BUAT seketika dia memandang wajahnya di cermin singki. Air yang membasahi pipinya dilap perlahan dengan tuala kecil yang tersangkut pada bahu. Dia baru selesai mencuci muka dan memberus gigi. Rutin wajibnya setiap kali sebelum tidur. Hatinya masih keresahan . Fikirannya masih memikirkan tentang apa yang telah dia alami ketika makan malam tadi.
Rasa risaunya semakin menebal. Kebimbangannya semakin berlapis bila fikirannya mula memikirkan tentang tebakan yang cuba dia tepis. Dia bimbang apa yang tidak diundang bakal bertandang. Atau sememangnya sudah sedia bertandang?
Keluhan kesal, dihelakan perlahan. Nafas ditarik lalu dihembus perlahan. Puluhan burung gagak yang tiba-tiba muncul di ruang makan dan menyerangnya tadi masih segar dalam ingatan. Dia merasakan semua itu seperti realistik. Jelas dia mendengar suara burung gagak itu. Jelas terdengar bunyi libasan sayapnya. Dia dapat merasa kuku tajam burung-buruk gagak itu mencakar kedua-dua lengannya.
Tapi, bila anak sulungnya muncul cuba menenangkannya dan memaklumkan Anaknya tidak melihat seekor burung gagak pun di sekitarnya membuatkan dia berasa hairan. Adakah hanya dia seorang sahaja yang boleh melihat burung-burung gagak itu? Tapi... kenapa dia? Adakah....
Bila satu tanggapan baru mula memutik di fikirannya terus jiwanya dirundung takut yang terlalu mendalam. Baru dia kesal dengan apa yang telah dia lakukan dahulu. Andai waktu bisa diulang semua, dia mahu megubah semuanya. Tapi, itu mustahil. Sesungguhnya manusia selalu dalam kerugian.
Rozana mula melangkah keluar dari bilik air. Suis lampu di tepi dinding dipetik, serta-merta keadaan bilik air di dalam biliknya itu terus gelap gelita. Saat dia mahu menutup daun pintu bilik air, kelihatan dua titik cahaya merah menyala di dalam bilik air itu. Persis sepasang mata sinis sedang memandang ke arahnya! Namun, titik cahaya itu tidak disedari Rozana.
Langkah diatur menuju ke meja solek. Krim pelembab dan pencerah wajah dicapai lalu disapu rata pada keseluruhan kulit wajahnya.
Waaak! Waaak!
Terenjat tubuh Rozana lalu dengan pantas dia memandang ke arah pintu biliknya yang tertutup rapat. Bunyi suara burung gagak itu kedengaran lagi! Kedengaran jelas sekali seperti burung gagak itu berada betul-betul di luar pintu biliknya.
Bekas krim pelembab wajah di tangannya perlahan-lahan di letak di atas meja solek. Matanya masih tertancap pada pintu biliknya. Dia bimbang ada yang tidak diundang tiba-tiba menerjah masuk ke dalam bilik itu. Jantungnya mendadak laju mengepam darah.
Buk! Buk! Buk!
Sekali lagi tubuh Rozana terenjat terkejut bila pintu biliknya seperti diketuk bertalu-talu dari luar. Tetapi, selepas diamiti, bunyi itu bukan disebabkan ketukan. Tapi seperti tumbukan atau lebih kepada sesuatu yang terbang dan menghentam pintu biliknya berkali-kali. Adakah burung-burung gagak tadi muncul lagi?
Waaak! Waaak!
Buk! Buk! Buk!
Kali ini bunyi tumbukan itu serentak dengan bunyi suara burung gagak. Dia semakin tidak tentu arah. Perlahan-lahan kakinya berganjak ke belakang setapak demi setapak. Cuba menjauhi pintu biliknya yang masih dihentak bertalu-talu oleh burung gagak yang dia yakin bukan seekor.
Langkahnya tersekat bila tubuhnya sudah melekat pada almari pakaian. Tiada ruang untuk dia berundur lagi. Mata terus melihat pintu bilik yang tidak berkunci. Dia berharap burung-burung gagak itu tidak berjaya menerjah masuk ke dalam bilik itu.
Beberapa saat kemudian, keadaan terus sunyi sepi. Tiada lagi bunyi suara burung gagak dan hentaman kuat dari burung-burung gagak tadi pada pintu. Terkebil-kebil Rozana menanti apa yang bakal berlaku seterusnya. Dia yakin ia tidak akan berakhir begitu sahaja. Pasti akan berlaku sesuatu yang tidak dijangka sebentar lagi.
YOU ARE READING
GENDERUWO
Kinh dịSejak Faris kerap ke Pohon Banyan di kaki bukit itu, hidup mereka sekeluarga mula terasa aneh. Ternyata tebakan Aminah mengenai adiknya itu, benar! Adiknya itu telah didampingi 'sesuatu'. 'Sesuatu' yang menyerupai seekor mawas! Bukan satu, tetapi d...