BAB 09

83 5 0
                                    


PINTU utama rumah tiba-tiba kedengaran diketuk beberapa kali sebelum keadaan kembali senyap sunyi. Beberapa saat kemudian, daun pintu yang terkunci dari dalam tiba-tiba terbuka dengan sendirinya. Perlahan-lahan daun pintu terkuak ke dalam persis ditiup angin dari luar.

Bunyi rengekan engsel pintu bergema untuk seketika. Melantun memenuhi ruang tamu sebelum lenyap ditelan sepi. Tiada apa-apa yang muncul di muka pintu sehinggalah kelihatan bekas tapak kaki menapak menuju ke arah tangga untuk ke aras atas.

Bekas tapak kaki yang agak kabur. Jika tidak dipandang dengan teliti, ia tidak dapat dilihat dengan mudah. Bekas yang terhasil dari kotoran tanah basah yang terlalu sedikit. Saat bekas tapak kaki itu muncul di setiap anak tangga yang ada, barulah kedengaran bunyi seperti derap tapak kaki mendaki anak tangga menuju ke aras atas.

Tapak kaki itu terhenti dari terus melangkah saat sampai di lantai aras atas. Dari bentuk tapak kaki di lantai, seperti tapak kaki manusia, cuma setiap hujung jari-jemarinya kelihatan agak tajam ke depan.

Hampir 30 saat berlalu, tapak kaki itu kembali menapak menuju ke arah bilik Rozana yang berada di hujung aras itu.

Klak!

Pintu bilik Rozana terbuka sendiri lalu daun pintu bergerak pelahan ke dalam. Di sebalik cahaya samar dari dalam bilik kelihatan seperti ada bayang hitam mula melangkah masuk ke dalam bilik itu lalu dengan tiba-tiba...

Bum!

Pintu bilik Rozana dihempas kasar dari dalam. Bunyi itu bergema kuat memenuhi ruang aras atas itu. Turut sampai ke aras bawah.

Aminah yang sedang nyenyak tidur di dibiliknya tiba-tiba terjaga bila bunyi hempasan pintu tadi  agak kuat menyapa pendengarannya. Berkerut dahinya sambil mencuba membuka kelopak mata yang terasa kering. Cahaya terang dari tingkap membuatkan matanya terasa pedih. Dalam masa yang sama, otaknya mula memproses tentang bunyi tadi.

Telefon bimbitnya di atas meja kecil di sisi katil dicapai. Jam digital yang tertera pada skrin dipandang untuk seketika. Baru pukul 11.21 pagi. Mustahil adiknya sudah pulang dari sekolah. Masakan Mak Piah? Biasanya Mak Piah datang ke rumahnya selepas waktu Zohor.

Adakah dia diganggu lagi seperti semalam? Dengan rasa lesu dan ngantuk yang masih tersisa, Aminah melangkah turun dari katil dan melangkah keluar dari bilik. Di pandang untuk seketika ruang legar aras atas itu – mencari apa-apa kelibat yang mencurigakan. Tetapi, tiada kelibat sesiapa yang terlihat.

Selepas memastikan tiada yang mencurigakan, Aminah kembali masuk ke dalam biliknya untuk menyambung tidurnya. Jika dia bekerja shif malam, sudah seperti musang hidupnya. Malam berjaga, siang membuta.

Kreeek...

Pintu bilik hujung terbuka dengan sendiri. Di sebalik cahaya malap dari dalam bilik ibunya itu, terlihat sosok tubuh manusia berbadan tegap dan berbulu lebat sedang berdiri tidak jauh dari muka puntu. Jelas kedua-dua matanya berwarna merah menyala. Berkelip-kelip memandang ke luar bilik.

Mendadak langkah Aminah terhenti lalu dia melangkah secara mengundur menuju ke pintu biliknya semula. Di sebalik bingkai pintu, dia mengintai ke arah bilik hujung. Dia yakin bunyi rengekan engsel tadi datangnya dari arah itu. Tebakannya mengena bila pintu bilik ibunya sudah terbuka separuh. Dia yakin pintu bilik itu tertutup rapat sebentar tadi. Siapa yang telah membuka pintu bilik ibunya itu?

Jantung mula berdetak laju – risau dan bimbang jika ada seseorang yang tidak diundang sedang bersembunyi dalam dalam bilik itu.

"Ibu..."

Walaupun takut, kaki tetap melangkah menuju ke bilik ibunya.

Tiada balasan dari sesiapa. Pintu bilik di hadapannya masih terbuka seperti tadi. Masakan ibunya sudah pulang dari pejabat? Masih terlalu awal. Faris? Itu mustahil. Waktu sekolah belum tamat. Semakin tidak selesa dia berada di rumahnya sendiri sejak kebelakangan ini.

GENDERUWOWhere stories live. Discover now