Bab 6

1.6K 32 0
                                    

PADA pagi Jumaat yang barakah, pasangan Faith dan Ainnura selamat dinikahkan di pejabat agama. Tok wan ni nampak aje biasa-biasa low profile, tapi dia punya ramai kenalan yang boleh membantunya dalam urusan-urusan macam ni. Kacang aje baginya, kalau sekadar untuk menikahkan cucu sendiri. Nak dengan tak nak buat aje.

Ya... Tok wan tolong Ainnura dan Faith kerana yang pertama, sangat kasihan pada mereka. Budak-budak ni berniat baik dan ingin memudahkan perkara yang dihalalkan Allah, tapi ibu-bapa mereka spesies bangang yang terlalu pentingkan ego masing-masing. Bukan tok wan tak cuba menasihati, tok wan dah usaha tapi semuanya degil dan tunjuk pandai sendiri, yang akhirnya tok wan juga yang kena marah balik. Dahsyat orang la ni... Punyalah bijak sampai tak ada rasa hormat pada orang-orang tua langsung! Tu yang tok wan geram. Malah buat tok wan tak rasa bersalah menikahkan budak-budak tu senyap-senyap. Padan muka mak bapak dia orang! Gaduh lagi.

Alasan kedua, tok wan sangat berkenan pada Faith. Sebelum setuju, dia dah interview macam-macam dan perhati perangai Faith terlebih dahulu hingga dia puas hati. Sampai dia ajak Faith tinggal dengan dia selama seminggu untuk perhati perangainya. Berulanglah Faith dari Kangar ke Alor Setar pergi kerja.

Malah Faith kena jadi imam solat kat surau berhampiran rumah dia pun ada. Itu komplot tok wan dan kawan-kawannya. Bukannya apa, tok wan nak uji Faith ni layak ke tidak. Solat tu tiang ugama. Kalau Faith lulus bab solat, bermakna dia punya asas ugama yang agak kukuh. Ternyata Faith lulus dengan cemerlang.

Ketiga, mata tua tok wan memang nampak dengan jelas betapa dua orang ni saling mencintai dan menyayangi antara satu sama lain. Tok wan nak cucu dia senyum bahagia, bukannya asyik murung memikirkan kasih yang tak kesampaian. Kenapalah mak bapa dia orang tak fikir pasal kebahagiaan anak masing-masing. Jika boleh memilih bahagia, kenapa nak masuk dalam derita, kan? Lagi pun, Faith tu sangat baik dan bertanggungjawab. Dah lama dia orang berkawan. Faith tu la yang banyak ambil berat tentang Ainnura. Tok wan tahu tu. Ainnura selalu cerita apa aje dengannya.

Tok wan perhati aje kelakuan laki bini tu selepas balik dari menikah. Tersenyum-senyum simpul, kerling-mengerling, terpegang tangan... Eh, semua adalah. Tok wan buat-buat tak nampak aje. Bukan tak biasa dan tak faham. Dia terlebih dahulu makan garam. Masa macam ni mana nak ingat apa dah. Dok ingat benda yang seronok aje, maklum baru dapat lesen.

"Kelam-kabut sangat tu, hangpa nak ke mana?" Tok wan tegur Ainnura dan Faith yang nampak tergesa-gesa. Saja tok wan nak menyakat. Kasi thrill sikit.

"Errr... Nak masuk biliklah, tok wan," jawab Faith, jujur. Lurus bendul sungguh.

Faith kena cubit sekali dengan Ainnura. Merah padam muka Ainnura, malu dengan tok wan. Tentu tok wan kata dia tak menyabar, padahal Faith yang ajak sebab katanya dia nak berikan Ainnura sesuatu. Faith senyum kelat. Tok wan ni... Sajalah kan.

"Duduk sini dulu, tok wan nak cakap sikit. Toksah dok kalut masuk bilik sangat aih... Awai lagi. Pi sembahyang Jumaat dulu apa-apa hai pun," ujar tok wan, selamba.

Lagilah dua-duanya tersipu-sipu. Tanpa berlengah terus duduk bersebelahan di sofa, menghadap tok wan yang duduk di hadapan. Masing-masing berdebar-debar menunggu apa yang tok wan nak cakap.

Tok wan nak bagi rumah sebiji kat Alor Setar ke sebagai hadiah perkahwinan? Adoyai... Tingginya angan-angan Ainnura! Kalau Faith tahu mesti dia tak suka. Faith tu... Kalau boleh semua dia nak sediakan sendiri untuk Ainnura tanpa mengharapkan orang tua dan siapa-siapa juga. Faith selalu ulang-ulang cakap benda ni.

"Tok wan syukoq hangpa berdua dah selamat jadi laki-bini yang sah. Tapi hangpa jangan ingat tok wan sokong seratus peratus cara kahwin macam ni. Tok wan buat ni semua sebab terpaksa dan sebab sayangkan hangpa. Tapi semua ni tetap tak adil untuk orang tua hangpa berdua. Depa mesti terasa hati bila dapat tau berita ni. Sebagai anak-anak hangpa berdua bersalah. Mana boleh anak-anak membelakangkan ibu bapa... Lebih-lebih lagi dalam perkara besaq macam nikah kahwin ni."

Ainnura dan Faith berpandangan sesama sendiri dan ambil pendekatan untuk berdiam. Hanya dengar bait demi bait kata yang keluar dari bibir tok wan dengan penuh perhatian dan perasaan. Betullah apa yang diperkatakan tok wan. Tak ada satu pun yang salah. Dia orang yang bersalah dalam hal ini. Tak adil pada kedua-dua ibu bapa masing-masing.

"Lepas ni tok wan dah tak ada kuasa pada Ainnura dah. Boleh pandang dari jauh-jauh ja cucu tok wan ni, tapi dah tak boleh pukui. Nak peluk pun tok wan dah takut, sebab dah ada yang jeling-jeling..." Tok wan gelak-gelak di hujung katanya.

"Tok wan niii... Saja ja tau!" marah Ainnura sambil jeling manja.

"Betui la apa tok wan kata. La ni semua tanggungjawab jaga Ainnura jatuh ke bahu Faith. Bukan lagi tok wan dan ayah dia. Tahu tu Faith?" Mata bulat tok wan ditala pada Faith.

Faith mengangguk. "Ya, tok wan. Saya faham. Tok wan jangan risau. Saya janji akan jaga Ainnura lebih daripada nyawa saya sendiri." Sambil tu tangan Ainnura di sebelah dicapai dan digenggam erat. Dalam segan-segan, Ainnura senyum tipis.

"Lagi satu... Pasai mak ayah hangpa, tok wan dah tak nak masuk campoq dah. Hangpa kena pi berterus terang sendiri. Faith kena bertanggungjawab dalam hai ni. Jangan biaq lama-lama, nanti depa tahu dari mulut oghang lain, tak elok. Bertambah-tambah lagi kecik hati depa."

"Tok wan jangan risau... Insya-Allah saya akan selesaikan hal ni secepat mungkin. Tok wan dah tolong sampai sini pun kami dah bersyukur sangat."

"Kalau depa dah berdamai nanti, bincanglah untuk buat kenduri na. Kesian cucu tok wan kahwin koboi lagu ni. Kenduri ni penting untuk hebahkan tentang perkahwinan hangpa. Biar orang tau yang Ainnura ni dah jadi bini hang. Tak dak la orang nak kacau dah!"

Faith mengangguk. Itu juga harapannya.

"Baik, saya akan usahakan. Terima kasih banyak-banyak ya, tok wan. Kalau tak dak tok wan agaknya impian kami hanya jadi angan-angan kosong," ujar Faith sungguh-sungguh.

"Tak dak hai la. Yang penting hangpa berdua bahagia, hidup baik-baik. Cepat bagi tok wan cicit. Dapatlah tok wan tengok rupa generasi keempat pula." Tok wan menyeringai sengih ke arah cucu-cucunya.

"Tok wan dah mulalah tu!" marah Ainnura. Dari tadi dia diam saja sebab bagi peluang pada Faith bercakap. Bab-bab yang tadi tu memang hal Faith pun. Ainnura akan ikut dan sokong saja.

"Awat? Malu ka, Ain?" tanya tok wan, mengusik.

"Hah la..." balas Ainnura, perlahan.

"Malu pula! Tadi sapa yang menonong ja nak masuk bilik?" sakat tok wan, balik.

"Eee... Mana ada, tok wan!" jerit Ainnura.

"Ain..." tegur Faith. Dia bagi isyarat mata supaya Ainnura jangan tinggikan suara pada tok wan. Ainnura terdiam. Dia dah terbiasa perangai lepas kalau dengan tok wan.

Tok wan gelak. "Pi la masuk rehat ka, nak buat apa-apa yang patut pun boleh! Tok wan nak tengok doh roti sat. Petang nanti nak canai."

"Petang? Tok wan nak buka warung petang ka?" tanya Faith, hairan.

"Dak aih... Tok wan nak jamu orang kat surau lepaih maghrib nanti."

"Oh... Nanti kami tolong tok wan na?" Faith pelawa diri. Ainnura mengangguk, mengiakan.

"Tak apa aih... Tak payah. Pi la honeymoon kat bilik rumah tok wan tu. Free... Tok wan tak charge sewa. Hadiah untuk pengantin baru," balas tok wan dengan senyum melirik dan kenyit mata pada cucunya. Tok wan kalau bab menyakat, memang kelas.

Merah padam muka Ainnura. Faith steady aje. Siap senyum senget lagi. 

RINDU YANG TERLARANGWhere stories live. Discover now