BAB 11

77 6 0
                                    


HARI ini Rozana lewat sedikit sampai ke rumah disebabkan dia ada mesyuarat di luar sebentar tadi. Kala waktu hampir malam barulah dia sampai rumah. Dia berharap Mak Piah masih ada di rumahnya ketika ini. 

Selepas mematikan enjin kereta, dia terus melangkah keluar bersama beg bimbit dan tas tangannya.

"Dheweke duwe aku[6]."

Bisikan halus itu tiba-itba menyapa hujung telinga Rozana seraya membuatkan langkahnya mendadak terhenti. Dia berpaling ke arah datangnya suara tadi. Sepertinya dia kenal dengan suara itu. 

Seketika kemudian, terkocoh-kocoh dia melangkah masuk ke dalam rumah.

"Kenapa Zana?" tanya Mak Piah yang sedang mengemas meja makan. Aneh dia melihat Rozana yang nampak seperti dikejar seseorang dari luar rumah.

Rozana berpusing menoleh ke arah Mak Piah.

"Tak ada apa-apa, Mak Piah." Rozana merahsiakan apa yang menyapa telinganya sebentar tadi.

Mak Piah angguk kepala, akur. Di hatinya dia tetap merasakan ada yang dirahsiakan oleh Rozana ketika ini. Cuma dia malas hendak bertanya lanjut kerana bimbing dikatakan cuba menjaga tepi kain orang.

Rozana melangkah menghampiri ruang makan.

"Kamu nak makan, Zana? Kalau nak makan, Mak Piah panaskan balik lauk-pauk ni," tanya Mak Piah lagi.

Buat seketika Rozana memandang lauk-pauk yang terhidang di atas meja makan. Apa yang menyapa telinganya sebentar tadi lebih menguasai mindanya lantas membunuh sedikit selera makannya.

"Tak apalah Mak Piah. Mak Piah kemaskan meja ni. Mana lauk lebih-lebih tu, Mak Piah masukan dalam peti sejuk. Kalau saya lapar, nanti saya panaskan balik," balas Rozana, biasa. 

Seketika kemudian dia baru teringat sesuatu. Tas tangannya dikorek.

Mak Piah angguk akur sambil mengemas meja makan.

"Ni Mak Piah, duit upah dengan duit belanja untuk masak-masak. Kalau duit belanja masak tu kurang, cakap tau?" ujar Rozana sambil menyerahkan sampul surat berisi sejumlah wang tunai untuk Mak Piah. Wang itu sudah disediakan lebih awal di pejabat tadi.

Mak Piah menyambut sampul surat berwarna coklat yang dihulur Rozana.

"Tak pernahnya tak cukup, Zana. Selalunya banyak lebih."

"Tak apa Mak Piah, kalau lebih Mak Piah simpan. Yang penting jangan kurang. Serba-salah saya nanti. Mak Piah pun bukan orang lain pun pada kami. Dah macam keluarga sendiri. Saya dah anggap Mak Piah dah macam mak saya sendiri."

Senang hati Mak Piah mendengar kata-kata Rozana. Dia pun sudah menganggap wanita di hadapannya itu seperti anaknya sendiri. Sebab itu dia tidak mengelarkan Rozana dengan gelaran 'puan'. Lagipun, Rozana sendiri tidak mahu dia memanggilnya dengan gelaran itu.

"Faris dah makan?" tanya Rozana pula bila tiada Faris di ruang makan itu ketika ini.

"Dah. Baru aje naik atas tadi. Ami pun dah ke tempat kerja dia lima belas minit lepas."

Rozana angguk faham.

"Kalau macam tu tak apalah, saya naik atas dulu."

"Yalah," balas Mak Piah seadanya.

Rozana terus mengatur langkah menuju ke arah tangga untuk ke aras atas.

"Dheweke duwe aku[7]."

Sekali lagi suara bisikan itu menyapa hujung telinga Rozana. Mendadak tubuh Rozana terkaku. Suara yang sudah sekian lama tidak menyapa pendengarannya kini kembali menyapa telinganya! Adakah tebakannya semakin mengena? Tapi kenapa? Kenapa baru sekarang?

GENDERUWOTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang