PROLOG
"SAYA minta maaf, Am. Ini keputusan dia. Saya tak mampu nak halang."
Suara yang lembut itu tidak mampu untuk menenangkan hati Hamsyari yang sedang galau. Dia tidak menyangka ini semua akan terjadi pada dia setelah hatinya dipenuhi dengan bunga-bunga cinta yang sedang mekar.
Hancur hatinya menjadi keping-keping yang tak akan mungkin bercantum kembali. Ke mana harus dibawa hatinya yang berantakan? Bagaimana caranya ingin merawat jiwanya yang terluka? Perasaan yang terdera?
"Tapi takkan tak boleh bagi saya satu peluang lagi? Saya tak tahu apa salah saya dengan dia sampai sanggup dia tinggalkan saya macam ni? Saya tak pernah berkasar dengan dia. Saya bagi apa saja yang dia nak tapi kenapa dia putuskan hubungan ni? Kenapa? Saya nak jumpa dia." Lirih saja suara Hamsyari kedengaran. Dia menggenggam satu kotak baldu warna merah yang berada di bawah meja.
"Saya tak tahu, Am. Awak jangan tanya saya. Saya cuma ikut cakap dia supaya datang jumpa awak. Dia harap awak jangan ganggu dia lagi atau cuba hubungi dia. Dia tak nak ada sebarang kaitan dengan awak. Saya tahu perkara macam ni susah untuk awak terima tapi suatu hari nanti awak akan faham. Awak lupakan ajelah dia."
Gadis di hadapannya berbicara perlahan. Wajahnya juga nampak tertekan.
Hamsyari tersenyum sinis. Senyuman yang sengaja dilakarkan untuk menyembunyikan rasa yang begitu memeritkan. Air mata yang bergenang akhirnya mengalir jua di pipinya.
"Dia cinta pertama saya. Saya tahu dia akan jadi cinta terakhir saya. Saya tak boleh lupakan dia semudah yang awak cakap. Saya nak penjelasan daripada dia. Dia milik saya! Awak faham tak?!" Suara Hamsyari meninggi.
Gadis itu terkulat-kulat. Dia memandang sekeliling. Beberapa pasang mata yang berada di dalam restoran itu memandang mereka berdua dengan wajah yang penuh tanda tanya.
"Saya minta maaf, saya tak dapat nak tolong awak kali ni. Ini keputusan dia. Saya pergi dulu," ucap gadis itu lalu bangkit meninggalkan Hamsyari keseorangan.
Hamsyari terdiam di tempat duduk. Saat ini fikirannya dipenuhi dengan bayangan wajah itu. Cukup cantik di matanya tetapi sayang, kecantikan itu telah menghancurkan sekeping hati miliknya.
Perlahan-lahan, kotak baldu berwarna merah ditarik dan diletakkan di atas meja. Dia membuka kotak tersebut dengan perasaan yang berkecamuk. Seutas rantai tangan emas terbias di ruang mata berselang-seli dengan gambaran wajah gadis yang berjaya mencuri hatinya.
Segala kenangan yang pernah mereka lalui bersama, terlayar di ruang mata. Tidak kurang juga pengorbanan demi pengorbanan yang dilakukan untuk gadis itu turut tertayang dalam kotak fikiran. Hamsyari tertekan. Dia menekup wajahnya ke meja. Dia menangis meratapi hatinya yang dihancurkan dengan kejam.
"Sampai hati awak buat macam ni pada saya. Saya sayangkan awak. Saya tak boleh hidup tanpa awak," ngongoi Hamsyari tanpa mempedulikan pandangan orang di sekelilingnya.
Apa lagi yang tinggal untuk dirinya setelah hatinya dikhianati sedangkan cintanya sungguh suci?
HAMSYARI memandang kosong telefon bimbitnya. Perit yang dirasakan sungguh tidak tertanggung. Pada siapa ingin diluahkan rasanya saat ini? Dia kehilangan punca. Kekasih hati yang dicintai sepenuh hati menolaknya mentah-mentah. Pada siapa harus dirungutkan beban perasaan yang menghempap diri?
Dia duduk berteleku di atas lantai. Kedua-dua belah lututnya ditarik hingga ke dada. Tiada sesiapa di sisinya saat ini untuk meluah perasaan. Dia keseorangan. Dia kesunyian. Bayang wajah gadis itu tidak mahu hilang dari fikirannya membuatkan jiwa Hamsyari bertambah kusut.
"Jangan kacau aku lagi! Kau tak faham bahasa ke? Aku tak nak ada apa-apa hubungan dengan orang miskin macam kau ni. Kau ingat kau boleh sara hidup aku dengan kerja kau tu? Lupakan ajelah. Selama ni aku rapat dengan kau sebab aku nak hilangkan bosan aku aje."
YOU ARE READING
CAGARAN CINTA
General FictionTajuk: Cagaran Cinta Penulis: Siti Khadijah Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-096-0 Muka Surat : 720 Harga: RM28.00 (Semenanjung) // RM31.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : September 2018