JAM di dinding menunjukan pukul 12.10 tengah hari. Aminah masih nyenyak tidur di biliknya. Begitulah dia jika bekerja di shif malam. Siang hari adalah masa untuk dia tidur selepas berjaga semalaman kerana bekerja.
Keadaan rumah sunyi sepi. Ibunya masih di pejabat manakala adiknya masih di sekolah. Kebiasaannya pukul satu petang baru adiknya sampai di rumah dari sekolah dengan menaiki bas sekolah yang telah dibayar oleh ibunya bersama anak-anak jiran tetangga yang berhampiran.
Klak!
Tombol pintu bilik Aminah tiba-tiba diputar dari luar seraya daun pintu terbuka sendiri. Seperti ada tangan ghaib telah membuka pintu itu dari luar. Tiada kelibat sesiapa di luar bilik, namun kedengaran bunyi seperti derap tapak kaki sedang melangkah masuk ke dalam bilik itu.
Seketika kemudian, selimut yang menutupi separuh tubuh Aminah bergerak-garak lalu mengelembung membetuk sesusuk tubuh yang menyelinap melalui bawah selimut. Dari bentuk tubuhnya seperti tubuh seorang lelaki berbadan tegap.
Perlahan-lahan makhluk itu merangkak menghampiri Aminah lalu baring mengiring di sisi gadis itu. Kelihatan bentuk tangannya mula memeluk pinggang Aminah dari belakang.
Aminah masih nyenyak tidur walaupun dirinya telah dipeluk seseorang atau mungkin makhluk yang masih belum diketahui identiti sebenarnya.
Beberapa saat kemudian, dahi Aminah kelihatan berkerut. Lenanya mula terganggu. Dia dapat merasakan seperti ada deru nafas betul-betul di tengkuknya. Nafas itu terasa hangat. Selain itu dia merasakan seperti ada makhluk berbulu lebat sedang memeluk tubuhnya dari belakang
Bila mindanya mula menghadamkan apa yang dia rasa, mendadak Aminah memusingkan tubuhnya ke belakang sambil menyelak selimut ke tepi. Dia yakin, dia merasa deru nafas di tengkuknya tadi dan merasakan ada makhluk berbulu lebat yang agak kasar bulunya sedang memeluknya dari belakang.
Buat seketika Aminah terkebil-kebil melihat seluruh pemukaan katilnya. Selimut sudah terkuak ke tepi katil. Nafasnya berderu laju menyedut oksigen. Tiada sesiapa di sebelahnya ketika ini. Di dalam biliknya juga tiada sesiapa. Namun, saat matanya terpandang pintu biliknya dia terus disapa hairan. Seingatnya dia menutup pintu biliknya sebelum tidur tadi. Jarang dia tidur dengan pintu bilik yang terbuka luas. Siapa yang telah membuka pintu biliknya?
Dengan rasa ngantuk yang masih terasa, dia terus turun dari katil lalu melangkah keluar dari biliknya. Dalam langkah dia menguap luas sambil mengaru belakang kepalanya yang terasa gatal.
"Faris," panggil Aminah.
Tiada balasan dari Faris. Keadaan di dalam rumah masih sunyi sepi seperti sebelum dia melelapkan mata tadi. Jam di dinding di pandas sekilas. Baru pukuk 12.20 tengah hari. Waktu-waktu begini biasanya adiknya masih belum pulang dari sekolah.
"Faris!" panggil Aminah lagi.
Dia memeriksa bilik adiknya, tiada sesiapa. Langkah di atur pula ke aras bawah. Mencari Faris di mana-mana, namun tidak ditemui.
Sah, Faris masih belum pulang dari sekolah. Tapi, siapa yang memeluknya tadi?
Buat seketika Aminah memandang keadaan ruang dapur yang kosong. Dia masih terasa mamai. Otaknya masih bejat untuk memikirkan hal yang terlalu merumitkan. Langkah diatur ke singki lalu gelas dicapai. Pintu peti sejuk dikuak lalu botol berisi air masak dikeluarkan kemudian isinya dituang ke dalam gelas. Air masak sejuk itu diteguk perlahan sambil memikirkan semula apa yang dia alami tadi.
Dia yakin dia tidak bermimpi. Dia merasa tangan berbulu kasar sedang memeluk pinggangnya dari belakang. Terasa kuat deru nafas kasar di tengkuknya. Semua itu dia betul-betul rasa dan bukan sekadar mainan perasaan. Tapi, makhluk apa yang memeluk dia? Puas dia memerika seluruh rumah ini, tiada sesiapa.

ANDA SEDANG MEMBACA
GENDERUWO
TerrorSejak Faris kerap ke Pohon Banyan di kaki bukit itu, hidup mereka sekeluarga mula terasa aneh. Ternyata tebakan Aminah mengenai adiknya itu, benar! Adiknya itu telah didampingi 'sesuatu'. 'Sesuatu' yang menyerupai seekor mawas! Bukan satu, tetapi d...