"KALAU balik ni nak pujuk mama dan ayah lagi supaya terima anak monyet sebelah tu, lupakan saja niat tu, Faith. Kami takkan setuju. Minggu lepas dah kena penampar, jangan minggu ni kena penyepak pula. Ayah kamu tu membunuh pun dia sanggup, kalau tak dengar cakap dia! Putuskan hubungan kamu. Cari saja perempuan lain. Ramai lagi anak-anak dara yang elok-elok."
Belum sempat Faith letak punggung di atas sofa bagi melepaskan penat memandu, Puan Rohana terlebih dahulu mengebom. Berdesing telinga Faith. Terus berkerut muka tenangnya. Petanda tak baik ni. Hati mama dan ayahnya masih belum sejuk. Malah marah mama nampaknya tak sedikit pun surut. Pandang muka Faith macam nak telan aje. Macamlah sayang pada Ainnura tu satu dosa yang sangat besar. Mungkin bagi mama dan ayah satu kesalahan besar, tapi tidak sekali-kali bagi Faith. Cinta dia pada Ainnura satu anugerah maha hebat daripada Allah. Dia tak akan sia-siakan perasaan ni.
Rancangan Faith untuk memujuk secara automatiknya terus terbatal. Tak mahulah ada pertumpahan darah antara anak-beranak. Manalah tahu kan... Kalau Encik Fazlan tu tak dapat kawal amarahnya. Jadi dia akan terus guna pakai pelan B. Jumpa emak dan ayah Ainnura. Tapi terjamin ke tiada pertumpahan darah di rumah Ainnura? Faith telan liur pahit dengan pertanyaan sendiri. Moga Allah pelihara. Doanya dalam hati.
Maka, petang itu menapaklah kaki Faith secara senyap-senyap ke hadapan rumah Encik Adnan. Kedua-dua orang tua Ainnura ada di rumah. Tercengang-cengang mereka. Tiba-tiba anak musuh sampai mati tu datang ke rumah. Dihantar emak bapak dia untuk datang menyerang ke? Dah lama tak buat kes. Nak adakan kes baru pula ke? Macam-macamlah sangkaan Encik Adnan dan Puan Ilah.
Oleh kerana sikap Faith yang lembut, tenang dan berbudi bahasa tu, dapat juga dia merasa duduk di atas sofa ruang tamu rumah Ainnura. Pertama kali sejak lapan tahun yang lalu. Walaupun pandangan Encik Adnan macam singa lapar, menunggu masa untuk telan mangsa.
"Pak cik, mak cik... Saya datang ni sebab nak berterus terang, saya nak kahwin dengan Ainnura. Kami dah lama berkawan. Saya ikhlas nak jadikan dia isteri. Saya nak minta izin dan restu pak cik dan mak cik..." Tanpa berlengah, Faith terus memberitahu tujuannya. Yakin sekali. Pelik, tak ada perasaan gementar pun.
Mendengar kata-kata Faith yang cukup berani tu, tanpa berlengah juga Encik Adnan terus bangun dari sofa. Tangan didepa ke hadapan, dan jari telunjuknya dihala ke pintu rumah.
"Ooo... Nak kahwin dengan anak dara aku? Hang nampak dak pintu yang ternganga tu? Dipersilakan keluaq sebelum aku belasah hang cukup-cukup!"
Faith masih berani dan cuba buat muka sepuluh sen supaya dikasihani bakal mentua.
"Pak cik... Dengar dulu..."
"Apa lagi?!" jerkah Encik Adnan. Kedua-dua tangan sudah berada di pinggang. Matanya pula terbelalak besar pandang Faith.
"Hang jangan nak berangan jadi menantu aku! Sampai kiamat pun aku tak izinkan. Beramboih dari rumah aku!"
Puan Ilah diam saja. Tapi reaksi dia yang tanpa suara itu juga menakutkan. Garang dan serius semacam. Sama saja gaya Mak Cik Ilah dengan gaya mamanya. Sikit tak ada beza. Sempat lagi hati Faith berdesis. Ingatkan boleh dapat sokongan daripada Puan Ilah, tapi nampak gayanya tiada harapan.
"Beramboih aku kata!" jerkah Encik Adnan dengan suara yang semakin lantang. Sekali lagi jari telunjuk dihala ke muka pintu yang ternganga luas.
Lambat-lambat Faith bangun dan keluar dari rumah tu. Masa nak melangkah telinga Faith dapat menangkap semua kata-kata Puan Ilah yang sengaja ditujukan khas untuk dia.
"Jangan dok mai lagi sini. Anggap saja anak kami tolak hangpa mentah-mentah. Sekadar rupa macam hangpa, kami sikit pun tak pandanglah nak jadi menantu. Harta pun tak banyak mana kut, harap gaya ja lebih. Toksahlah berangan sangat nak jadi laki anak kami. Kalau emak bapaknya kami meluat, jangan haraplah anak depa kami nak terima!"
YOU ARE READING
RINDU YANG TERLARANG
General FictionTajuk: Rindu Yang Terlarang Penulis: Umie Nadzimah Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-082-3 Muka Surat : 576 Harga: RM25.00 (Semenanjung) // RM28.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Jun 2018