"MAK PIAH rasa Faris ke kaki bukit tu lagi," luah Mak Piah, yakin.
Aminah yang sejak tadi ke hulu ke hilir kerisauan berhenti dari terus melangkah lalu memandang Mak Piah untuk seketika. Sebentar tadi dia ada menghubungi pemandu bas sekolah yang selalu menjemput dan menghantar Faris ke sekolah. Pemandu bas sekolah tersebut memaklumkan yang Faris sudah balik.
"Kamu nak ke mana tu?" tanya Mak Piah bila melihat Aminah tiba-tiba meninggalkan ruang tamu menuju ke pintu utama rumah.
"Ke mana lagi Mak Piah, ke kaki bukit tulah."
"Nak Mak Piah teman tak?" tanya Mak Piah lagi sambil mengekori langkah Aminah.
"Tak apa Mak Piah. Mak Piah jaga rumah. Kalau Ami tak balik lebih sejam, Mak Piah telefon ibu ya?" balas dan pesan Aminah lalu tergesa-gesa dia melangkah menuju ke kaki bukit tidak jauh dari rumah itu.
Mak Piah angguk akur sambil memandang Aminah yang sudah melangkah jauh. Dia berharap tidak berlaku apa-apa terhadap dua beradik itu.
Ternyata tebakan Mak Piah mengena. Di kejauhan sudah kelihatan Faris yang masih berbaju sekolah dengan beg sekolahnya yang tersangkut di kedua-dua bahunya sedang duduk sendirian di tebing sungai betul-betul di bawah pohon banyan. Entah mengapa selepas mengingat kembali cerita Gunawan tentang mistik berkaitan dengan pohon besar itu, terus dia terasa merinding.
Namun, pilihan apa yang dia ada? Masakan dia mahu membiarkan Faris begitu sahaja? Hendak atau tidak dia perlu menghampiri pohon banyan itu.
"Faris, apa Faris buat kat sini? Akak dengan Mak Piah risau tahu tak?" tanya Aminah, geram dan resah.
Terkejut Aminah bila melihat bulu-bulu pelepah bertaburan di atas rumput. Terdapat juga kesan-kesan darah kering di beberapa tempat.
"Faris, jom balik," ajak Aminah bila adiknya itu seolah tidak mengendahkannya.
Belum sempat Aminah menghampiri adiknya itu, terlebih dahulu adiknya itu bangkit berdiri lalu berlalu meninggalkan kawasan itu.
"Aja rusuhi urusanku[4]," ujar Faris, tiba-tiba ketika melangkah.
Aminah terkebil-kebil melihat perilaku dan mendengar kata-kata Faris itu. Aneh di pendengarannya. Faris cakap apa? Tertanya dia dalam hati lalu terus melangkah mengekori langkah Faris yang sudah menjauh meninggalkan kawasan kaki bukit itu.
[4]Jangan ganggu urusan aku.
# # # # #
"FARIS, lain kali kalau nak ke mana-mana boleh tak bagi tahu akak atau Mak Piah dulu? Lagi pun, ibu dah pesan banyak kali jangan ke kaki bukit tu lagi, kan?" Bebel Aminah, tertekan.
Sudah berkali-kali dia berpesan pada adiknya itu, tapi tetap juga adiknya itu tidak mahu mendengar kata. Jika berlaku apa-apa, dia juga yang susah dan dia juga yang akan dipersalahkan nanti.
Tiada balasan dari Faris. Adiknya itu terus menjamah makananya tanpa menghiraukan insan-insan di sekelilingnya.
Aminah dan Mak Piah yang turut makan tengah hari di kala pukul tiga petang ketika ini saling berpandangan untuk seketika sebelum masing-masing mengeluh berat. Tidak tahu apa lagi yang perlu mereka lakukan supaya Faris faham amaran mereka sebelum ini.
"Faris ke sana bukan suka-suka. Faris jumpa seseorang."
Tiba-tiba sahaja Faris bersuara.
Aminah dan Mak Piah saling berpandangan lagi. Kali ini mereka terkejut besar. Rasa terkejut Aminah bila Faris tiba-tiba pandai bercakap bahasa asing di kawasan kaki bukit tadi masih bersisa. Kini, rasa itu ditambah lagi dengan kenyataan Faris yang sukar untuk diterima akal.
YOU ARE READING
GENDERUWO
HorrorSejak Faris kerap ke Pohon Banyan di kaki bukit itu, hidup mereka sekeluarga mula terasa aneh. Ternyata tebakan Aminah mengenai adiknya itu, benar! Adiknya itu telah didampingi 'sesuatu'. 'Sesuatu' yang menyerupai seekor mawas! Bukan satu, tetapi d...