MATA Ainnura dah berair. Sebak mengenangkan nasib cinta dia dan Faith. Tak nampak jalannya lagi, melainkan putus. Tapi 'putus' tu adalah keputusan yang macam 'mati' untuk dia. Berpisah dengan Faith, bermakna matilah hidup dia. Dia tak sanggup. Emak dan ayah tak henti-henti mendesak dan mengugutnya supaya jangan berkawan dan berjumpa dengan Faith. Tertekan sangat. Dia mana boleh tak berjumpa dengan Faith. Mahu tak boleh buat semua kerja, asyik merindu lelaki tu.
"Dahlah tu... Jangan nangis lagi. Dah dekat dua jam Ain nangis. Orang pun sedih juga. Tapi menangis tu tak selesaikan masalah kita Ain..."
Pujuk Faith yang duduk di atas kerusi pemandu. Sejak dua jam itu mereka tak keluar-keluar dari kereta. Parkir saja depan warung, tujuannya nak makan malam bersama, tapi lain pula yang jadi.
"Ain takut pertemuan ni jadi pertemuan terakhir kita Faith. Emak dan ayah dah semakin agresif. Kalau boleh hari-hari dia orang nak mai Alor Setar ni, check Ain jumpa awak ke tidak. Ni... Dengar sok-sek sok-sek dah pasang sepai pula. Entah-entah esok lusa, upah bodyguard. Ain takut Faith. Ain tak mahu berpisah dengan Faith..." adu Ainnura dengan sedu-sedu. Kejap cakap kejap berhenti lap air mata, sambung balik cakap.
Lama Faith berdiam diri memikir. Dilihat saja Ainnura yang masih terus menangis teresak-esak. Belas sangat. Apalah pengakhiran nasib kisah cinta mereka. Tujuh tahun, susah payah mereka jaga daripada diketahui keluarga masing-masing. Sebabnya, mereka nak mengelak daripada kejadian seperti tengah berlaku sekarang inilah. Ancaman supaya hubungan mereka putus dengan segera. Tak ada tolak ansur! Dua-dua emak dan ayah masing-masing sama aje naiknya. Keras dan tak bertimbang rasa!
"Kita kena nikah cepat Ain. Bila dah ada ikatan, dia orang dah tak boleh buat apa-apa dah. Masa tu Ain dah jadi tanggungjawab orang. Itu saja jalan terbaik yang orang dapat fikir. Orang dah tak nampak cara lain untuk selamatkan hubungan kita."
"Tapi macam mana kita nak nikah kalau dia orang tak setuju? Faith nak ajak Ain kahwin lari kat Siam ka?"
"Isy, Ain ni... Kahwin lari tu kasar sangat bunyinya," komen Faith, lembut. Tak selesa dengan soalan Ainnura.
"Habis tu?"
"Rasa-rasa tok wan boleh tolong kita tak?" Faith membuka idea.
Wajah Ainnura tiba-tiba mendapat seri baru. Dia mengangguk beberapa kali.
"Kenapa Ain boleh terlupa pasal tok wan? Dia mesti tolong kita. Tok wan tu tak sama perangai macam ayah."
"Okey... Kalau macam tu esok juga orang pergi menghadap tok wan."
"Tapi tok wan tu banyak mulut, awak tak takut ke?"
Faith senyum tipis. "Apa ada hal? Kena penumbuk sekali pun berbaloi kut kalau dapat kahwin dengan cucu dia."
"Jangan menyesal cukup!" kata Ainnura sambil senyum. Baru boleh nak tersenyum selepas lama dok meraung. Baru dia rasa lega sebab dah nampak jalan sikit. Dia tak mahu berpisah dengan Faith. Tak dapat bayangkan macam mana.
"Orang nak ambil cuti esok. Pagi-pagi orang dah nak cari tok wan. Tangguh-tangguh karang, macam-macam boleh jadi. Orang pun risau..."
Ainnura mengangguk setuju. Sangat faham situasi mereka. Macam cerita wayang zaman dulu-dulu. Zaman emak ayah dia orang kecil-kecil. Dari situ agaknya emak ayah dia orang belajar kut. Kalau diikutkan, drama kat televisyen sekarang tak ada pun tema berperang dua keluarga hanya kerana sekeping tanah. Tak tahulah pula kalau dia terlepas menonton.
"Jomlah makan... Nanti Ain lewat balik, orang serumah mengata," ajak Faith seketika kemudian.
Ainnura menggeleng. "Tak ada selera."
YOU ARE READING
RINDU YANG TERLARANG
General FictionTajuk: Rindu Yang Terlarang Penulis: Umie Nadzimah Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-082-3 Muka Surat : 576 Harga: RM25.00 (Semenanjung) // RM28.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Jun 2018