Bab 13

1.4K 19 0
                                    

SEMINGGU dah berlalu. Bengkak dan lebam di tubuh Faith semakin berkurangan. Namun sengal-sengalnya kadang-kadang masih terasa. Setiap kali menyapu ubat kalau tak buat drama air mata, Ainnura akan tayang muka sedih pada Faith. Kasihan sungguh pada Faith. Demi sayang pada dia, Faith sanggup menanggung sakit.

Tapi Faith tetap relaks, tak pernah merungut pada Ainnura. Sengih-sengih lagi ada, dengan mulut herot dia tu. Selepas kejadian di rumah 'keluargaku dan mentuaku' minggu lepas, Faith seperti biasa juga. Layan Ainnura macam puteri juga. Tak berkurang sikit pun.

Dalam sakit dan muka hodoh tu pun dia tetap pergi kerja. Semua orang tegur kenapa muka dia jadi macam tu, jalan pun kengkang semacam. Dato Rashid yang tak tahu apa-apa pun bertanya. Faith jawab kena pukul sebab dia pi 'try girlfriend' orang. Dato Rashid ketawa. Tahu Faith bergurau. Lepas tu siap bagi nasihat tak payah kacau kekasih orang, anak dara yang masih free masih berlambak kat luar sana. Muka kacak macam Faith ni, petik jari aje, berduyun-duyun datang.

Dua hari lepas, tok wan ada datang menjengah dia orang di rumah sewa. Menggeleng kepala tok wan melihat keadaan Faith yang dah kurang kesegakannya. Tok wan sangat marah pada kedua-dua ibu bapa Faith dan anak menantunya. Semua tu orang-orang gila, kata tok wan. Hidup bertunjangkan ego dan bergurukan nafsu syaitan.

Biarpun pada anak menantu sendiri, tok wan sikit pun tak menyebelahi. Dah tak betul cara dia orang, nak buat apa sokong? Hidup tok wan punya prinsip. Ainnura dan Faith lega juga sebab tok wan selalu menyebelahi mereka. Sekurang-kurangnya ada orang tua tempat mereka bergantung dan mengadu nasib.

"Faith... Agak-agak sampai bila ya kita kena buang emak ayah macam ni? Sampai selama-lamanya ke?"

Malam tu, tiba-tiba Ainurah jadi sensitif. Terkenang nasib dia dan Faith. Sampai bila akan dipulaukan keluarga? Kasihan anak-anak mereka nanti tak dapat merasa kasih sayang datuk nenek dia orang.

Faith pandang muka Ainnura. "Kenapa tiba-tiba Ain tanya gitu?"

Ainnura mula tunjuk muka sayu.

"Yalah... Ain bayangkan bila tiba hari raya nanti. Kita tak balik rumah dia orang. Tentu sedih..."

"Isy... Takkan dia orang nak marah sampai lama macam tu sekali? Hari raya kita tetap balik, Ain. Mesti minta maaf dengan dia orang. Orang tetap bawa Ain balik. Kita kan anak-anak, mesti mengalah dulu."

"Tapi kalau hati dia orang tetap keras macam mana?"

"Kita jangan mengalah. Pujuk dan terus pujuk. Tak boleh putus asa. Masa ni memanglah dia orang marah sebab terkejut. Lama-lama nanti tentu dia orang akan terima sedikit demi sedikit. Kita kena banyak bersabar, Ain. Kita fokus pada rumah tangga, buktikan pada dia orang yang kita boleh hidup bahagia, barulah dia orang lebih yakin dan percaya," nasihat Faith dengan suara tenang dan yakin.

Ainnura terdiam dengan kata-kata positif Faith. Gitulah cara Faith. Jarang dia berfikiran negatif. Ini salah satu sebab kenapa Ainnura setuju jadi isteri Faith. Suaminya sentiasa bersikap optimis. Faith orang yang tepat untuk dia bergantung harap.

"Ain tu... Tinggal satu semester aje lagi. Jangan pula bila dah kahwin, kena extend belajar. Kena habiskan by semester depan juga tau! Tak mau main-main belajar!"

Sengaja Faith mengungkit hal belajar supaya Ainnura mengalih topik hangat tersebut. Bagi Faith, dia yakin dengan peredaran masa, kedua-dua ibu bapa mereka akan menerima pernikahan dia orang.

Ainnura mencebik bibir. Bab belajar, dia memang selalu kena dengan Faith. Maklumlah, dari tahun satu segala assignment dia, Faith yang bantu buat.

"Dia bawa juga anak orang tu, bang. Tak adanya dia ikut cakap kita mak bapak dia ni. Budak perempuan tu lagi penting daripada kita berdua." Puan Rohana melepaskan keluhan kasar. Sesal dan marah dengan tindakan Faith. Dah seminggu lebih pergi, sikit pun tak telefon atau mesej dia. Faith dah tak seperti dulu.

"Aku takkan biarkan, Rohana! Aku bukannya tunggul!" balas Encik Fazlan, keras. Gigi diketap-ketap menahan geram.

"Saya bukannya apa, bang. Saya takut sangat Faith terus hilang daripada kita. Nama saja anak kita, tapi orang lain yang kawal dia. Penat saya beranakkan dia, bang."

"Mana boleh macam tu. Kita yang lebih berhak pada anak kita! Tambahan dia anak lelaki... Sampai mati dia dengan kita. Lainlah kalau perempuan. Lepas kahwin bukan tanggungan kita dah! Aku akan ambil balik anak aku!" tegas Encik Fazlan dengan serius.

Baginya, Faith itu satu-satunya anak harapan, anak yang selalu diangankan bawa tuah dan ringgit pada dia. Dia dah atur rancangan untuk masa depan Faith. Dengan tiba-tiba musnah bila Faith mengaku tengah angaukan anak manusia tak guna jiran mereka. Mana hatinya tak hangat membara? Lain yang diimpikan, lain yang dapat? Sumpah dia tak akan terima keluarga Adnan tu jadi saudara. Sampai kiamat pun tidak!

"Habis kita nak buat macam mana, bang? Lambat kita bertindak, makin jauh Faith nanti. Entah apa-apa budak perempuan kasi dia makan nanti. Sebelum nasi jadi bubur, lebih baik kita lekas pisahkan dia orang berdua."

Puan Rohana menggesa suaminya. Dah seminggu lebih dia tak senang duduk memikirkan pasal Faith. Macam-macam benda yang terjah ke kepalanya. Bimbang sangat Faith terlepas ke tangan musuhnya.

"Aku tengah usahakan ni!" Ringkas jawab Encik Fazlan.

"Kita tarik ja elaun bulanan Faith yang kita bagi tiap bulan tu, bang. Bila Faith tu sengkek, taulah budak perempuan tu. Selama ni dia boleh hidup senang dengan duit Faith. Tu yang terhegeh-hegeh ajak anak kita kahwin. Nak tumpang duit anak kita."

"Betul tu, mama. Fateha setuju sangat. Apa kata kereta tu pun ayah tarik. Kereta tu masih nama ayah, kan? Abang tu dah kerja pun, tiap-tiap tahun ayah yang renew road tax kereta dia. Sepatutnya kereta tu dah transfer pada Fateha ni. Dia dah kerja, belilah baru. Tapi dia sibuk nak kasi makan anak orang!"

Fateha yang tiba-tiba datang ke situ menyampuk. Dah lama dia curi dengar perbualan mama ayahnya di satu sudut tersembunyi. Nak terjah dari awal, takut kena sound dengan si ayah, tapi akhirnya dia kacau daun juga sebab dah tak menahan untuk jadi batu api supaya ayahnya lagi marah pada Faith. Nak bodek mama dan ayah pun ya juga. Dah lama dia mengidam bawa kereta ke kolej, tapi ayahnya buat derk saja.

Ayahnya selalu melebihkan Faith daripada dia dan Fazira. Apa-apa hal, semua Faith dapat lebih. Dia dan Fazira cuma dapat lebihan Faith saja. Bila Faith buat perangai, baru padan muka ayah! Dan masa inilah Fateha kena ambil peluang!

"Yang ni mama sokong sangat! Kita tengok betina tu nak setia ke tak bila kena naik bas, naik teksi bagai. Baru dia rasa! Baru padan. Jangan ingat semua tu Faith punya. Kalau tak kerana kita yang beri kat Faith selama ni betina tu pun tak merasa! Ini suka-suka hati dia aje perguna anak kita nak ke sana sini. Kita tak tahu bang selama ni anak kita jadi drebar pada anak orang tu."

"Tak apa... Esok lusa dia rasalah macam mana! Tahulah langit tu tinggi ke rendah!" tokok Encik Fazlan. Memang dia dah rancang semua tu. Cuma tak beritahu Rohana semua pelannya secara terperinci.

"Yes!" sorak Fateha sambil angkat tangan dan jatuhkannya semula dengan cepat.

"Boleh Fateha terus drive kereta tu balik kolejlah, ayah?" Tak sabar-sabar dah Fateha untuk ambil alih kereta abangnya.

Encik Fazlan menjeling, kurang senang dengan kegedikan Fateha. Dah la kepala dia tengah kusut, karang jadi apa-apa di tengah jalan, dia lagi yang kena uruskan. Selagi hal Faith belum selesai, dia malas nak fikir masalah lain.

"Kereta lama tu pun kau nak rebut Fateha? Rosak tengah jalan, pandai ka repair? Kalau abang kau lain la... Dia lelaki, panjang akal," bebel Puan Rohana.

"Lama pun lamalah, mama... Daripada tak ada. Nak tunggu yang baru, tak merasa la. Lain la kalau abang yang minta, esok ayah terus kasi. Tapi tengoklah, apa yang abang dah buat pada ayah?" Berani sungguh Fateha memprovokasi ayahnya. Lancar saja bahasanya.

Encik Fazlan merengus marah lalu bangun keluar dari rumah. Puan Rohana kerling Fateha. Spontan tangannya juga merayap ke paha si anak. Ikutkan Puan Rohana, hendak aje dia belikan kereta untuk Fateha, yang kecil dan murah pun tak apa. Tetapi masalahnya suami dia tak luluskan. Kalau tuan besar tak bagi lampu hijau, apa pun tak boleh jalan. Bajet yilek. Makanya dapat berangan ajelah. Sebab tu dia faham sangat dengan perasaan Fateha. Pun begitu... Puan Rohana pun sama macam Encik Fazlan, Faith lebih utama berbanding anak-anak perempuan! 

RINDU YANG TERLARANGWhere stories live. Discover now