Tahun 1994
"KAU yakin semua ni akan menjadi?" tanya Rozana, sangsi dengan apa yang telah dia dan Zalika lakukan ketika ini. Dia tahu semua ini salah. Tapi, disebabkan terlalu ikutkan hati, dia turutkan juga. Rasa kerinduannya terlalu tinggi.
"Kau kena yakin, Zana. Cuma ini aje cara yang aku mampu buat untuk tolong kau. Kau kawan baik kau sejak kat bangku sekolah lagi. Kita dah macam adik-beradik. Kau bersedih, aku juga turut bersedih. Aku tak sampai hati nak terus tengok kau bermuram, sedih dan berduka," jelas Zalika, sayu. Hatinya turut berduka lara melihat kesedihan Rozana.
Sejak sebulan yang lalu, kehidupan Rozana terus berubah. Dia sering termenung sendiri, menangis tidak kira masa dan menjadi seorang yang terlalu pendiam. Sedangkan sebelum ini kawan baiknya itu seorang yang ceria dan berfikiran positif.
Semuanya berubah disebabkan kehilangan yang telah terjadi di dalam hidup kawan baiknya itu yang secara tiba-tiba. Rozana masih tidak bisa menerima kenyataan yang telah berlaku. Sesungguhnya kehilangan itu sungguh menyakitkan.
Tiada balasan dari Rozana. Hatinya masih sangsi dengan apa yang telah mereka lakukan malam tadi. Walaupun takut, di segenap hatinya turut berharap semuanya berjalan lancar seperti apa yang dirancangkan.
"Aku harap kau berpegang pada janji kau sebelum ni. Pastikan tak berlaku hal yang sepatutnya. Kau faham maksud aku, kan?" ungkit Zalika, sekadar mengingatkan.
Rozana memandang Zalika, lama. Hatinya masih berbelah bahagi. Dia masih tidak pasti apakah dia mampu menunaikan janjinya atau tidak.
"Aku tolong kau sebab kau janji selepas kau jumpa dia buat kali terakhir, kau tak akan sedih macam ni lagi. Kau kena ingat Zana. Kau tak bersendirian. Kau ada aku, kau ada Ami. Ami masih perlukan kau. Jangan disebabkan kehilangan ini, kau abaikan Ami," tambah Zalika lagi, cuba memberi kesedaran pada Rozana.
Keluhan berat, Rozana helakan sambil membuang pandangan ke luar rumah melalui tingkap lut sinar di hadapannya.
Perbualan mereka berdua terus tergantung sepi. Keadaan ruang tamu itu terus diselubungi sunyi. Adakah apa yang mereka lakukan malam tadi berjalan lancar?
# # # # #
SEMAKIN hampir waktu yang dinantikan, semakin tidak terkawal detak jantungnya. Tiba-tiba sahaja keberaniannya semakin menipis. Keyakinannya juga tidak setebal sebelum ini. Mampukan dia berhadapan dengan apa yang dia ingin jumpa sebentar lagi?
Nafas ditarik dalam lalu dihembus perlahan. Cuba mengawal debar yang semakin berantakan. Sejak tadi juga dia serba tidak kena. Sekejap-sekejap dia akan ke tepi jendela lalu mengintai ke luar rumah. Bimbang kehadiran 'insan' yang dinanti tidak disedari.
"Ibu?"
Rozana tersentak. Patas dia menoleh ke arah suara itu.
"Ami, kenapa tak tidur lagi? Ami nak minum?" tanya Rozana, risau. Dia melangkah menghampiri satu-satu anaknya itu. Sejak empat tahun lalu, anak kecil itu akan terjaga dari tidur malamnya andai tekaknya terasa kering.
Aminah angguk kepala sambil mengosok hujung mata dengan sesiku telunjuk. Ngantuknya masih tersisa.
"Jom ke dapur, ibu ambilkan air." Rozana memimpin tangan Aminah menuju ke dapur.
Sampai sahaja di dapur, Rozana terus mencapai gelas di tepi singki lalu gelas itu diisi dengan air masak.
"Nah minum."
Aminah menyambut gelas yang dihulur ibunya lalu isinya diteguk perlahan.
Selesai sahaja, Rozana terus membawa anaknya itu ke kamarnya semula.
"Ibu tunggu siapa?" tanya Aminah selepas ibunya menyelimutkan separuh tubuhnya.
Rozana tidak terus menjawab. Dikemaskan kedudukan selimut yang menutupi tubuh anaknya itu yang kini sudah berusia sepuluh tahun.
"Ibu tak tunggu sesiapa, sayang. Dah, tidur ya? Dah lewat ni. Esok Ami nak kena bangun awal, ke sekolah," jawab Rozana dengan senyum perit. Serba-salah pula dia dengan anak gadisnya itu. Sejak sebulan yang lalu, dia sering mengabaikan Aminah.
Aminah angguk akur lalu memeluk erat patung kapas beruangnya. Perlahan-lahan dia menutupkan kelopak mata.
Keluhan berat, Rozana helakan selepas melihat anaknya kembali terlena. Lampu meja di sisi katil dimatikan. Dengan perlahan dia melangkah meninggalkan bilik kecil itu. Debarnya kembali terasa selepas pintu bilik anaknya ditutup rapat. Jam di dinding sudah menunjukan pukul 12.12 tengah malam. Namun apa yang dinantikan masih tidak memunculkan diri.
Tuk! Tuk!
Terenjat tubuh Rozana dek rasa terkejut bila pintu utama rumah itu tiba-tiba diketuk dari luar. Mendadak jatungnya berdegup pantas. Adrenalin tubuhnya pantas begerak ke seluruh badan seraya memutikan keringat di dahi. Adakah insan yang dinanti-nantikan sejak tadi sudah memunculkan diri?
Dengan debar yang sudah tidak terkawal, Rozana melangkah turun ke aras bawah menuju ke pintu utama rumah dengan penuh berhati-hati. Bimbang tetamu yang datang bukan insan yang dinantikan.
Waaak! Waaak!
Kedengaran suara burung gagak tidak juah dari kawasan rumah itu. Entah sejak bila sang gagak berjaga di waktu malam. Sekilas bunyi suara burung gagak itu persis suara manusia. Mengerikan dan merindingkan roma seluruh badan.
Rozana memberhentikan langkah betul-betul di hadapan pintu utama rumah. Hatinya berbelah bahagi untuk membuka daun pintu.
Tuk! Tuk!
Sekali lagi tubuh Rozana terenjat bila pintu di hadapannya diketuk lagi. Peluh sudah mula menitis di dahi dan pipi. Dengan tangan mengeletar, tombol pintu dicapai dan diputar perlahan-lahan.
Liur terasa perit untuk ditelan. Terbuka sahaja daun pintu ke dalam, kelihatan susuk tubuh seorang lelaki sedang berdiri betul-betul di muka pintu dengan seoles senyum manis di bibirnya.
Air mata terharu dengan pantas menakung di kedua-dua kelopak mata Rozana. Dalam sekejap sahaja, air hangat itu menitis membasahi pipinya.
"Abang...?"
Bersambung...
NOVEL INI SUDAH BERADA DI PASARAN. UNTUK PEMBELIAN MELALUI ATAS TALIAN, ANDA BOLEH BELI DI LAMAN WEB KARANGKRAF MALL ATAU TERUS KE LINK INI > https://www.karangkrafmall.com/genderuwo.htmlPEMAKLUMAN!
Kisah GENDERUWO yang dimuatnaik ke akaun Wattpad ini adalah versi manuskrip asal. Berkemungkinan berbeza dengan versi cetakan. Mohon maaf atas segala kesilapan ejaan, tatabahasa dan tanda baca yang ada. Selamat membaca.

ANDA SEDANG MEMBACA
GENDERUWO
HorrorSejak Faris kerap ke Pohon Banyan di kaki bukit itu, hidup mereka sekeluarga mula terasa aneh. Ternyata tebakan Aminah mengenai adiknya itu, benar! Adiknya itu telah didampingi 'sesuatu'. 'Sesuatu' yang menyerupai seekor mawas! Bukan satu, tetapi d...