Bab 9

23.9K 1.5K 145
                                    

BUNYI ombak menghempas pantai menjadi halwa telinga Damia. Dia duduk di atas bangku kayu sambil menghadap hamparan pantai yang terbentang luas. Angin yang sedikit kuat menyapa tubuhnya. Hujung tudung dipegang erat.

Masya-Allah. Indahnya ciptaan-Mu Tuhan.

Damia tersentak tatkala telefon bimbitnya berdering. Lantas dia menyelongkar tas tangan dan mengeluarkan telefon bimbitnya. Terpampang nama Ziyyad di dada skrin. Tak menunggu lama, panggilan itu dijawab.

"Helo, Ziyyad." Sapa Damia terlebih dahulu.

"Mia, saya nak bagitahu awak yang saya balik lewat hari ni. Awak tak payah tunggu saya okey? Tak perlu masak banyak-banyak, dan jangan tunggu saya balik." Terus tanpa sapaan, Ziyyad menyatakan sebab dia menghubungi Damia. Kening Damia hampir bertaut mendengar ayat-ayat itu.

"Awak pergi mana?" Soal Damia.

"Saya ada hal, biasa lah.. dengan client." Jawab Ziyyad.

"Hal apa sampai lewat malam? Kalau ya pun pasal kerja, takkan client awak tak boleh bezakan siang dan malam?" Rengus Damia di hujung ayat. Semenjak dua menjak ni, masanya bersama Ziyyad semakin kurang. Dia sudah jarang meluangkan masa bersama Ziyyad seperti selalu. Tambah lagi dengan dia yang kini berbadan dua. Lagi lah dia perlukan perhatian yang penuh dari suaminya itu.

"Kerja, Damia. Nak buat macam mana? Lagipun kerja makan gaji."

"Yelah. Tapi awak jangan balik lambat pulak tau?"

"Tak janji, okey. Awak jangan tunggu saya pulak. Okey lah, Mia.. nanti apa-apa saya call awak balik. Jaga diri baik-baik. Assalamualaikum," Belum sempat Damia membalas, Ziyyad awal-awal lagi sudah memutuskan talian. Sibuk betul ke?

Damia mengeluh. Serta merta peristiwa di mana dia melihat Ziyyad dan Jasmin di sebuah pasaraya kembali terbayang-bayang. Sampai sekarang, dia tak ungkit hal itu kepada Ziyyad kerana dia tak mahu rumah tangganya pincang. Dia sayangkan Ziyyad, mana mungkin dia mahu melepaskan lelaki itu kepada perempuan lain?

Tak apa lah, Mia. Sabar, jangan fikir yang bukan-bukan. Insya-Allah, Ziyyad hanya menganggap Jasmin sebagai seorang kawan lama. Lagipun, bukan kah dulu mereka membesar bersama? Damia bermonolog sendiri, cuba menyedapkan hatinya yang tiba-tiba kacau.

"Asha, jangan lari laju sangat!"

Serentak itu, seorang kanak-kanak perempuan jatuh tersembam di hadapan Damia. Buru-buru Damia berlari mendapatkan kanak-kanak perempuan yang berada beberapa langkah sahaja dari tempat duduknya.

"Adik okey?" Damia menyentuh lengan kanak-kanak perempuan tersebut dengan niat mahu membangunkannya, namun ditepis kasar. Rengusan keluar dari mulut kanak-kanak perempuan tersebut.

"Sini kakak tolong adik bangun," Sekali lagi Damia cuba memegang lengan kanak-kanak perempuan tersebut namun ditepis lagi.

"Asha, kan Along dah cakap jangan berlari. Tengok apa dah jadi?" Damia berundur sedikit ke belakang apabila seorang lelaki yang berkemeja biru muda menghampiri kanak-kanak perempuan tersebut.

"Akit..."

"Sakit? Sakit dekat mana?" Redza menyoal. Kanak-kanak perempuan yang dipanggil Asha itu menunjukkan kedua belah telapak tangannya dan juga bahagian lutut. Redza memeriksa dan menghembus kawasan yang ditunjuk Fasha.

"Dah, Along dah tiup. Dah tak sakit kan?" Redza menyoal lagi. Lega. Mujur Fasha tak ada luka, kalau tak memang terpaksa dia tadah telinga dengar adik bongsunya itu menjerit-jerit. Yalah, jatuh pun atas pasir.

Redza yang menyedari kehadiran seseorang di situ, pantas mengangkat muka. Terus dia bangun dari duduk lalu berdiri di hadapan Damia. Lama dia pandang Damia yang memegang hujung tudungnya yang ditiup angin.

Beautiful Path ✔Where stories live. Discover now