BAB 01

257 3 1
                                    


Tahun 2002

"FARIS! Faris!" panggil Aminah, risau.

Sejak ke belakangan ini, sikap adiknya semakin berubah. Kerap ke kaki bukit tidak jauh dari rumah mereka. Entah apa yang ada di sana sehingga membuatkan adiknya sering ke sana.

Keluhan berat, Aminah helakan. Tebakannya mengena. Faris ke kawasan itu lagi! Sudah berkali-kali dia dan ibunya melarang, namun Faris tetap berdegil. Dengan rasa kesal, Aminah melangkah menghampiri Faris yang sedang duduk sendirian di atas akar pohon banyan yang tumbuh gagah di tebing sungai.

"Faris, apa Faris buat kat sini? Ibu dah larang Faris ke sini, kan? Tempat ni tak ada orang. Kalau ada ular atau binatang buas, macam mana?" tanya Aminah, risau.

Tiada jawapan dari Faris. Si kecil yang baru masuk usia lapan tahu itu terus duduk menjuntaikan kaki ke tebing sungai sambil memandang arus air sungai yang mengalir perlahan.

"Faris..."

Aminah duduk melutut di sebelah adiknya. Semakin risau dia dengan keadaan adiknya itu yang sejak kecil memang tidak benyak bercakap dan sering buat halnya sendiri. Puas ibunya membawa Faris berubat sama ada secara moden atau tradisional. Namun sedikit pun tidak mengubah sikap pasif adiknya. Doktor mengesahkan Faris sihat dari segi mental dan fizikal. Faris juga bijak di sekolah. Cuma sikapnya sahaja yang terlalu pasif dan tidak suka bergaul dengan sesiapa.

"Faris buat apa kat sini?" tanya Aminah lagi. Buat seketika dia memandang pohon banyan yang sedang memayungi mereka ketika ini. Akar-kara halus yang berjuntaian dari dahan-dahan yang yang merendang kelihatan beralun lembut ditiup angin senja.

Faris masih begitu. Diam dan termenung sambil memandang dasar sungai. Seperti ada sesuatu di dasar sungai itu yang telah menarik perhatiannya. 

Melihatkan pandangan Faris, Aminah turut memandang ke arah yang sama. Aneh, tiada apa-apa di dasar sungai cetek itu.

"Faris, jom balik, dah senja ni," ajak Aminah sambil mencapai lengan Faris.

Perlahan-lahan Faris bangun. Aminah turut bangun lalu memimpin tangan Faris kemudian mula meninggalkan kawasan tebing sungai itu seraya meninggalkan kawasan pohon banyan yang sudah sekian lama tumbuh segar di situ. Satu-satunya pokok jenis ara yang paling tinggi di antara pokok-pokok yang lain.

Dalam langkah, Faris tiba-tiba menoleh ke belakang, ke arah kawasan pohon banyan tadi. Aminah yang perasan dengan perilaku aneh adiknya itu turut memandang ke belakang. Tiada sesiapa di situ. Tetapi adiknya seperti sedang melihat sesuatu yang dia tidak nampak. Terus tengkuknya terasa kembang.

Tidak dinafikan, sejak Aminah kecil, kawasan pokok banyan itu sering diceritakan sebagai kawasan angker oleh penduduk setempat. Tapi, tiada pula khabar telah berlaku sesuatu di kawasan itu sebelum ini.

Apa yang tidak dapat dinafikan, setiap kali dia berada di kawasan dan di bawah pohon banyan itu, sepertinya dia rasa sesuatu. Sesuatu yang sukar untuk dirungkai dengan kata-katanya. Seperti ada sesuatu yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar sedang memerhatikannya.

Aminah kembali memandang Faris. Adiknya itu sudah kembali memandang ke hadapan. Hatinya tetap yakin ada sesuatu di kawasan pohon banyan itu yang adiknya sahaja bisa lihat. Tapi dia tidak pasti apa 'sesuatu' itu. Tengkuk yang tiba-tiba terasa kembang diusap perlahan.

Tanpa mereka sedari, kelihatan sesosok tubuh hitam berbadan tegap persis mawas sedang berdiri di bawah pohon banyan tadi. Berdiri tegak memandang ke arah Aminah dan Faris. Disebabkan hari semakin senja, wajah kelibat itu tidak dapat dilihat dengan jelas. Makhluk apakah itu?

GENDERUWOTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang