HUJUNG minggu, Faith balik ke rumah keluarga di Sungai Petani. Balik dengan Ainnura semestinya. Faith pergi ambil Ainnura yang menyewa di Alor Setar semasa latihan praktikal, kemudian memandu ke Sungai Petani. Faith ni mana reti nak balik rumah mamanya sorang-sorang. Tak pernah. Mesti kena angkut Ainnura sekali.
Jangan salah faham ya, bukan bawa balik ke rumah keluarganya. Mahu kena hambat dengan penyapu oleh Puan Rohana. Nasib baik tak kena baling dengan mangkuk sambal belacan kegemaran Encik Fazlan yang haw haw pedasnya. Ainnura akan balik ke rumah emak dialah. Mereka kan berjiran.
Cuma Ainnura tak berani nak turun kereta Faith di hadapan rumahnya. Turun jauh sikit, ambil masa sepuluh minit jugalah kena jalan. Faith tak suka, tapi dia pun tak mampu nak menahan. Daripada dua-dua emak terjerit jerau marah, lebih baik mereka ambil langkah berhati-hati. Yang lebih sakit hati, kalau Ainnura kena marah dengan Puan Ilah. Tak sanggup Faith dengar. Kasihan kat buah hati kesayangannya.
Selepas makan malam, Faith bagi tahu yang dia ada perkara yang hendak dibincangkan dengan mama dan ayahnya. Hairan juga Puan Rohana lihat. Anak lelaki yang selalu sengih dan senyum ni boleh bertukar jadi mat skema, bercakap macam tengah berurusan kat pejabat kerajaan. Puan Rohana dan Encik Azlan pun siap-siap tunggu di ruang tamu. Yalah, kedengaran macam penting benar. Saspens dan tertanya-tanyalah juga dia orang.
Sebelum beredar ke ruang tamu, Faith sempat telefon Ainnura. Nak ambil semangat . Dengar suara Ainnura yang lembut tu pun dah cukup untuk bagi dia kekuatan. Tahu pun gentar kau, Faith. Tapi kalau di hadapan Ainnura tunjuk macho saja.
"Hal apa yang penting sangat nak cakap dengan kami ni, Faith?" tanya Encik Fazlan. Mata pandang ke arah si anak yang tunduk di sofa hadapan.
"Faith nak tukar kereta baru ke? Mama sokong aje. Persona tu dah lama dah, eloklah tukar. Vios ke, Honda City ke, dak pun CR-V lagi grand, baru sesuai dengan anak mama yang segak ni. Mama boleh bagi deposit kalau Faith tak cukup duit," sampuk Puan Rohana sebelum Faith jawab apa-apa. Beria-ia dia cakap.
Selalu Puan Rohana desak Faith tukar kereta. Persona yang Faith guna tu, kereta lama Encik Fazlan. Bagi pada Faith sejak dia masuk tahun satu di Universiti Utara Malaysia. Ni dah kerja dua tahun, masih pakai kereta buruk tu. Mana Puan Rohana tak bising. Malulah juga. Sepatutnya anak dia tu pakai kereta yang hebatlah sikit. Kerja pun pangkat eksekutif. Tapi Faith ni degil. Katanya dia nak kumpul duit beli rumah sendiri. Cukuplah kereta yang ada. Selagi boleh jalan, tak banyak ragam, kenapa nak tukar? Geram tau. Puan Rohana nak tumpang naik pun segan!
Faith menggeleng perlahan.
"Tak kut, mama... Faith... Faith nak kahwin..." Lambat-lambat Faith bersuara.
Bulat mata Puan Rohana dan Encik Fazlan. Masing-masing berpandangan. Kemudian Encik Fazlan senyum senget. Bagus, Faith ni menurun perangai dia. Muda lagi dah fikir pasal kahwin dan nak pikul tanggungjawab jaga anak orang. Lelaki memang perlukan seorang perempuan di sisi. Boleh buat hidup lebih bersemangat untuk berjaya. Encik Fazlan angkat ibu jari ke atas. Setuju!
"Ayah sokong! Elok kahwin awal ni. Buat kita, lelaki jadi lebih matang," ujar Encik Fazlan, sangat bangga dengan keputusan Faith.
Puan Rohana mencebik, tak puas hati.
"Mama tak setujulah! Faith baru umur dua puluh lima tau. Enjoy pun belum habis lagi. Nak buat apa kahwin awal-awal? Pergilah jalan-jalan, tengok negara orang dulu. Tengok macam sesetengah budak zaman la ni... Merata-rata dunia dia orang pergi sendiri. Lawa-lawa gambar dalam IG, Facebook. Faith tak nak ke rasa semua tu? Dah kahwin ni terikat. Nak kena bela anak orang, setahun lepas tu dah mula berderet. Masa bila nak berseronok macam orang lain? Nanti Faith menyesal... Tapi dah tak guna dah time tu. Anak bini nak kena bertanggungjawab juga. Mama tak mahu setahun dua kahwin dah cerai. Tunggu sampai Faith dah bersedia, baru sebut pasal kahwin depan mama!"
YOU ARE READING
RINDU YANG TERLARANG
General FictionTajuk: Rindu Yang Terlarang Penulis: Umie Nadzimah Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-082-3 Muka Surat : 576 Harga: RM25.00 (Semenanjung) // RM28.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Jun 2018