AINNURA buka mata. Menggeliat betulkan urat badan. Kemudian baru perasan ada mata yang tengah merenung dari meja kecil di sudut bilik. Dia berikan senyuman manis sebagai balasan senyum pada orang tu.
"Lamanya Ain tidur..." kata Faith, perlahan.
Ainnura sengih. "Mengantuk... Dah tidur malam asyik kena kacau. Ain qada la siang."
Faith gelak. "Tu nak salahkan orang la tu..."
"Faith buat apa?" Sambil tanya Ainnura menguap lagi.
Soalan basa-basi, padahal dia dah tahu Faith buat apa di meja belajarnya. Tengah draf laporan praktikal yang dia perlu buat. Nanti Faith akan siapkan juga sampai habis. Macam tu juga dengan semua assignment sebelum ini. Semua Faith yang tolong buatkan. Hidup dia memang banyak bergantung pada Faith. Nasib baik dia orang dapat juga nikah. Jika tak, tak tahulah macam mana dia nak hidup.
Faith menggeleng tengok si isteri yang masih berbaring di atas katil, tapi bibir tetap sua senyum.
"Buat repot awak la... Kalau orang tak tolong buat, mahu lambat gradnya nanti. Orang takut anak dah tiga keluar, awak pula belum keluar-keluar U lagi," leter Faith, mengusik.
"Ala... Awak tolong la. Siapa lagi nak tolong isteri kalau bukan suaminya... Lagi pun Ain pandai kat exam aje, bab assignment semua Ain tak pandai."
"Bukan tak pandai... tapi manja sangat!" bebel Faith, lembut.
Ainnura buat-buat tak faham aje. Bukan pertama kali Faith kata dia manja. Selalu. Tapi dia peduli apa, janji segala kertas kerjanya beres. Dari tahun pertama masuk universiti lagi. Ni tahun akhir dah.
"Semester ni dah nak habis, awak. Tinggal satu semester aje lagi. Lepas tu awak mesti bosan sebab Ain dah tak menyusahkan awak lagi!" balas Ainnura pula.
Faith merenung wajah Ainnura seketika.
"Puan Ainnura sayang, oi... Sekali-sekala kenalah belajar berdikari. Kalau orang tak ada suatu hari nanti, taklah awak tu terkejut sangat!"
Ainnura terkesima. "Awak nak pergi mana? Pasal apa nak tinggalkan Ain?" Suaranya dah mula bergetar. Cuba kawal perasaan yang bergelodak.
"Tak adalah nak pi mana-mana, sayang. Orang kata 'kalau' aje... Bukan serius pun. Manalah tau kan, masa depan kita ni masih ghaib. Kita tak dapat nak ramal. Seandainya jadi sesuatu pada orang ni... Orang risau pasal awak aje."
"Errr... Tak sukalah Faith ni. Tak mau la cakap bukan-bukan!" Ainnura terus tarik selimut tutup seluruh muka dia. Ala-ala merajuk la konon.
Faith datang ke katil. Perlahan tarik selimut di muka Ainnura.
"Awak, orang lapar..." kata Faith dengan suara minta simpati.
"Ya ka? Kejap, ya? Ain pergi masak."
Ainnura baru sedar yang dia dah terlupa tanggungjawab sebagai isteri. Nak kahwin tergedik-gedik. Makan pakai laki pun tak reti jaga. Lepas tu mencicit dia lari pergi cuci muka, rapikan rambut dan terus ke dapur.
Sampai di dapur, Faith dah sedia menunggu di meja kecil mereka. Makanan dah penuh atas meja. Faith sengih melihat Ainnura yang tergamam. Ainnura pandang pelbagai lauk-pauk atas meja dengan muka kehairanan.
"Bila Faith masak?"
"Mana ada orang masak. Orang gosok-gosok cerek tu aje... Lepas tu jin hantar makanan ni semua," ujar Faith sambil ketawa-ketawa. Seratus peratus tak menjawab soalan. Sambil tu dia tarik kerusi untuk Ainnura duduk.
"Oh ya? Jin jantan ke jin betina awak?"
"Betina. Lawaaa..."
"Siapa lagi lawa? Ain ke jin tu?" Layan ajelah Ainnura, walaupun cerita merapu.
"Awaklah. Awak kan isteri orang. Jin tu tak pandai menggoda, seksi pun tak..." Faith gelak. Tapi terdiam bila pipi dia kena cium dengan tiba-tiba.
"Terima kasih tau awak, buat semua untuk Ain. Rasa diri Ain ni macam kaduk naik junjung pula. Melampau!"
Ain tayang muka sesal. Sedap aje dia membuta sampai matahari menegak atas langit. Sedangkan Faith bersusah payah buat semua kerja. Sepatutnya cuti hujung minggu, kasilah Faith berehat. Dah la masa hari bekerja, Faith sibuk sana sini. Hantar dia pergi tempat praktikal, nanti bila tengah hari bungkuskan makanan, petang jemput balik. Dengan kerja-kerja Faith sendiri yang dah sedia banyak.
Faith letakkan nasi ke atas pinggan Ainnura. Lepas tu dia letakkan lauk-pauk pula.
"Errr... Awak... Awak tau ke kaduk tu apa?"
Ainnura sengih. Dia geleng kepala. Sumpah dia tau sebut aje, sebab tok wan selalu sebut. Bila dia terlebih mengada-ada, tok wan kata dia kaduk naik junjung.
"Binatang apa?"
"Bukan binatang la. Sejenis tumbuh-tumbuhan menjalar. Bila jumpa junjung, kemain la dia naik menjalar."
"Ooo... Lebih kurang tak sedar dirilah, ya?"
Faith senyum. "Dalam kes kita suami isteri... Bukan kaduk naik junjung tapi win-win situation. Orang buat semua ni tak free tau. Kena upah!" usiknya.
"Baik. Nanti Ain kasi upahnya." Selamba Ainnura setuju.
"Tapi untuk tebus rasa bersalah, Ain nak suapkan Faith makan boleh?"
Faith senyum sampai telinga.
PETANGNYA Ainnura sudah ada sedikit kesedaran. Tak nak jadi kaduk naik junjung dah. Dia kumpul baju kerja Faith untuk satu minggu. Mulalah dia menggosok baju suaminya dengan penuh kasih sayang. Baru sahaja siap seterika sehelai, ada tangan melingkari tubuhnya dari belakang.
"Jangan kacau la, Faith. Ain tengah bersungguh-sungguh buat kerja ni..." rungut Ainnura.
"Alaaa... Orang ngantuk la," bisik Faith, perlahan.
"Dah ngantuk , pergilah tidur atas katil. Takkan nak tidur kat belakang Ain ni pula."
"Jom, temankan orang tidur..." Faith merengek.
"Isy, macam budak kecik la Faith ni. Tidur pun nak kena teman-teman. Ain ni tengah menjalankan tugas sebagai isteri Faith. Mana boleh tidur lagi. Dah la pagi tadi Ain tidur sampai tengah hari."
"Alaaa... Ain tak payah buat semua ni. Orang boleh aje buat sendiri nanti."
"Tak mahulah macam tu. Ain rasa berdosa tak jalankan tanggungjawab Ain. Faith tu dah la macam-macam kena buat. Biarlah Ain ringankan sikit beban Faith."
"Orang tak kesahlah buat semua tu. Orang bukan kahwin nak jadikan awak bibik. Orang nak awak jadi isteri. Cukuplah awak sentiasa ada dekat dengan orang. Tak buat kerja dalam rumah ni pun tak apa. Orang mampu buat semua tau," balas Faith.
"Tak adil la macam tu..." Ainnura masih hendak membantah.
"Syyy..." Faith letak jari ke bibir Ainnura. Seketika kemudian dia simpan seterika dan tutup suis. Lepas tu dia tarik tangan Ainnura masuk bilik.
YOU ARE READING
RINDU YANG TERLARANG
General FictionTajuk: Rindu Yang Terlarang Penulis: Umie Nadzimah Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-082-3 Muka Surat : 576 Harga: RM25.00 (Semenanjung) // RM28.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Jun 2018