"
Andi geleng. "Telur-telur paket 10 biji ni, semuanya jenis 'organik' atau 'tinggi Omega 3'. Saiz besar pula tu. Memang la mahal."
Salleh garu kepala. "Okey. Nantilah kita singgah mana-mana kedai runcit, beli telur."
"Okey."
Safuan tiba-tiba muncul, membawa tiga buku roti bersaiz jumbo. "Tengok apa aku jumpa ni. Tiga buku roti dengan harga sebuku roti!"
"Meh sini, nak tengok," kata Salleh. Salah satu bungkusan roti diserahkan. Terikh luput pada bungkusan roti diteliti.
"Expiry date lusa. Patut pun murah semacam," gumam Salleh. "Tak apalah. Roti ni pun nampak okey je." Roti diletakkan ke dalam bakul. "Syam mana? Dia cari plastik ke, buat plastik?"
Safuan angkat bahu. "Tak nampak dia pun dari tadi."
"Aku nak pergi cari dia kejap. Korang tunggu sini, ya," kata Salleh lalu mula berjalan meninggalkan kawasan itu.
(...)
Langkah Salleh terhenti di ruang berlabel 'Mainan Lelaki'. Syam tercatuk di situ, di sebelah tangannya ada segulung cling warp, sebelah tangannya lagi sedang membelek-belek pistol-pistol mainan yang dipamerkan di rak itu. Kelihatannya dia sedang meneliti maklumat pada bungkusan pistol mainan itu.
"Tengok apa tu?" Salleh menepuk bahu Syam dari belakang. Terjungkit bahu Syam dibuatnya.
"Eh? Salleh?" Syam sengih. "Tak adalah. Saja je tengok. Tak ada pula yang macam saya jumpa tadi."
Dahi Salleh berkerut seketika. Jumpa... Pistol... Mainan?
"TV bilik awak tu, macam mana boleh pecah sebenarnya? Awak tak cerita pun tadi."
Syam garu kepala. "Ada jumpa pistol mainan dalam bilik tadi. Saya dengan Safuan tengok-tengokkan pistol tu. Tak tahu pula ada peluru guli di dalam."
Salleh mengeluarkan telefon bimbitnya, lalu mencari sesuatu. Seketika kemudian, ditunjukkan gambar pistol paintball milik Zel di hadapan Syam.
"Ni ke pistol tu?"
Syam angguk. "Macam mana awak..."
"Tu Zel punya. Aron curi pagi tadi. Punyalah marah dia bila perasan Aron larikan pistol dia tu," kata Salleh selamba.
Syam mendecit sambil hela nafas berat. "Nanti saya cari pistol tu dan pulangkan balik. Itupun... Kalau Aron tak sorokkan la."
"Dan juga... Zel tak nampak awak sebagai Aron," tambah Salleh. "Mahunya tak pasal-pasal masuk wad lagi nanti."
YOU ARE READING
Hubung : 2 + 1 + 1(?)
AdventureSeorang gadis yang kasar dan lasak, juga jaguh sukan paintball. Seorang gadis yang berupaya untuk 'nampak' fikiran orang lain melalui mata. Seorang remaja perempuan misteri, berpakaian serba hitam dengan selendang terlilit di leher, dan kerap muncul...