"ENCIK nak bawa saya ke mana ni? Tolonglah lepaskan saya. Saya janji saya akan bertanggungjawab tapi lepaskan saya!" rayu Sufi sambil cuba meleraikan cengkaman tangan Hail di pergelangan tangannya.
Hail mendengus marah. Dia tetap mengheret tubuh Sufi tanpa menjawab soalan gadis itu. Beberapa pasang mata yang lalu-lalang memandang mereka dengan pelik.
"Lebih baik kau diam, sebelum aku tampar muka kau dekat sini!" Keras suara Hail kedengaran di telinga Sufi. Dia merenung ke dalam mata Sufi dengan pandangan yang berapi.
Sufi diam tidak berkutik. Kecut perutnya dengan pandangan Hail.
"Saya takkan diam selagi encik tak bagi tahu ke mana encik nak bawa saya. Saya tak nak ikut encik. Encik tak dengar ke?!" bentak Sufi. Dia cuba merentap kembali tangannya tetapi tidak berdaya.
"Kau cakap nak bertanggungjawab, kan? Jadi, aku akan bawa kau ke tempat yang sepatutnya. Kau nak adik kau selamat tak? Kalau kau tak sayangkan adik kau, aku boleh aje suruh orang tamatkan riwayat adik kau macam yang kau buat pada Am. Hutang darah dibayar darah, ingat itu!" jawab Hail dengan cukup bersahaja.
Sufi tersentak. Dia lemah seketika apabila lelaki itu menyebut perihal Ariana. Sesungguhnya saat ini dia begitu risaukan keselamatan adiknya itu.
"Apa jaminan encik lepaskan adik saya? Saya tak boleh percaya encik sewenang-wenangnya!" tegas Sufi. Cuba merentap tangannya kembali.
Hail mengetap bibir. Kedegilan Sufi begitu menguji kesabarannya.
"Ikut aku sekarang!" arah Hail tanpa menjawab soalan Sufi. Telefon yang berada di dalam poket seluar dikeluarkan sebelum dilekapkan di telinga.
"Helo, Baim. Datang depan hospital sekarang!" arahnya seraya mematikan panggilan.
Sufi masih lagi tercengang. Belum sempat pun dia berfikir panjang, kereta Mercedes Brabus berwarna hitam berhenti di hadapan mereka berdua. Sekelip mata tubuhnya ditolak masuk ke tempat duduk belakang. Sufi menjerit kecil. Dia menggigil ketakutan.
"Encik nak bawa saya ke mana ni? Tolong jangan apa-apakan saya! Saya menjerit karang?" ugut Sufi.
Dia mula menggila. Dia meronta-ronta sambil cuba membuka pintu yang dipandu Baim. Nasibnya tidak baik kerana kereta itu auto lock. Apabila dia gagal membuka pintu, Sufi mula bertindak dengan mengetuk-ngetuk cermin kereta.
"Tolong! Tolong! Hentikan kereta ni!" jerit Sufi sekuat hatinya. Malangnya, jeritan Sufi hanya bergema di dalam kereta.
"Tuan, apa kita nak buat ni?" soal Baim cemas. Dia memandang Hail yang duduk di bahagian belakang melalui cermin pandang belakang.
Hail mengetap bibir. Geram. Spontan, dia merentap tangan Sufi dan menarik tubuh itu supaya bertentangan dengan dirinya.
"Diam!" jerkah Hail garang.
Sufi terkaku. Kedudukannya yang begitu hampir dengan tubuh Hail membuatkan hatinya berdenyut tidak menentu. Darah merah menyerbu ke serata wajah. Hanya kelopak matanya yang terkebil-kebil membalas pandangan Hail yang kelihatan marah.
"Dengar sini, aku belum kebulur lagi nak rogol perempuan macam kau ni. Tak berbaloi pun untuk aku. Jadi, kau jangan cari pasal dengan aku sekarang. Sebelum aku ubah fikiran, lebih baik kau diam!" tempelak Hail dengan suara yang keras.
Sufi meneguk liur. Lidahnya kelu seketika. Kata-kata Hail menambahkan lagi bahang di wajah Sufi. Spontan, dia menolak tubuh Hail dengan kuat sehingga pautan tangan Hail terlepas daripada lengannya.
"Sekali lagi encik sentuh saya, saya tak teragak-agak nak tampar encik!" ugut Sufi dengan berani.
Hail mencemikkan muka. Jelingan Sufi langsung tidak terkesan dalam hatinya.

YOU ARE READING
CAGARAN CINTA
General FictionTajuk: Cagaran Cinta Penulis: Siti Khadijah Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-096-0 Muka Surat : 720 Harga: RM28.00 (Semenanjung) // RM31.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : September 2018