BAB 08

102 5 0
                                    


"ASSALAMUALAIKUM," ucap Aminah selepas melangkah masuk. Pintu utama rumah kembali ditutup lalu kasut ditangan diletak di atas rak kasut. Dia terus menuju ke ruang makan. Kelihatan ibunya sedang menghidangkan sarapan pagi.

"Waalaikumussalam. Awal sampai hari ni?" jawab dan tanya Rozana lalu meletakan kotak susu segar di tengah meja makan.

Aminah melabuhkan punggungnya. Alang-alang ibunya hampir siap menghidangkan sarapan, apa salahnya dia bersarapan dulu sebelum mandi dan tidur.

"Semalam Ami masuk kerja awal, kan? So, balik pun awal."

"Eh, semalam kata masuk awal sebab nak cover balik sebab kelmarin masuk lambat?"

"Awalnya gitulah niatnya. Tapi kawan Ami yang berganti shif fengan Ami pagi ni datang awal, tu yang Ami balik awal. Tapi malam nanti Ami kena masuk kerja awal sejamlah, macam semalam."

Rozana angguk kepala beberapa kali tanda dia faham dengan penjelasan anak sulungnya itu.

"Ibu okey tak?" tanya Aminah sambil menuang susu segar ke dalam gelas. Aneh wajah ibunya pagi ini. Nampak sembab kedua-dua matanya. Seperti tidak cukup tidur.

"Ibu? Ibu okey. Kenapa Ami tanya?"

"Mata ibu macam lebam tak cukup tidur."

Rozana mengurut pelahan bawah matanya. Terlalu menyerlahkah matanya yang sembab? Mekapnya tidak cukup tebal?

"Eh, ya ke? Mekap ibu tak tebal sangat kut pagi ni." Rozana cuba berdalih. Mana mungkin dia akan menceritakan apa yang dia alami malam tadi pada Aminah. Dia tidak mahu anaknya itu berasa takut berada di rumahnya sendiri.

Kecil kelopak mata Aminah memandang ibunya. Susu segarnya mula diteguk sedikit.

"Atau ibu memang tak cukup tidur?" Aminah serkap jarang. Dalam hati dia yakin dengan tebakannya itu.

"Eh, taklah. Ibu kurang pakai mekap hari ni." Teragak-agak Rozana menafikan.

"Ya ke? Bukan ibu memang tak dapat tidur malam tadi sebab kena ganggu?" 

Aminah mencipta tebakan baru. Dia merasakan bukan dia sahaja mengalami gangguan aneh di rumah ini. Dari apa yang ibunya alami semalam, dia yakin ibunya turut diganggu.

"Di ganggu? Apa Ami maksudkan ni?" 

Rozana risau. Risau andai anak gadisnya itu turut diganggu sepertinya tanpa dia ketahui selama ini! Anak gadisnya itu tiada kena-mengena dengan apa yang telah dia lakukan lapan tahun lalu.

"Ibu ingat, Ami boleh percaya jawapan ibu pasal apa yang ibu alami semalam? Pasal burung gagak tu?" ungkit Aminah.

Rozana terkedu seketika. Susah untuk dia menafikan. Tapi dia tiada pilihan lain. Dia tidak mahu  Aminah takut berada di rumah itu. Dia mahu Aminah selesa tinggal sebumbung dengannya.

"Ami tak nampak gagak tu, kan? So, gagak tu memang tak ada. Ibu kuat sangat bekerja, tu yang sampai ternampak-nampak apa yang tak ada." 

Rozana cuba berlagak tenang. Hakikatnya, rasa risaunya ketika ini hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa tebalnya.

Aminah tergelak kecil.

"Ibu ingat Ami ni baru darjah dua? Ami ni dah 18 tahun, bu. Bukan lapan tahun. Alasan ibu tu merepek, klise."

"Dah tu, tak kan ibu nak mengaku sesuatu yang... Ami tak nampak..."

"Tapi ibu nampak?" sambung Aminah, yakin.

Buat seketika mereka berdua saling berpandangan.

"Sebenarnya, Ami pun rasa lain macam sejak ke belakangan ni. Sejak kes Faris hilang, lepas tu kita jumpa dia dekat bawah pokok banyan tu, Ami rasa macam ada 'sesuatu' mula jadi tetamu tak diundang di rumah ni dan 'tetamu' tu tak nak balik."

GENDERUWOTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang