Bab 7

1.6K 27 0
                                    

FAITH tarik Ainnura duduk rapat ke sisinya. Dia letakkan satu sampul surat ke atas riba Ainnura. Wajah si buah hati ditatap secara dekat. Dekat sangat. Pertama kali dapat peluang macam ni. Sebab dah ada lesen, kan? Sebelum-sebelum ni macam mana nak dapat peluang? Sebab dah memang tak boleh.

Ainnura jadi serba tak kena. Segan malu cemas, semua ada. Suka pun ada juga!

"Errr... Apa ni, awak?" tanya Ainnura pasal sampul tersebut. Bila hidung Faith yang mancung tu dah dekat dengan pipinya, dia cuba mengelak. Tak biasalah.

"Bukalah!" Faith tarik balik aksi beraninya sebentar tadi. Dia tolong Ainnura bukakan sampul tersebut, lalu dihulur satu slip deposit bank.

"Dua puluh ribu? Masuk ke nombor akaun Ain?" Berkerut dahi Ainnura. Tak faham.

Faith sengih. Dia cuit hidung Ainnura. Geram. Nama saja selalu dapat gred terbaik setiap semester, kalau dengan Faith kerap sangat tunjuk blur. Tapi comel. Dia suka. Sepuluh kali blur pun Faith suka.

"Kita kan kahwin... Itu duit hantaran daripada orang untuk isteri oranglah. Takkan nak kahwin free pula, tak syiok la," beritahu Faith dengan suara ala-ala romeo. Entah macam mana, automatik pula dapat gaya suara baru selepas naik pangkat jadi suami orang.

"Eh, tadi kat pejabat agama kan dah bagi?"

"Itu mas kahwin Puan Ainnura sayang oi. Orang wajib bagi bila nikah awak. Yang ni duit hantaran," jawab Faith dengan sengih sambil tenung mata Ainnura sampai Ainnura jadi malu.

"Ooo..." Termuncung mulut Ainnura.

Faith tergelak. Terasa kahwin dengan budak-budak. Ainnura ni bukan pandai semua hal pasal bab nikah kahwin ni. Semua ikut apa kata Faith aje.

"Tapi banyak sangatlah, Faith. Kita bukan buat kenduri pun. Awak bagi cincin dan rantai lagi. Tak ke habis duit awak?"

"Mana ada banyak. Ikutkan pelan orang, nak bagi 50K pada awak, tapi nak buat macam mana, itu saja yang orang mampu buat masa ini. Tapi orang akan kerja lebih kuat lepas ni. Orang tak mau Ain hidup susah dengan orang," tutur Faith dengan perlahan dan ikhlas.

"Kita sama-sama bina hidup keluarga kita ya, awak? Ain akan selalu sokong apa saja yang Faith usahakan..."

"Harus tu. Memang orang harap sangat awak di sisi orang..." Spontan tangan Faith tarik bahu Ainnura rapat ke tubuhnya.

"Errr... Tapi kalau awak tak cukup duit, awak boleh guna duit hantaran tu tau..."

"Isy, tak mahulah orang. Nak ke tengok orang buruk siku?"

"Apa pula... Kata susah senang nak tanggung bersama-sama."

Faith gelak. "Awak jangan risaulah. Saya belum pokai sebab nikah awak. Awak simpan saja duit tu. Kalau famili tak nak buat kenduri untuk kita, awak beli barang yang awak nak. Saya ada lagi baki duit untuk tanggung awak. Takkan kebulur awak jadi isteri saya tau!"

"Terima kasih, Faith. Awak baik sangat. Tapi bila dah jadi isteri awak ni... Awak jangan asyik paksa Ain makan banyak-banyak tau. Nanti cepat gemuk."

"Eh, bukankah kalau dah kahwin, tak makan banyak pun akan gemuk juga?" Soalan mengusik daripada Faith. Dalam maknanya tu. Dengan matanya yang sedang menikam mata Ainnura.

"Errr... Errr..." Ainnura dah serba tak kena. Dia cuba menjarakkan diri sedikit dari Faith, tapi Faith ni kadang-kadang mana faham bahasa isyarat.

"Hmmm... Faith!" Tiba-tiba kedengaran suara tok wan di pintu bilik.

"Ya, tok wan!" Faith garu kepala.

"Lupa sembahyang Jumaat ka?" tanya tok wan dari luar.

"Ingat, tok wan!" Cepat-cepat Faith bangun dari katil. Songkok yang diletak atas meja solek diambil semula. Sebelum keluar sempat dia bagi isyarat pada Ainnura dengan gerakan bibir yang maksudnya 'balik nanti'. Kenyit mata nakal sekali. Ainnura balas muka monyet pada Faith.

"WELCOME to rumah pertama kita," ucap Faith sambil tarik tangan Ainnura ke dalam rumah sewa mereka. Rumah kos sederhana tiga bilik yang baru disewa seminggu sebelum dia bernikah dengan Ainnura. Kelam-kabut dia cari rumah bila tok wan dah confirm tarikh dia dan Ainnura boleh bernikah. Yalah, takkan nak bawa Ainnura tinggal di bilik kediaman bujangnya. Memang taklah.

"Sorry, awak... Rumah kita tak lengkap lagi."

"Tak apa awak, janji awak ada dah lengkap dah semua!" balas Ainnura, manja.

Faith tergelak. "Amboi... Pandai!" Sambil cuit hidung Ainnura yang comel tu.

Ainnura pandang sekeliling. Memang tak ada apa-apa pun di ruang tamu tu. Ada peti televisyen aje sebuah yang melekat kat dinding. Karpet sederhana besar, muatlah untuk dua orang baring terdampar kat lantai. Itu aje barang rumah yang ada di ruang tamu. Ainnura tak kesah pun. Lagi senang dia nak menyapu. Maklumlah dia bukannya rajin sangat.

Faith tarik Ainnura untuk jengok bahagian dapur yang keluasannya comel aje. Situ lengkap sikit. Peti ais, dapur dua tungku, peralatan memasak serba sedikit semua ada. Tapi rasanya pinggan dua biji aje ada. Muk air pun nampak dua biji. Hehe, nak tergelak Ainnura. Dia kerling Faith. Faith sengih faham.

"Dua biji cukuplah... Kita kan berdua aje. Pelan-pelan tambah kemudian..." jawab Faith dengan ketawa-ketawa.

"Alaaa... Ain tak kesahlah. Satu biji pun okey."

"Eh? Orang pun suka share-share ni. Dah lama berangan tau makan sepinggan, minum secawan, tidur sebantal..."

"Dah... Dah... Ain dah hafal semua dah, tak payah buat siaran ulangan lagi." Hmmm... Kalau tak dipotong cakap, Ainnura tahu apa yang akan disebut Faith seterusnya. Mandi sebilik, tidur satu selimut, bla bla... Yang 18sx belaka. Mentang-mentang dah nikah! Kemain lagi mulut Faith tu. Tak sangka selepas jadi suami, otak Faith banyak kuning. Ka tok wan yang ajar? Tok wan tu bukan boleh percaya sangat. Belakang Ainnura kemain ligat lagi.

Faith ketawa. "Jom orang bawa tengok bilik tidur kita pula."

Serentak dengan tu, Faith sauk tubuh Ainnura dan mencempungnya menuju ke bilik. Apa lagilah Ainnura. Terkejut. Dengan tiba-tiba saja badan dia dah berada di awang-awangan.

"Eee... Jahat Faith ni!" Ainnura tampar dada Faith manja.

"Yang ni pun dah lama orang berangan nak buat. Tapi takkan nak buat kat rumah tok wan kan..." Faith angkat kening pandang muka Ainnura.

Faith baringkan tubuh Ainnura di atas katil bercadar putih. Ainnura memerhati sekeliling. Kagum dia. Bilik tidur ni lengkap sekali. Langsir yang cantik, katil yang lengkap dan kemas. Ada almari pakaian dan hiasan dalam bilik serba sedikit. Sebuah bilik yang cukup sempurna untuk mereka berdua. Kemudian mata Ainnura tertancap pada sebuah meja belajar kecil di sudut bilik.

"Meja untuk Ain belajar. Orang tau awak penakut, sebab tu orang letakkan dalam bilik ni. Jadi orang boleh temankan Ain belajar, tapi orang tidurlah hahaha..."

Spontan Ainnura peluk dan cium pipi Faith. Lelaki ni memang sangat prihatin pada kehendaknya. 

RINDU YANG TERLARANGWhere stories live. Discover now