SELESAI makan, Aminah terus membawa pinggan dan cawan kotornya ke singki di dapur. Dia tidak mahu lewat lagi seperti malam. Kasihan pula dia pada Gunawan yang terpaksa 'melindungi' dia dari supervisor mereka.
"Cepatnya makan?" tanya Rozana pada anak sulungnya itu dari ruang makan.
Aminah di dapur tidak terus menjawab. Dia mencuci pinggan dan cawannya terlebih dahulu.
"Semalam Ami dah masuk lambat. Hari ni kenalah cover balik, masuk awal," jawab Aminah sambil mengelap tangannya dengan tuala kecil yang tersangkut di tepi tingkap.
Rozana mengeluh berat. Faris yang sedang makan di hadapannya dipandang dengan rasa bimbang. Semakin hari semakin risau dia pada anak bungsunya itu. Dia bimbang berlaku sesuatu pada Faris. Disebabkan anak bungsunya itu dia akan cuba pulang awal dari pejabat andai Aminah bekerja di shif malam. Bimbang anak bungsunya itu ke kawasan kaki bukit itu lagi.
"Ami nak kerja kat Seven Eleven tu sampai bila? Kalau duduk rumah jaga adik sementara tunggu keputusan SPM keluar kan lebih bagus. Luangkan masa dengan adik. Tak adalah adik rasa sunyi," tanya dan luah Rozana selepas Aminah kembali ke ruang makan.
Beg sandang di atas kerusi dicapai lalu disandang pada bahu. Bukannya dia tidak mahu menjaga dan menghabiskan masa dengan adiknya. Dia faham maksud ibunya. Mungkin disebabkan terlalu sunyi, adiknya itu memilih untuk ke kaki bukit itu sendirian. Masalahnya, sejak Faris kecil lagi, puas dia cuba menjadi seorang kakak yang lebih kepada kawan baik, tapi Faris tidak memberi balasan yang positif. Sudahnya, dia yang terasa terabai.
"Ami kerja kat kedai tu sementara aje bu. Nak cari pengalaman. Zaman sekarang ni kalau nak apply kerja, orang pandang pengalaman dan kemahiran. Lagipun, kalau ibu ke pejabat, Mak Piah ada, kan? Atau mungkin, inilah masanya untuk ibu luangkan lebih masa untuk Faris?" balas Aminah, biasa nadanya.
"Ami mengata ibu ke apa ni?" Rozana terasa sendiri.
"Eh, mana ada. Ami bagi tahu aje. Sejak kecil Ami dengan Faris jarang dapat habiskan masa dengan ibu. Ibu kerja pergi pagi balik malam. Mungkin ni masa untuk ibu tebus balik masa yang ibu korbankan untuk Faris sebelum ni."
"Eh, ibu keluar pagi balik malam sebab nak sara keluarga kita tau? Kalau ibu tak..."
"Ya, Ami tahu bu. Ami tak salahkan ibu. Ami faham kerja ibu. Apa yang Ami maksudkan, mungkin ini hikmah atas apa yang berlaku pada Faris. Ibu dapat pulang kerja awal dan habiskan masa dengan Faris. Manalah tahu bila ibu banyak luangkan masa dengan Faris, Faris semakin aktif selepas ni? Siapa tahu?"
Rozana merengus berat. Wajah anak gadisnya itu dipandang dengan rasa sedikit geram. Ingin membalas kata-kata anaknya itu dia tidak mampu. Apa yang dikatakan Aminah ada benarnya. Dek terlalu sibuk dengan kerja selepas kehilangan suami lapan tahu lalu, dia telah mengabaikan anak-anaknya sendiri. Dia sedar akan hakikat itu.
"Okeylah bu, Ami gerak dulu. Lambat pula nanti," pamit Aminah lalu menyalam tangan ibunya dan dikucup hormat.
Tiada balasan dari Rozana. Terasa tertampar dia dengan kata-kata Aminah tadi. Wajah Faris yang masih menjamah makanannya dipandang lagi. Mungkin benar kata-kata Aminah tadi. Sudah tiba masanya untuk dia meluangkan masa dengan anak bungsunya itu. Manalah tahu Faris akan jadi seorang budak lelaki normal seperti anak-anak sebaya denganya. Gembira, bergaul dan aktif melakukan apa sahaja.
Selepas selesai memakai kasut, Aminah terus melangkah ke skuter. Bohonglah dia tidak rasa serba-salah semasa menuturkan kata-kata untuk ibunya tadi. Terasa seperti anak derhaka pula. Namun dia cuba berfikiran positif. Niatnya baik hanya untuk menyedarkan ibunya. Sejujurnya dia memang terasa kekurangan kasih sayang seorang ibu sejak kehilangan ayahnya. Mujurlah ada Mak Piah. Jika tidak, pasti lebih sunyi hidupnya selama ini.

ANDA SEDANG MEMBACA
GENDERUWO
HorrorSejak Faris kerap ke Pohon Banyan di kaki bukit itu, hidup mereka sekeluarga mula terasa aneh. Ternyata tebakan Aminah mengenai adiknya itu, benar! Adiknya itu telah didampingi 'sesuatu'. 'Sesuatu' yang menyerupai seekor mawas! Bukan satu, tetapi d...