Bab 10

25.6K 1.3K 77
                                    

Bab ni flashback balik 20 tahun yang lepas :)

KERETA keluaran Proton yang dipandu Encik Mazlan diekorinya menaiki sebuah teksi. Hari ini dia bertekad untuk berempat mata dengan perempuan yang bernama Anisah itu. Perempuan yang membuatkan suaminya tidak lekat di rumah!

Hampir setengah jam, teksi yang dinaiki Puan Rafidah berhenti di hadapan sebuah rumah kayu. Kelihatan kereta Encik Mazlan terpakir di bawah pokok rambutan. Siap membayar tambang, Puan Rafidah melangkah keluar. Terjengket-jengket dia menghampiri tangga kayu. Sayup-sayup kedengaran suara suaminya itu berbual dengan seorang wanita.

"Segan aku macam ni. Tak perlu lah kau datang kerap sangat ke sini, Mazlan." Suara wanita bernama Anisah itu menyapa pendengaran Puan Rafidah.

"Aku dah anggap kau dengan anak-anak kau macam keluarga aku sendiri, Nisah. Lagipun, arwah Zainol banyak bantu aku. Jasa dia terlalu banyak, sehingga aku tak mampu balas. Izinkan aku jaga kau dengan anak-anak kau, Nisah." Balas Encik Mazlan. Puan Anisah mengeluh lemah.

"Kau tak perlu risaukan kami, Mazlan. Aku pun ada keluarga yang boleh tengok-tengokkan aku dan anak-anak aku. Lagipun, tak manis rasanya kau kerap sangat datang sini. Nanti apa pula keluarga aku cakap, jiran-jiran aku fikir. Tak apalah, Mazlan... Aku baik-baik saja. Aku kuat sebab anak aku lepas Zainol meninggal." Luah Puan Anisah. Mujur edahnya sudah habis setelah dia melahirkan Nureen Damia. Kalau tidak, pasti dia menanggung dosa bila Encik Mazlan asyik melawatnya jika dia punya edah. Sayu hatinya bila mengenangkan suaminya meninggal ketika kandungannya sedang sarat. Kesian Nureen Damia tidak dapat menatap wajah si bapa.

"Kalau kau cakap macam tu, tak apa lah Nisah. Dah itu pilihan kau, aku ikutkan saja." Keluh Encik Mazlan. Kata-kata Puan Anisah ada betulnya juga.

"Terima kasih ya, Mazlan. Sebab kau prihatin dengan anak-anak aku. Untung Zainol ada kawan sebaik kau."

"Aku yang beruntung ada kawan macam dia, Nisah. Dia terlalu baik sampai akhir hayatnya."

Puan Anisah senyum segaris. Dia mengesat hujung matanya dengan jari bila teringatkan arwah suaminya.

Abang, baiknya budimu ketika hidup. Tengok lah, masih ada yang mengungkit kebaikan abang walaupun abang dah tak ada di dunia ini. Ya Allah, terima kasih kerana kau pinjamkan seorang lelaki sebaik dia kepada aku.

"Abang!"

Puan Anisah dan Encik Mazlan tersentak. Terus mereka berdua melemparkan pandangan ke arah muka pintu. Berdiri Puan Rafidah di situ sambil bercekak pinggang. Wajah perempuan itu pula bengis.

"Rafidah?" Terbangun Encik Mazlan dari duduk. Lantas dia menghampiri isterinya.

"Macam mana awak boleh ada dekat sini?" Soal Encik Mazlan.

"Kenapa? Takut sebab saya dah sampai sini?" Soalan dibalas soalan. Mata memandang tajam ke arah seorang perempuan bertudung dan berkain batik. Stoking yang tersarung di kaki wanita itu jelas menunjukkan bahawa wanita itu masih dalam pantang. Encik Mazlan memandang Puan Anisah yang masih duduk di atas kerusi rotan.

"Jom balik, Fidah."

"Balik? Sebelum balik biar saya bercakap dengan perempuan tu dulu." Memuncung mulut Puan Rafidah ke arah Puan Anisah. Encik Mazlan sudah tak tentu arah. Ini yang dia risaukan. Isterinya itu akan menyerang isteri arwah kawan baiknya.

"Sudah lah. Tak ada benda yang awak perlu cakapkan."

"Ada. Siapa kata saya tak ada benda nak dicakapkan? Ke tepi!" Puan Rafidah menolak tubuh Encik Mazlan ke tepi lantas dia menghampiri Puan Anisah di ruang tamu. Segera Puan Anisah berdiri apabila Puan Rafidah tegak dihadapannya. Segaris senyuman dihulurkan buat Puan Rafidah lalu dia menghulurkan tangan.

Beautiful Path ✔Where stories live. Discover now