SELEPAS mengucapkan terima kasih kepada guru yang mengajar, semua murid yang ada di dalam kelas 2 Kuning mula meninggalkan meja masing-masing menuju ke kantin sekolah. Loceng menandakan masuk waktu rehat sudah berbunyi seminit yang lalu. Hanya seorang murid sahaja yang kelihatan masih mengemas buku di tempat duduknya.
Cikgu Ashraf yang masih duduk di meja guru terus memandang muridnya itu sementara menanti muridnya yang lain meninggalkan kelas. Dia tahu, muridnya yang seorang itu tidak akan ke kantin.
Selepas semua murid yang ada di dalam kelas itu sudah meninggalkan bilik darjah kecuali murid yang dianggapnya terlalu istimewa itu, barulah Cikgu Ashraf bangkit berdiri kemudian melangkah menghampiri murid itu.
"Faris tak ke kantin?" tanya Cikgu Ashraf walaupun dia sudah tahu jawapannya sejak sekian lama. Punggung dilabuh di atas kerusi kosong yang berhadapan dengan meja Faris.
Faris tidak menjawab. Dia mengeluarkan buku lukisan dan pensel warnanya terlebih dahulu sebelum menggelengkan kepala. Kemudian, dikeluarkan pula bekas makanan dan botol airnya dari bawah meja.
"Minggu depan cuti panjang sempena Tahun Baru Cina. Faris dengan keluarga ada merancang nak bercuti ke mana-mana?" tanya Cikgu Ashraf lagi sekadar berbasa-basi. Puas dia cuba menyelami hati salah seorang anak muridnya itu, namun tidak pernah berjaya. Terlalu misteri.
Hanya gelengan kepala yang Faris berikan sebagai jawapan. Itulah kenyataannya. Keluarganya tidak pernah merancang untuk bercuti ke mana-mana buat masa ini. Lagipun, sejak dia kecil dia tidak pernah dibawa bercuti ke tempat-tempat menarik. Ibunya sentiasa sibuk dengan kerja. Dia sudah terbiasa.
Keluhan berat dan hampa, Cikgu Ashraf helakan. Susah benar dia mahu berkomunikasi dengan pelajarnya itu. Terlalu pendiam. Sungguh pun Faris pendiam dan tidak pernah bertanya di dalam kelas mengenai mata pelajaran yang diajar, keputusan peperiksaan dan ujian Faris selalu cemerlang. Itulah salah satu keistimewaan Faris yang tiada pada pelajar lain.
"Faris nak ke mana ni? Ke pondok ilmu?" tanya Cikgu Ashraf lagi. Soalan yang dia sudah tahu jawapannya.
Kali ini Faris angguk.
"Sebelum Faris ke sana, boleh cikgu tanya sesuatu?"
Tiada balasan dari Faris. Anak kecil itu tidak mengeleng kepala dan tidak juga anggukan kepalanya. Dan Cikgu Ahsraf membuat spikulasi sendiri yang anak muridnya itu membenarkan dia mengutarakan soalannya.
"Boleh cikgu tahu, apa yang Faris selalu lukis? Yang macam orang tapi berbulu lebat satu badan tu."
Akhirnya, terluah juga pertanyaan itu dari mulut Cikgu Ashraf. Sejak beberapa hari ini, kerap dia terlihat Faris melukis satu gambaran makluk bertubuh sasa seperti manusia tetapi berbulu lebat satu badan. Sekilas seperti mawas.
Tiba-tiba Faris merenung tajam gurunya itu seraya membuatkan Cikgu Ashraf tersentak terkejut. Adakah dia tersalah bertanyakan soalan? Merinding terus tubuh Cikgu Ashraf bila direnung tajam oleh anak muridnya itu.
"Ma... maafkan cikgu, kalau cikgu salah tanya soalan. Cikgu sekadar nak tahu apa yang Faris lukis."
Teragak-agak Cikgu Ashraf memohon maaf. Apa yang pasti, makhluk yang kerap dilukis Faris sejak kebelakangan ini bukan lukisan biasa. Dia merasakan muridnya itu telah 'didampingi' sesuatu di sekolah ini. Tidak boleh dibiarkan andai tebakannya benar. Keluarga Faris perlu tahu.
Tanpa menjawab pertanyaan gurunya, Faris terus bangkit berdiri. Matanya masih merenung tajam pada Cikgu Ashraf. Botol minumannya disangkut pada bahu. Kemudian buku lukisan, pensel warna dan bekas makanannya ditompok menjadi satu lalu dia terus melangkah meninggalkan mejanya.
![](https://img.wattpad.com/cover/148535212-288-k429831.jpg)
YOU ARE READING
GENDERUWO
HorrorSejak Faris kerap ke Pohon Banyan di kaki bukit itu, hidup mereka sekeluarga mula terasa aneh. Ternyata tebakan Aminah mengenai adiknya itu, benar! Adiknya itu telah didampingi 'sesuatu'. 'Sesuatu' yang menyerupai seekor mawas! Bukan satu, tetapi d...