Bab 1

5.7K 73 1
                                    

PROLOG

ENCIK Adnan campak segugus kunci ke atas meja. Marahnya masih membara. Sudah lama kes ini berlaku, tapi lamanya masa belum meredakan darjah kemarahan pada jiran selang dua buah rumah dari kediamannya. Puan Ilah yang sedang duduk di atas sofa mengerling gelagat si suami. Faham sangat kenapa Encik Adnan terlalu beremosi. Dia pun sama. Apa yang dirasa suami, turut mengganggu perasaannya. Encik Adnan bengang dan radang, Puan Ilah pun meruap-ruap juga. Marahnya sama naik.

Dua bulan yang lalu, pergaduhan besar-besaran berlaku antara Encik Adnan suami isteri dengan Encik Fazlan dan isterinya, Puan Rohana. Puncanya, berebutkan beberapa ekar tanah. Tanah tu sepatutnya menjadi milik Encik Adnan. Dia sudah pun membayar duit pendahuluan beberapa ribu sebagai tanda jadi pada orang tengah. Alih-alih, Encik Fazlan yang dapat miliki tanah tu. Alasannya, Encik Fazlan sanggup bayar dengan harga lebih tinggi. Mana Encik Adnan tak marah. Dia dah lama mengidam tanah tu, sudah di dalam genggaman pun boleh kena caras.

Mengamuk sakan Encik Adnan. Dia heret Puan Ilah pergi serang rumah Encik Fazlan. Riuh-rendah satu taman perumahan jadinya. Tambahan kedua-dua lelaki tu jenis perengus dan banas baran. Buku bertemu ruas. Puan Ilah sama naik terjerit jerau memaki. Puan Rohana tak berdiam diri, dia membalas segala makian juga malah berlebih-lebih lagi. Habis segala isu diungkit sepanjang hidup berjiran.

Mujur ada jiran-jiran yang tak tahan dengar perbalahan yang bukan-bukan tu datang menenangkan keadaan. Dek ada rasa malu yang masih bersisa, kedua-dua keluarga yang bergaduh bersurai. Namun dendam dan amarah masih melekat dalam hati masing-masing. Tak mungkin ada jalan untuk berdamai kembali.

Encik Adnan hempas punggungnya di sebelah Puan Ilah. Dia merengus marah. Tadi semasa perjalanan balik, dia lalu di kawasan tanah idamannya. Ternampak Encik Fazlan sedang meninjau-ninjau tanah yang baru menjadi haknya secara rasmi. Apa lagi, menyiraplah darah Encik Adnan. Zuppp naik ke kepala.

"Aku rasa nak pi bakaq saja tanah tu. Biaq padan muka Si Fazlan. Bongkak sangat gayanya."

Puan Ilah pandang muka suaminya. "Ilah pun rasa macam tu. Hangat hati tak dak dah bila bertembung dengan bini dia kat kedai. Berlagak, macam depa kaya-raya, sebab tu boleh beli tanah mahai-mahai. Kita ni lekeh, nak beli tanah tapi bayaq ciput, sebab tu orang tak mau juai."

"Melampau betui la depa laki bini tu! Megah sangat dengan duit depa. Ingat boleh bawa masuk kuboq ka?" rengus Encik Adnan, keras.

"Itulah... Meluat tengok. Dengan emas sekerat lengan, goyang-goyang kat mata kita ni. Dari dulu lagi perangai menunjuk-nunjuk Si Rohana tu tak sudah-sudah!"

"Ilah! Ilah! Kau keluar sini!"

Tiba-tiba ada jeritan dari luar rumah. Buntang mata Puan Ilah pandang suaminya. Masing-masing sudah maklum siapa yang empunya suara.

"Apa pasai pula mami karat tu mai rumah kita?" tanya Encik Adnan pada Puan Ilah. Hairan. Langsung dia bangun menuju pintu untuk keluar. Puan Ilah mengekor di belakang. Kedua-duanya semakin geram mendengar suara si musuh macam petir memanah di luar. Dada yang sudah sedia panas, terus membakar.

Di pekarangan rumah, Puan Rohana bercekak pinggang, tercegat dengan wajah garang. Matanya membulat besar. Di sebelah Puan Rohana berdiri anak dara keduanya yang berumur dua belas tahun, Fateha.

"Hah, Rohana... Tak cukup lagi ka tanah yang hangpa dapat? Ni nak mai rampas rumah kami pula?!" jerkah Puan Ilah sebaik saja keluar dari muka pintu. Dia pun tak mahu mengalah, sama naik tangan ke pinggang dengan mata dijegil sebesar yang mungkin.

"Eee... Tak inginlah aku dengan rumah buruk kau orang ni! Kalau tak kerana maruah anak perempuan aku, tak ingin nak jejak sini. Buat cacing kat tanah ni masuk kaki aku saja!" balas Puan Rohana dengan nada tinggi.

RINDU YANG TERLARANGWhere stories live. Discover now