BERSERI-SERI wajah Ainnura bila lihat Faith berdiri di sisi kereta. Yalah seharian tak jumpa, rindunya tak tertanggung. Macam kata sorang pelakon wanita yang baru kahwin dan sedang viral tu, suami pergi bilik air pun rindu. Betul sangat tu. Rindu pada si suami tak pernah padam. Lain rasanya kalau rindu pada kekasih. Rindu pada suami ni getarannya lain macam tau! Nak cerita lebih-lebih pun tak reti, yang rasa aje tahu. Tambahan hari ni Faith tak hantar makanan tengah hari sebab kawan-kawan pejabat dah pelan belanja dia makan. Hari ini hari terakhir dia buat praktikal di situ.
Faith pun sama, dari jauh sudah tersenyum manis pada si isteri. Matanya tak berkedip memandang Ainnura. Puas dapat menatap satu-satunya wajah yang seharian dirinduinya. Lagi-lagi dia berasa lega bila melihat Ainnura sihat dan selamat datang kepadanya. Jika berjauhan, dia selalu bimbang tentang keselamatan Ainnura. Takut juga Encik Fazlan atau Encik Adnan bertindak di luar pengetahuannya. Di hadapan mata, boleh la dia pertahankan Ainnura. Kalau di belakang? Itu yang selalu merisaukannya.
Faith bukakan pintu untuk Ainnura. Namun, belum sempat Ainnura masuk, dua orang lelaki rupa samseng menghampiri mereka minta kunci kereta. Faith cuba lawan, ingatkan perompak ke apa, tapi lelaki tu cakap Encik Fazlan yang suruh dia orang ambil kereta tu. Malah dia orang tunjuk bukti mesej daripada Encik Fazlan. Faith nak kata apa lagi. Bagi sajalah. Dah memang kereta tu kereta ayahnya, tuannya dah minta balik terpaksalah lepaskan. Dia tahu kenapa ayahnya bertindak begitu.
Faith hanya dapat memandang kereta tu pergi dengan hati yang sayu. Banyak jasa kereta tu pada dia dan Ainnura. Dari zaman belajar sampailah dah kerja, itulah satu-satunya kenderaan yang dia ada. Pernah terniat untuk tukar kereta baru, tapi rancangannya untuk menikahi Ainnura lagi penting. Takkan nak nikah Ainnura percuma begitu saja. Ainnura gadis baik. Jadi dia kumpul duit untuk kahwin terlebih dahulu Lepas tu baru pelan untuk tukar kereta. Antara Ainnura dan kereta, dah tentu Faith pilih Ainnura!
"Tak ada kereta, kita boleh naik bas. Ain dah lama tak naik bas. Teringin pula nak naik. Tambah-tambah bila dengan Faith." Ainnura memujuk. Dia sauk lengan Faith dan sandarkan kepalanya. Manja-manja gitu.
Faith senyum. Tenang. "Orang okey la, Ain. Don't worry. Cuma orang kasihan wife orang aje la. Terpaksa bersusah dengan orang," balasnya, lembut.
"Susah apanya? Sikit pun tak rasa susah. Bagi Ain, asalkan ada Faith di sebelah dah cukup semua. Nanti kita sama-sama bina empayar kita sendiri. Lepas habis belajar, Ain akan bantu Faith," bisik Ainnura. Walaupun Faith nampak cool, tapi dia tahu yang hati Faith agak terkilan dengan cara orang tua mereka.
"Ain sokong dan beri orang sokongan dah cukup. Orang akan kerja keras untuk keluarga kita. Tapi lepas ni kita naik motosikal dululah sebelum orang beli kereta."
"Eh, best apa naik motosikal. Dapat peluk Faith kuat-kuat!" Selamba aje Ainnura jawab. Kata-kata semangat tu.
Faith gelak. Seronok bayangkan macam mana Ainnura membonceng di belakangnya. Sambil tu Faith melambai sebuah teksi yang lalu berhampiran mereka. Untuk petang ini, mereka naik teksi dululah. Tak mengapa, semua ni pengalaman yang akan mereka kenang pada hari tua nanti. Fikir Faith, dia selalu membayangkan bila tua nanti pergi melancong di serata pelosok dunia bersama Ainnura sambil mengenang kenangan muda mereka. Manis bukan?
Sebab tu, hadapi saja apa yang berlaku sekarang dengan tabah. Biarlah ayahnya nak ambil apa pun hartanya, asalkan jangan pisahkan dia dan Ainnura. Kalau yang tu, dia tak boleh terima. Ainnura adalah satu-satunya harta dia yang paling berharga.
Sesampai di depan pagar rumah, kereta tok wan dah sedia menunggu. Hairan tok wan tengok cucu dan cucu menantunya balik kerja naik teksi.
"Kereta buruk hang rosak masuk wad ke, Faith?" tanya tok wan. Kadang-kadang tok wan lupa diri, kereta tok wan lebih buruk daripada kereta Faith, tapi dia selalu kutuk kereta Faith lagi lama berbanding keretanya.
YOU ARE READING
RINDU YANG TERLARANG
General FictionTajuk: Rindu Yang Terlarang Penulis: Umie Nadzimah Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-082-3 Muka Surat : 576 Harga: RM25.00 (Semenanjung) // RM28.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Jun 2018