"ASSALAMUALAIKUM," ucap Aminah selepas menolak pintu ke dalam. Dia tahu, ketika ini pasti ibunya sedang menyiapkan sarapan pagi di dapur. Selepas meletak kasutnya di atas rak kasut, dia terus melangkah menuju ke ruang makan.
"Waalaikumussalam. Baru sampai?" jawab dan tanya Rozana yang barusan muncul dari dapur bersama sebungkus roti di tangan.
"Haah, baru sampai. Ibu... tak ke ofis ke, hari ni?"
Hairan Aminah melihat ibunya masih berbaju tidur. Kebiasaannya dikala waktu-waktu begini ibunya sudah siap untuk ke pejabat.
Rozana tidak terus menjawab. Tengkuk yang terasa sengal diurut perlahan sambil memusingkan kepalanya – mengendurkan otot tengkuk yang terasa tegang.
"Ibu rasa nak berehat hari ni."
"Ibu tak sihat ke? Muka lesu semacam."
Rozana berdehem beberapa kali.
"Badan ibu tak sedap. Mungkin ibu cuti hari ni."
"Ibu demam ke?"
Aminah risau. Pantas dia meletak belakang tangannya di dahi ibunya,
"Tak adalah. Ibu tak demam. Mungkin sebab terlalu sibuk buat kerja sejak ke belakangan ni kut? Ami duduklah dulu, sarapan," jawab Rozana, lemah. Ada yang disembunyikan dari anaknya itu ketika ini.
Teragak-agak Aminah melabuhkan punggungnya di atas salah satu kerusi yang ada di ruang makan itu. Hatinya masih sangsi dengan ibunya.
"Betul ke ni, bu? Bukan disebabkan hal lain? Ibu kena ganggu lagi ke, malam tadi?" tanya Aminah lagi, tiga soalan sekali gus.
"Isy, tak adalah. Ibu cuma kurang rehat aje. Ami janganlah risau. Okey?"
"Ibu."
Pantas Aminah mencapai lengan ibunya sebelum sempat ibunya berpaling untuk ke dapur.
Rozana memalingkah tubuhnya menghadap Aminah semula.
"Betul ke, ibu tak kena ganggu malam tadi? Kalau betul kena ganggu, ibu jangan nak rahsiakan dari Ami."
Keluhan halus, Rozana helakan dengan senyum hambar. Punggung tangan anaknya yang masih mengenggam erat lengannya diusap perlahan.
"Ami janganlah risau. Ibu cuma kurang rehat aje. Hari ni ibu berehat cukup-cukup, nanti eloklah."
Aminah masih musykil. Sukar untuk dia terima jawapan ibunya itu dengan mudah. Tidak pernah ibunya berkeadaan seperti sekarang. Jelas wajah ibunya nampak penat. Sepertinya ibunya telah bekerja tanpa henti sepanjang malam.
"Betul ni? Ibu tak tipu?"
Rozana angguk mengiakan.
"Bukan apa bu, Ami cuma risau kalau berlaku apa-apa tak diingini pada keluarga kita. Lebih-lebih lagi Si Faris tu. Semalam, dia dah mula merepek cakap Bahasa Jawa," luah Aminah, lemah lalu mencapai bungkusan roti yang dibawa ibunya tadi.
"Bahasa Jawa? Faris cakap Bahasa Jawa?"
"Ya bu. Tiba-tiba aje semalam dia pandai cakap Bahasa Jawa. Asalnya Ami tak tahu dia cakap bahasa apa. Bila Mak Piah pun dengar, barulah Ami tahu Faris cakap Bahasa Jawa. Itu pun sebab Mak Piah ada saudara-mara orang Jawa. Jadi, dia tahulah Bahasa Jawa tu macam mana sebutannya."
Rozana terdiam sejenak. Jelas wajah kerisauannya semakin menebal. Nampaknya, masalahnya semakin berat. Mustahil dia dapat mengubah semuanya. Dia sedar siapa Faris itu.
"Ibu? Ibu okey ke tak ni?"
Aminah hairan melihat ibunya tiba-tiba mengelamun.
"Ha?" Rozana tersentak terkejut.
YOU ARE READING
GENDERUWO
HorrorSejak Faris kerap ke Pohon Banyan di kaki bukit itu, hidup mereka sekeluarga mula terasa aneh. Ternyata tebakan Aminah mengenai adiknya itu, benar! Adiknya itu telah didampingi 'sesuatu'. 'Sesuatu' yang menyerupai seekor mawas! Bukan satu, tetapi d...