PUAN Ilah terkam suaminya di muka pintu. Tak sabar untuk dengar berita tentang anak dara mereka. Encik Adnan baru balik dari rumah tok wan di Kangar. Konon-konon nak ziarah si ayah, tapi tujuan sebenar nak sepai si anak dara. Dengar desas-desus sepai dia kat Kangar yang katanya Ainnura dah bernikah, tu yang dia kelam-kabut balik pergi cari ayahnya dan Ainnura.
"Betui ke bang apa yang kita dengaq tu?" Tanpa salam, tanpa cium tangan suami, Puan Ilah terus menyoal.
Encik Adnan jeling. Kurang senang dengan cara isterinya yang suka main menyerbu macam ni. Dah la kat luar tu panas leting. Sekurang-kurangnya kasilah dia duduk dulu bagi hilangkan penat.
"Berani Ainnura buat macam tu? Lepek kat lantai aku kerjakan!" Encik Adnan jawab juga, tapi dengan nada marah. Dia hempas punggung ke atas kerusi jati yang keras tu dengan kasar. Sakit terasa kat punggung. Patutlah ayahnya selalu kompelin, kerusi ni nama saja mahal tapi tak sedap duduk. Makan tuan.
"Abang dah tanya sendiri pada ayah ka?"
"Hah lah! Merepek ajelah depa tu buat cerita! Yang bukan-bukan... Buang masa aku ja balik sana. Hang bukan tak tau perangai ayah tu. Tiap kali balik, mesti ajak gaduh."
"Dengan Ainnura abang tak jumpa?"
"Jumpa! Aku pi tempat dia praktikal tu. Biasa ja nampak. Tak dak pun macam orang dah bernikah!"
"Abang tak tanya Ainnura ka?" soal Puan Ilah lagi. Tak puas hati dengan jawapan tadi. Manalah tau anak dan ayah mentua dia tu buat pakatan sorok rahsia. Dah buat salah, kan?
"Isy hang ni banyak soai la, Ilah. Aku balik penat-penat, bukan nak bagi ayaq ka apa, sibuk nak menanya itu ini dulu!" marah Encik Adnan .
Lalu Puan Ilah bangun dengan muka masam. Perlahan-lahan kakinya dihala ke dapur.
"Tanya sikit pun nak marah... Pasai anak kita juga, bukan pasai orang lain. Percaya sangat kat anak dengan ayah dia tu. Entah apa-apa depa buat kat sana," rungutnya sambil berjalan.
"Anak dara kamu tu pun satu... Belum apa-apa dah sibuk cari laki sendiri!" jerit Encik Adnan dari ruang tamu.
"Tu laaa... Gatai macam ayahnya juga! Menggeletis ja nak kahwin!" Puan Ilah turut jerit sama dari dapur. Memprovokasi.
"Hoi! Aku kalau dia menggeletis dengan orang lain, aku nikahkan saja! Ni dengan anak jebon sebelah tu yang dia gila!" balas Encik Adnan balik.
"Anak manusia tu kheja kat Aloq Setaq ka juga?" tanya Puan Ilah. Dia dah berdiri di hadapan suaminya.
"Manalah aku tau, Ilah. Tak teringin aku nak ambil tau pasai depa sekeluarga. Lantaklah anak dia nak kheja kat mana. Tak kheja ka, apa aku kesah?"
"Kena kesah, bang! Sebab ada sangkut paut dengan anak kita!"
"Tak payah membebel sangat! Aku dah pasang kaki kat Aloq Setaq tu... Tahulah nanti betui ke dak. Ada anak dara sorang pun payah nak jaga! Dah besaq banyak hai!"
Segelas air sejuk dihulur dekat muka Encik Adnan. Terus dia ambil dan langgah minuman. Sekali arung habis satu gelas. Dahaga betul. Mahunya tidak, marah-marah ni banyak air keluar dari tubuh.
"Ayaq kosong ja ka, Ilah?"
Terbeliak mata Puan Ilah. Dah habis satu gelas, lagi mahu tanya?
DI rumah Encik Fazlan, dia dan Puan Rohana sedang menonton televisyen. Masing-masing muka macam bosan aje. Aku pandang kau, kau pandang aku. Cerita di kaca televisyen tak ada satu pun yang menarik perhatian dia orang berdua. Yang siaran berbayar tu asyik mengulang cerita. Yang tak berbayar, drama yang ditayangkan entah apa-apa pula. Dah tak boleh nak masuk di kepala masing-masing.
YOU ARE READING
RINDU YANG TERLARANG
General FictionTajuk: Rindu Yang Terlarang Penulis: Umie Nadzimah Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-082-3 Muka Surat : 576 Harga: RM25.00 (Semenanjung) // RM28.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Jun 2018