Tahun 2016
USAI menggosok gigi dan mencuci muka, Latifah melangkah keluar dari bilik air. Wajah yang masih basah dilap dengan tuala sehingga kering. Sudah menjadi rutinnya setiap kali sebelum tidur akan menggosok gigi dan mencuci muka terlebih dahulu. Tuala disangkut pada penyidai lalu langkah diatur terus menuju ke meja solek. Punggung dilabuhkan di atas kerusi kecil yang berada betul-betul di hadapan meja solek yang menghadap katil. Suaminya yang sedang membaca buku agama dipandang melalui cermin.
"You pasti, nak benarkan Tikah buat kajian kat tasik lombong tu?" soal Latifah, serius. Botol losen tangan di atas meja dicapai.
Halim yang sedang membaca buku Tanda-Tanda Besar Sebelum Kiamat memandang sekilas ke arah isterinya sebelum kembali menatap ratusan huruf di hadapannya.
"Dah dia sebut fasal tasik bekas lombong tu, tak kan saya nak halang? Kajian yang dia nak buat tu akan menentukan result study dia, tau? Kalau saya tak bagi, apa pulak kata dia nanti?" Soalan isterinya baru dijawab.
Keluhan halus, Latifah helakan. Losen di tangan mula disapu rata di seluruh kulit kedua-dua tangannya. Wajah suaminya dipandang lagi melalui cermin.
"Takkan dalam Malaysia ni tak ada tasik lain kut? Banyak lagi tasik lain, kan?" ujar Latifah, mempertikai.
Dia bukan tidak suka dengan lokasi pilihan anak saudara kesayangannya itu. Dia tidak mahu apa yang tersirat di sebalik tasik bekas lombong itu terungkai, yang mana bisa sahaja mengundang malapetaka. Dia tidak mahu hal lama terkuak semula. Selama dia dan suaminya itu membesarkan Mustikah, mereka sudah menyimpan rahsia di sebalik tasik lombong itu sebaik-baiknya.
"Tasik bekas lombong kat Malaysia ni tak banyak, you. Yang ada pun katanya, budak-budak kelas dia yang lain dah ambil untuk dijadikan case study dia orang. Cuma tasik lombong belakang vila arwah Abang Naim aje yang dia rasa tak ramai orang tahu. Sebab tu dia pilih tasik lombong tu." Berjela Halim menjelaskan kedudukan hal yang sebenar. Bukan dia yang tentukan lokasi pilihan Mustikah.
"Lagipun, tasik lombong tu sesuai dijadikan kajian dia sebab tasik tu bersambung dengan anak sungai. Mereka nak kaji sama ada air kat anak sungai tu berbahaya untuk benda hidup atau tak. Mereka nak pastikan kandungan kimia yang mengalir dari tasik lombong tu tak berbahaya," sambung Halim.
Selesai menyapu losen di seluruh tangan, berus rambut pula dicapai. Rambutnya yang semakin kering dan mula beruban diberus perlahan sehingga ke hujung.
"You tak risau kalau dia jumpa sesuatu kat dalam tasik tu?" soal Latifah lagi sambil menyimpul rambutnya di belakang lalu disepit dengan penyepit rambut.
Halim hanya mendengus kasar. Dia tidak tahu bagaimana hendak menjawab pertanyaan isterinya itu. Jika risau menjadi topik utama, nescaya antara dia dan isterinya, dialah yang paling risau. Hal 22 tahun lalu masih segar dalam ingatan walaupun dia cuba melupakannya. Selama ini, dia cuba merahsiakan rahsia di sebalik tasik lombong di belakang vila milik arwah abangnya itu.
Dia terpaksa berpindah dari vila itu semata-mata tidak mahu rahsia itu terkuak dan menjauhkan Mustikah daripada sesuatu yang ada di tasik itu. Dia mahu Mustikah menjalani kehidupan normal seperti gadis-gadis seusianya yang lain.
Tetapi, apabila hal tidak terduga ini berlaku, dia kebuntuan cara. Dia tidak tahu bagaimana hendak berkata 'tidak' untuk permintaan Mustikah itu. Ia melibatkan pelajaran dan masa depan Mustikah.
Buku agama di tangan ditutup lalu diletakkan di atas meja di sisi katil. Hilang fokusnya hendak membaca apabila masalah itu kembali menghantui minda dan fikiran.
YOU ARE READING
GENDERUWO
Kinh dịSejak Faris kerap ke Pohon Banyan di kaki bukit itu, hidup mereka sekeluarga mula terasa aneh. Ternyata tebakan Aminah mengenai adiknya itu, benar! Adiknya itu telah didampingi 'sesuatu'. 'Sesuatu' yang menyerupai seekor mawas! Bukan satu, tetapi d...