KERETA Faith berhenti di tepi jalan berhampiran dengan rumah Encik Adnan. Yakin saja Faith menurunkan Ainnura di situ. Bukan lagi di perhentian bas yang perlukan masa sepuluh minit untuk jalan. Status Ainnura dah bertukar kepada isteri, memang selayaknya dia dilayan dengan lebih baik dan adil berbanding sebelum ini. Siapa tak sayang bini, oi!
Ainnura masih terpaku di kerusi sebelah. Diam tak berkutik. Faith mencari tangan Ainnura lalu digenggam erat seolah-olah ingin menyalur semangat dan keyakinan dirinya ke dalam tubuh Ainnura.
"Lepas orang settlekan dengan mama dan ayah, orang datang jumpa emak ayah dan ambil awak, ya? Ain tak perlu cakap apa-apa dengan dia orang. Biar orang yang uruskan semua."
Ainnura angguk. Dia angkat tangan Faith ke atas dan dicium lama. Terasa berat bagi Ainnura untuk berpisah dengan Faith. Sejak mereka bernikah, tidak pernah satu malam pun mereka berjarak. Hati Ainnura terasa lain macam. Gelisah.
"Ain minta maaf ya kalau ada dosa dengan Faith."
Faith gelak.
"Dosa apanya, Ain? Kan setiap lepas solat orang dah maafkan awak jika terdosa sekali pun. Lagipun awak isteri yang baik, orang sangat bahagia hidup dengan awak," balas Faith. Lepas tu dia cium dahi si isteri.
"Ain takut la, Faith..." kata Ainnura perlahan dan macam nak menangis. Nampak sangat muka risaunya. Dari Alor Setar lagi dia tak boleh senyum. Puas Faith pujuk sepanjang jalan.
"Janganlah macam ni, sayang. Kita kena yakin. Daripada fikir yang buruk-buruk, lebih baik Ain banyakkan zikir dan berdoa supaya urusan kita dipermudahkan Allah..."
Perlahan Ainnura mendongak muka pandang wajah Faith. Mata bertatapan. Dua pasang mata berbicara hingga ke hati.
"Faith janji takkan tinggalkan Ain, ya? Walau apa pun berlaku," mohon Ainnura dengan nada sayu.
"Ya, awak... Orang janji kita akan habiskan masa tua bersama, masing-masing boleh menatap rambut putih masing-masing, tengok anak-anak kita kahwin, timang cucu yang berdozen-dozen, lepas tu kita pi pusing satu dunia berdua aje... Walaupun masa tu lutut orang dah sakit, orang jalan pun dah bertongkat."
Sikit senyum tercalit di bibir Ainnura. Dia cubit paha Faith sekali.
"Suka main-main tau. Ni perkara serius, Faith. Seandainya orang tua kita nak pisahkan kita macam mana?"
"Kesayangan orang ni la... Suka fikir yang negatif-negatif . Tak baik tau! Cer hala minda tu ke arah yang positif. Fikir yang baik- baik. Jangan fikir yang buruk- buruk. Macam doa juga segala apa yang ada dalam fikiran kita ni. Jadi kalau fikir yang baik-baik, bermakna kita mendoakan yang baik-baik, awak."
Usai Faith cakap, Ainnura terus sembam mukanya ke pangkal bahu Faith. "Ain sayang Faith sangat. Tak tahu macam mana Ain nak hidup kalau tak ada Faith ."
"Orang pun... Tapi kita tak boleh selama-lama hidup sembunyi macam ni. Kita kena kental hati sampai semuanya aman dan baik."
Sekali lagi Ainnura mengangguk. "Baiklah. Ain akan ikut saja apa rancangan Faith. Ain tau you are my man. Faith memang akan selalu cuba yang terbaik untuk Ain."
Tersungging senyum manis di bibir Faith. Kembang dihargai si isteri yang disayangi.
Ainnura beri ciuman ke pipi Faith sekali, sebelum dia keluar kereta. "Good luck husband, do your best," ucapnya manja.
Faith angguk dengan penuh semangat.
"Take care kesayangan orang. Jangan lawan cakap emak ayah okey? Diam aje kalau tak mampu cakap yang elok-elok."
Sempat lagi Faith berpesan. Bukan tak bimbang melepaskan Ainnura balik rumah mentua seorang diri. Tersangatlah bimbang. Perangai Encik Adnan tu dua kali lima aje dengan sikap Encik Fazlan. Jadi Faith dapat mengagak macam mana layanan yang Ainnura akan terima dari ayahnya, sekiranya rahsia mereka dah terbongkar.
YOU ARE READING
RINDU YANG TERLARANG
General FictionTajuk: Rindu Yang Terlarang Penulis: Umie Nadzimah Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-082-3 Muka Surat : 576 Harga: RM25.00 (Semenanjung) // RM28.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Jun 2018