"AIN... Awak okey tak di tempat kerja?"
Faith menelefon bertanyakan keadaan Ainnura. Pagi ni saja dah berapa kali dia telefon isterinya. Entah kenapa, dia rasa tak sedap hati saja. Sejak malam semalam. Selepas menerima panggilan telefon daripada ayahnya, dia langsung jadi tak tenteram. Ayahnya macam dah syak sesuatu. Dia bimbang akan keselamatan Ainnura.
"Ala, awak ni. Ain okey la. Supervisor Ain siap puji lagi Ain cekap buat kerja tau!" jawab Ainnura dengan manja.
Faith yang mendengar telan air liur. Ainnura ni memang lurus. Bahaya depan mata pun kadang-kadang dia tak perasan.
"Ain, kalau ada apa-apa masalah, cepat-cepat call orang tau!" pesan Faith.
"Ya, Faith. Tapi awak janganlah asyik call Ain aje, orang sebelah dah kerling-kerling. Nanti dia kata Ain ni tak buat kerja, dok bergayut aje dua puluh empat jam." Ainnura balas cakap dengan cara berbisik. Takut orang sebelah dengar.
"Okey... Okey... Orang tak call dah. Nanti waktu lunch orang tapau nasi macam biasa, ya? Ain jangan keluar ke mana-mana tau!" pesan Faith lagi.
"Orite, Faith. Jangan risau pasal Ain. Fokus pada kerja awak," pesan Ainnura balik.
"Take care. Orang sayang awak sangat..."
Suara Faith yang mendayu tu buat perasaan Ainnura jadi sayu. Tiba-tiba rasa tak sabar tunggu waktu tengah hari untuk lihat wajah si suami. Rindunya...
Faith di pejabat masih termenung. Teringat pesanan tok wan supaya dia selesaikan cepat dengan keluarga pasal pernikahan rahsianya dengan Ainnura. Andainya mama dan ayah tahu dari mulut orang lain terlebih dahulu, keadaan mungkin akan jadi lebih rumit. Begitu juga dengan emak dan ayah Ainnura. Dia kena bertanggungjawab pada kedua-dua keluarga. Tapi hingga sekarang dia masih berdiam diri.
Dia bukan takut untuk berterus terang. Dia tahu, kalau berani buat, kena berani tanggung akibat. Namun, dia juga memikirkan risiko yang akan ditempuhi selepas dia membuat pengakuan. Kemungkinan besar, kedua-dua pasangan emak ayah ni akan berang dan berperang sakan. Sebab itu dia ambil masa sikit. Dia ingin menikmati kehidupan berumah tangga terlebih dahulu. Merasai kebahagiaan menjadi sepasang suami isteri.
Setahu Faith, tiada siapa yang tahu tentang pernikahannya dengan Ainnura, kecuali beberapa orang pejabat agama, saksi dan tok wan. Pasal tok wan, dia sangat yakin yang tok wan pandai simpan rahsia. Buat kenduri roti canai pun dia tak ada sebut niatnya pada orang surau. Tok wan sangat menyokong dia dan Ainnura. Buktinya, tok wan ada telefon dia, cerita pasal ayah Ainnura yang pergi ke Kangar untuk menyiasat pasal Ainnura. Tok wan suruh dia berhati-hati dan selesaikan masalahnya dengan bijak.
Tok wan ni seorang orang tua yang sangat bagus sikapnya. Dia tak mendesak, tak melulu. Tok wan sangat adil dan bertimbang rasa. Jika tak elok, dia berterus terang kata tak elok. Tak ada nak belok sana sini. Cakap tok wan walaupun kadang-kadang tu makan dalam, tetapi penuh dengan nasihat. Itu yang dia mahukan daripada orang tua. Nasihat dan panduan. Bukannya asyik ajak bermusuh dan bergaduh. Lemas dia.
"Faith, big boss nak jumpa!"
Lamunan Faith terhenti bila dikejutkan suara setiausaha bosnya. Dia toleh pada gadis tersebut. Bagi isyarat mata tanya bila.
Diana sengih. "Now! Dia tengah tunggu tu."
Faith terus bangun dan pergi ke bilik Dato Rashid. Ingatkan pasal kerja, rupa-rupanya sikit pun tak. Sembang-sembang pasal hal peribadi aje. Dato Rashid risik-risik sama ada dia dah ada girlfriend ke belum? Takkan nak cerita yang dia dah ada bini dah pun. Tak main la girlfriend-girlfriend ni. Usung anak dara orang sana sini, bukannya elok. Banyak dosa!
YOU ARE READING
RINDU YANG TERLARANG
General FictionTajuk: Rindu Yang Terlarang Penulis: Umie Nadzimah Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-082-3 Muka Surat : 576 Harga: RM25.00 (Semenanjung) // RM28.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Jun 2018