Bukan lama pun aku kenali dia, sekadar tiga bulan. Dan kini kami sedang makan tengahari, mungkin untuk kali terakhirnya, kerana hari ini hari terakhir aku bertugas di sini. Cuma untuk tiga bulan aku di sini, untuk mendapatkan latihan sebelum meneruskan kerjayaku di cawangan kecil syarikat ini di daerah yang lebih jauh.
Sejak hari pertama aku jejak kaki di pejabat ini, Encik Saidi mengambil tanggungjawab melatih aku dan serentak menjadi sahabat karibku yang baru. Bukan sedikit jasanya, selain dari kerja-kerja rasmi, dia juga menjaga aku dari di ambil kesempatan oleh pegawai-pegawai lain yang melihat aku sebagai cara mudah untuk menyenangkan kerja harian mereka.
Dan selama itu lah, tiga bulan itu aku setiap hari menjadi pengikut setianya. Dan setiap hari kerja jugalah aku makan tengahari bersamanya. Kadang-kadang bersama staffs pejabat yang lain tetapi selalunya cuma kami berdua. Aku ada terdengar bisik-bisik mengatakan Encik Saidi ini seorang yang tidak banyak bercakap dan lebih suka bersendirian. Ada yang mengatakan dia sombong, tapi aku fikir itu salah. Dia cuma seorang yang tidak suka bercakap mengenai perkara-perkara yang tiada keperluan untuknya.
Encik Saidi ini lima belas tahun beza umurnya dengan aku, tetapi kalau di lihat dari tinggi adapnya dan sopan percakapannya, seolah-olah dia sudah sangat berumur dan sangat berpengalaman orangnya. Perbualan kami, jika tidak berkisar tentang kerja, selalunya berkaitan dengan keluargaku dan nasihat-nasihat dia tentang hidup secara am nya.
Jadi di hari terakhir ini, aku menunggu lebih banyak nasihat darinya. Semestinya berkenaan bagaimana aku harus menjadi anak yang berguna dan membalas jasa baik ibubapaku. Dan bagaimana aku harus berhati-hati memilih sahabat. Begitulah di hari-hari yang lalu, dia menasihati aku dengan kerap seolah-olah aku ini adiknya sendiri.
Selepas kedua kami membasuh tangan seperti biasa kami duduk menghayati enaknya air horlick ais. Itulah persamaan kami, air horlick ais. Selain dari itu, memang tidak ada apa-apa persamaan pun, kerana aku bukanlah seorang yang pendiam malah aku ini agak bising orangnya.
"Dah betul-betul kerja nanti jangan main-main. Kerja kena jujur, sebab kerja tu ibadah."
Aku angguk. Aku dah tiga ratus kali dengar nasihat ini darinya.
"Qalif, awak pernah frust bercinta?"
Sukar betul untuk sembunyikan rasa terkejut aku. Dan lebih sukar untuk menjawab tanpa memikirkan mengapa tiba-tiba perbualan ini menjadi begitu personal.
"Macamana nak putus cinta, bercinta pun tak pernah Encik Saidi."
Aku gelak sedikit, cuba untuk bersahaja.
"Enam tahun dulu, my wife tinggalkan saya. Ex-wife now."
Aku terdiam. Jika di lihat emosi di mukanya seolah-olah dia sedang bercakap tentang cuaca sahaja.
"Satu hari, saya tunggu dia balik dari kerja but she never came home. Dia tinggalkan rumah kami sehelai sepinggang seolah-olah ianya rumah hantu yang menakutkan. Like I'm some monster husband oppressing her."
Aku cuma menghirup air dan pura-pura tenang. Mataku terkebil-kebil melihatnya.
"Dia jumpa orang lain yang dia lebih sayang."
Aku lelaki yang berumur 24 tahun yang mempunyai bayangan yang indah mengenai alam perkahwinan, oleh itu apa yang di katakan oleh Encik Saidi itu menakutkan aku.
"Well, that's history. Apa yang saya nak bagitau ini ialah ... " Dia pandang aku seraya tersenyum. "Hidup harus di teruskan. A broken heart will heal. Janganlah awak pikir bila sesuatu yang so heartbreaking macam tu berlaku, life stops. Tak betul tu. Time heals everything."
Aku berdehem, mencari suara.
"Anak-anak macam mana?"
"Takde anak lagi. Baru dua tahun kawin, masih honeymoon lagi ..." Dia gelak. "Itu yang saya fikir, rupanya boss baru dia lebih cekap dari saya. Dia dapat yakinkan isteri saya that being a third wife living in a fancy condo lebih bagus dari jadi one and only wife in a small flat."
Sangat mengerikan.
"Life ... it will become better, I promise you."
Aku angguk macam orang bodoh. Hati aku tidak putus-putus berdoa dengan Tuhan, janganlah aku mendapat isteri yang derhaka seperti itu. Aku terbayang wajah teman wanita ku Medina. Aku tidak nampak ada sifat begitu dalam dirinya, tetapi cerita Encik Saidi mengacau kepercayaan ku terhadap Medina.
"Qalif, awak tau apa yang paling frust lepas saya move on?"
Aku gelengkan kepala.
"Bila mendengar lagu yang dulunya our songs. Lagu-lagu yang both of us sama-sama minat dan dedicate to each other. Lagu yang sangat-sangat bermakna tu semua sekarang dah meaningless. Agak patah hati bila terdengar lagu-lagu tu di radio."
Lagu kegemaran aku dan Medina?
Setia. Elizabeth Tan dan Faizal Tahir.
Lagu itu adalah kami. Qalif dan Medina. Aku tidak dapat bayangkan Medina meninggalkan aku untuk seorang lelaki yang sudahpun beristeri dua. Aku mungkin akan bakar seluruh Kuala Lumpur. Mungkin Seremban juga.
"Life always goes on. Allah sentiasa ada."
Encik Saidi bangun dan aku pun ikut bangun juga.
"Back to work. I'm going to miss talking to you Qalif."
Tidak ada permintaan untuk merahsiakan cerita dukanya itu. Tetapi tanpa di minta pun, aku tidak mungkin akan membuka mulut kepada sesiapa pun. Ianya perihal maruah seorang lelaki, dan sebagai seorang lelaki, aku sangat menghormati itu.
Aku akan pegang kata-katanya sebagai bekalan masa depanku.