Bab 52

36.3K 1.2K 18
                                    

USAI makan malam, Damia duduk mengambil angin di balkoni rumah bersama Dahlia dan Puan Anisah. Bonding time anak beranak gitu. Damia peluk lengan Puan Anisah sambil kepala dah terlentok di bahu emaknya itu.

   "Dah lama tak manja-manja dengan mak macam ni." Gumam Damia. Puan Anisah gelak kecil.

   "Dah nak jadi mak orang dah pun, nak manja apa lagi?" balas Puan Anisah. Damia tarik muncung.

   "Tak kesah lah. Mia tetap anak manja mak walaupun Mia ada anak sepuluh orang."

Puan Anisah dan Dahlia dah bergabung tawa.

   "Sepuluh ya? Yang dalam perut tu pun tak lepas lagi." Sambut Dahlia. Damia angkat kepala lalu menjeling kakaknya itu.

   "Sibuk aje lah. Tengok Kak Lia ni, mak."

Kepala Puan Anisah dah tergeleng-geleng.

   "Dari dulu sampai sekarang, macam ni lah perangai kau orang berdua." Komen Puan Anisah sambil menepuk-nepuk tangan Damia yang sedang memeluknya itu. Dahlia dan Damia sama-sama gelak kecil.

   "Mak, terima kasih." Ucap Damia tiba-tiba.

   "Kenapa tiba-tiba pulak ni?"

   "Saja. Terima kasih tau mak sebab sabar melayan perangai dan karenah Mia. Mia tahu Mia ni anak mak yang paling degil dan keras kepala. Mia dah banyak buat mak risau, buat mak sedih disebabkan Mia. Maafkan Mia ya, mak?" redup pandangan Damia memandang wajah tua emaknya itu. Puan Anisah senyum nipis.

   "Mak sayang anak-anak mak. Tak perlu berterima kasih dekat mak, tak perlu minta maaf dekat mak sebab di mata mak... anak-anak mak tak pernah buat salah dengan mak. Anak-anak mak baik-baik semuanya. Penyejuk mata mak, penawar hati mak. Nyawa mak," balasan Puan Anisah buat Dahlia dan Damia tiba-tiba terasa sebak. Mia mengeratkan pelukan di tubuh Puan Anisah sambil kolam matanya dah bergenang air mata. Bila-bila masa sahaja cecair jernih yang bertakungan itu akan tumpah.

   "Bila arwah ayah kau orang meninggal, jujur mak tak kuat. Tapi bila mak tengok muka kau orang berdua... mak rasa ada kekuatan yang menyelinap masuk dalam diri mak. Mak kena bangkit dan kuat untuk kau orang berdua. Walaupun ada yang benci dan berdendam dengan mak, mak tetap kena tabah. Ainul Dahlia dan Nureen Damia lah kekuatan mak selama ni." Sambung Puan Anisah lagi. Dadanya turut sebak.

   "Hidup ni kan, penuh dengan pancaroba. Penuh dengan ujian. Tipu lah kalau kita tak kena waima sedikit pun ujian dari Allah selama kita hidup di muka bumi ini. Sedangkan nabi Allah pun diuji, apatah lagi kita manusia yang selalu aje buat salah dan dosa. Tapi, dengan ujian itu lah yang membuatkan kita kuat dan sabar. Bila Allah uji kita, maknanya Allah pedulikan kita. Allah sayangkan kita. Allah takkan uji hamba-Nya di luar kemampuan-Nya. Sebab itu lah, kalau kita diuji dan terus diuji, jangan sesekali kita cakap yang Allah tak sayangkan kita. Sedangkan ujian itu lah tanda Allah sayangkan kita."

Jeda.

   "Sebesar mana pun ujian dan masalah yang menimpa kita, ingat lah... Allah dah sediakan sesuatu yang lebih indah untuk kita. Sentiasa lah bersangka baik dengan Allah. Allah tu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Kalau kita rasa ujian yang Allah timpakan kepada kita begitu besar, kita kena ingat juga yang ada orang lagi besar ujiannya dari kita. Selalu pesan pada diri kita, Allah ada. Allah tahu segala-galanya. Pahala bersabar tu besar tau?" Puan Anisah pandang Dahlia dan Damia silih berganti.

   "Sekarang Lia dah tahu kenapa mak kuat sangat selama ni walaupun mak dicemuh, dicaci, dimaki. Walaupun bukan salah mak, tapi mak tetap terima semuanya dengan sabar. Mak, mak lah wanita paling cekal yang pernah Lia jumpa. Lia bangga ada ibu macam mak. Terima kasih mak," Dahlia memeluk Puan Anisah, erat.

Bahu Dahlia dan Damia yang sedang memeluknya kiri dan kanan diusap perlahan.

   "Hidup ni singkat aje Lia, Mia. Kalau kita bencikan sesuatu pun, percaya lah benda tu tak menguntungkan kita. Sedikit pun tak bawa manfaat. Bila ada orang mencemuh kita dengan macam-macam kata, senyum lah. Maafkan dia. Sabar dan ingat Allah itu ada. Allah sayangkan hamba-hamba-Nya yang bersabar." Sambung Puan Anisah lagi. Damia tarik air hingus. Air mata dah meleleh keluar sejak dari tadi lagi. Setiap bait ayat yang melantun keluar dari mulut emaknya itu begitu menusuk ke dalam hati. Kata-kata emaknya itu semuanya benar-benar belaka. Hidup ini terlampau singkat untuk saling membenci sesama manusia.

   "Dan kunci kebahagiaan itu adalah sabar dan terus bersabar."

Dahlia dan Damia semakin mengetatkan pelukan pada tubuh Puan Anisah. Puan Anisah senyum segaris sambil matanya memandang ke dada langit yang ditaburi bintang-bintang kecil yang berkelipan indah. Angin pada malam itu menyapa lembut.

Dan barangsiapa bersabar dan memaafkan, sungguh yang demikian itu termasuk perbuatan yang mulia.- (Q.s As Syura: 43)


TAMAT

Beautiful Path ✔Where stories live. Discover now