ESOKNYA, Puan Rohana dan suami boikot Faith habis-habisan. Sarapan pun tak ajak Faith. Selamba aje suami isteri tu makan berdua. Bila Faith datang dengan muka sekupang nak makan bersama, dia orang buat derk aje, seperti Faith tak wujud kat situ. Faith cuba untuk bertegur sapa, berbaik semula, yalah dia kan anak kenalah beralah. Tapi tetap tak dilayan.
Puan Rohana hanya bercakap dengan Encik Fazlan seorang. Sikit tak peduli Faith yang tercongok di hadapan mereka. Marah benar dia orang terhadap Faith. Ini memang kepakaran Puan Rohana dan Encik Fazlan. Mengiktiraf orang jadi musuh. Tapi Faith kan anak mereka sendiri, takkan Faith pun hendak dijadikan seteru juga?
Kedua-dua adik perempuan Faith, Fateha dan Fazira sedang belajar di kolej di Selangor. Jadi bila Faith diketepikan oleh mama dan ayahnya, dia terasa sangat terpinggir di rumah tu. Maklum selama ini, Faith ditatang bagai minyak yang penuh. Apa sahaja kehendaknya, semua ditunaikan. Malah Puan Rohana dan Encik Fazlan selalu berbangga dan memuji Faith di hadapan kawan-kawan mereka.
Sementelah Faith memang seorang anak yang baik dan bijak. Dia tak pernah buat sesuatu yang orang tuanya tak suka. Sehinggalah permintaan pelik Faith semalam. Manalah Puan Rohana dan Encik Fazlan tak terkejut besar... Punyalah ramai anak dara lawa-lawa dalam Malaysia ni, anak musuh ketat yang jauh sekangkang kera itu juga yang dipilih untuk dijadikan bini.
Faith ambil keputusan untuk balik Alor Setar awal. Nak pujuk lagi, rasa tak berguna kut, kedua-dua orang tua dia masih panas. Takut nanti semakin membara anginnya. Biar dia orang sejuk dulu, dia akan pujuk lagi kemudian. Tak perlu gesa-gesa.
Biasanya petang baru dia balik. Hari ni, pagi-pagi dah bersiap nak pergi. Acah-acah merajuk sebenarnya. Tetapi tetap tak dapat tarik perhatian mama dan ayahnya. Malah dapat amaran lagi sekali daripada Encik Fazlan.
"Nak kahwin sekarang tak ada masalah, tapi dengan satu syarat! Tak boleh dengan anak jahanam tu. Pilihlah perempuan mana sekali pun kami tak kesah asal jangan anak dia orang!"
"Kalau sayang mama, putuskan saja hubungan dengan anak jebon tu! Sampai mati pun mama tak restu kalau itu pilihan Faith!"
Terkedu Faith. Berubah mukanya. Putus dengan Ainnura? Mustahil untuk Faith lakukan. Boleh mati dia. Mama dan ayah tak tahu macam mana perasaannya. Tujuh tahun, hanya Ainnura tu saja dunianya. Walaupun berkawan secara sembunyi-sembunyi. Sehinggakan dia tak punya kawan rapat yang lain.
Faith pergi selepas menyalami tangan kedua-dua orang tuanya. Itupun masing-masing macam enggan aje bersalam dengan Faith. Marah benar masing-masing. Seia sekata dan saling menyokong. Tak adapun bunyi salah seorang mahu membela Faith. Kasihan kau, Faith...
Di perhentian bas, Ainnura sudah sedia menunggu. Emak ayah hairan, kenapa awalnya dia hendak balik. Ainnura bagi alasan yang dia tumpang kawan, terpaksalah ikut masa kawannya. Kalau emak ayah Ainnura tahu yang kawannya itu adalah anak Puan Rohana, habislah dia. Kiranya dia dan Faith ni pandai juga sembunyi rahsia. Tujuh tahun, sikit tak kantoi. Tapi, sorok macam mana pun, nak kahwin kena berterus terang juga. Mana mahu lari?
"Faith... Mama dan ayah Faith marah, kan?" tanya Ainnura selepas beberapa minit masuk kereta. Tengok muka keruh Faith dia dapat mengagak apa yang dah berlaku. Faith bukan pandai sembunyi perasaan. Semua terzahir kat muka dia. Lepas tu ajak balik awal. Jika tak ada masalah, Faith tak buat perangai macam ni.
Faith senyum pahit. Pandangan mata terus ditala ke jalan raya. Tak berani sangat nak toleh kat Ainnura di sebelah. Tak sampai hati nak cerita semua. Mesti Ainnura sedih kalau dengar cacian keluarganya.
"Betul kan, Faith? Dia orang tak setuju," teka Ainnura lagi bila Faith terus mendiamkan diri , tak mahu jawab.
"Belum apa-apa Ain dah kena reject mentah-mentah. Ain dah agak dah..." Ainnura mula sedih dan kecewa.
Faith kerling Ainnura. Rasa bersalah.
"Memang tak mudah untuk kita, Ain. Tapi orang tak akan putus asa. Orang akan cari jalan. Lagi pun orang lelaki, kan... Tak jadi masalah sangat kalau nikah mama dan ayah tak tahu..."
"Mana boleh macam tu, Faith!" marah Ainnura, spontan. Tak sangka Faith boleh cakap macam tu. Kahwin bukan perkara main-main. Tak boleh belakangkan orang tua. Tanpa restu dia orang, mungkin rumah tangga mereka nanti tak mendapat berkat.
"Itu jalan terakhir Ain. Apapun masalah orang tua kita, kita kena nikah, Ain. Orang dah tak nak berkawan macam ni. Orang takut kita terbabas. Kalau tak jumpa Ain pula, orang tak boleh buat kerja, asyik rindu. Nikah aje jalan penyelesaiannya. Orang dah tak sabar jadikan Ain isteri. Tu keutamaan orang buat masa ni. Orang dah tak fikir yang lain-lain dah!"
Sungguh-sungguh Faith meluahkan perasaannya. Memang pun... Hari-hari benda yang difikir, nak nikah dengan cepat-cepat. Rasa dia dah tak sanggup untuk tunggu lebih lama. Takut terbuat perkara terlarang. Manalah tahu, tiba-tiba dia orang tak dapat kawal diri. Habis semua. Dosa besar tu. Dia tak mahu itu terjadi. Dia nak ambil segala milik Ainnura dengan cara terhormat dan mulia.
Terdiam Ainnura seketika.
"Ain pun kalau boleh nak kahwin dengan Faith cepat-cepat. Tapi dalam keadaan keluarga kita macam ni... Apa kita nak buat, Faith ?" Katanya perlahan selepas itu.
"Orang akan cuba pujuk mama dan ayah lagi. Kalau dia orang berkeras juga, orang nekad nak jumpa emak dan ayah awak sorang diri. Biarlah kena maki, kena pukul pun, orang sanggup... Asalkan kita dapat disatukan."
"Tapi Ain tak naklah awak diapa-apakan. Kalau kena pukul, kena marah, biarlah Ain sekali yang kena baru adil. Biar Ain susah dan derita bersama-sama, bukan masa suka aje nak dengan Faith. Masa sukar pun Ain nak bersama..."
Lirih dan sedih suara Ainnura. Tapi mampu buat hati Faith tercuit. Dia senyum tipis sambil kerling buah hati di sebelah. Ini yang buat dia semakin bersemangat nak kahwin dengan Ainnura. Gadis ini setiap masa memihak padanya. Apa saja yang dia cadang buat, pasti Ainnura akan menyokong. Mama dan ayahnya tak faham yang Ainnura inilah yang buatkan dia jadi orang baik-baik. Mereka tak sedar.
"Tak apa... Nanti lepas nikah, Ain akan hadapi banyak benda sukar hidup dengan orang. Macam-macam Ain kena buat, kena layan kerenah orang," usik Faith.
"Hei Ain seriuslah... Suka main-main tau!"
Faith gelak. Ainnura lega bila Faith ketawa. Faith dan ketawa boleh tenangkan hati Ainnura. Sebab dia tahu Faith tak susah hati pabila dia ketawa. Bermakna Faith tak terbeban dengan masalah. Itu formula Ainnura terhadap situasi perasaan Faith.
Jeda.
"Minggu depan orang nak balik lagi tau. Kalau tak jalan juga dengan mama ayah, orang terus jumpa Pak Cik Adnan dengan Mak Cik Ilah."
Ainnura ketap bibir. Seriau dengar.
"Tapi Ain tak dapat balik minggu depan. Sebab kena ikut supervisor pergi site..."
"Oh ya ke? Tapi tak apa kan, orang pergi jumpa emak ayah Ain sorang diri?"
"Pergilah kalau berani. Kena hambat dengan Pak Cik Adnan jangan menangis di bucu katil sudah."
Faith tergelak.
"Orang tak kesah... Sanggup aje asalkan dapat anak dia yang comel tu."
Ainnura mencebik. "Kalau dua-dua emak ayah kita berkeras tak bagi juga macam mana, Faith?"
"Kita tetap nikah, Ain!" putus Faith dengan yakin.
Berkerut dahi Ainnura.
"Macam mana ?" tanyanya, blur.
Faith kerling Ainnura dengan senyum kelat.
YOU ARE READING
RINDU YANG TERLARANG
General FictionTajuk: Rindu Yang Terlarang Penulis: Umie Nadzimah Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-082-3 Muka Surat : 576 Harga: RM25.00 (Semenanjung) // RM28.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Jun 2018