Bab 3

2.6K 44 0
                                    

ANAK mata Baim yang terlindung di sebalik kaca mata hitam masih lagi tidak beralih daripada memandang Restoran Pantai Timur yang dipenuhi oleh orang ramai tengah hari itu. Sesekali dia memandang sekeping gambar yang diberikan oleh Hail sebelum kembali memandang kawasan sekeliling restoran, mencari gadis yang sama seperti di dalam gambar. Namun, hingga sekarang bayang salah seorangnya tidak kelihatan.

"Dah macam spy pun ada gaya aku ni. Kalau aku tanya orang dalam restoran tu, mesti dia orang syak yang bukan-bukan. Buatnya dia orang tuduh aku penculik, pembunuh upahan, naya aku," bebel Baim sendirian.

"Pastikan tiada seorang pun yang tahu tentang Am. Aku nak bersemuka dengan kedua-dua perempuan tu sendiri. Biar aku yang tentukan hukuman apa yang layak dia terima selepas apa yang dia buat pada Am." Suara Hail terngiang-ngiang di lohong pendengaran. Satu keluhan dilepaskan.

Baim sendiri tidak menyangka, tuan mudanya sanggup melakukan perbuatan keji itu semata-mata kerana cinta. Begitu rapuh pegangannya gara-gara cinta yang tidak kesampaian. Tetapi yang menjadi persoalan sekarang ini, siapakah gadis yang bertanggungjawab menghancurkan iman seorang pemuda yang kuat seperti Hamsyari?

Lamunan Baim terhenti apabila sebuah teksi berhenti di hadapan keretanya. Selang beberapa saat, seorang gadis berambut panjang, memakai blaus singkat dan berseluar jean keluar dari perut kereta. Tiada secalit senyuman pun yang terukir di bibirnya. Mata Baim terbuka luas. Sah! Perempuan itu adalah gadis yang sama seperti di dalam gambar yang diberikan oleh Hail. Dia harus bertindak cepat sebelum terlepas.

Sementara itu, mulut Ariana tidak henti-henti mengomel apabila jadual penggambaran yang sepatutnya berlangsung hari ini terpaksa ditunda. Jadi, bagi menghilangkan rasa bengangnya, dia singgah di restoran tempat Sufi bekerja. Bolehlah dia mengisi perutnya yang masih belum terisi.

"Buang masa aku aje mekap beria-ia. Tapi photo shoot cancel. Kalau bagi tahu awal kan senang, tak payah aku packing baju bagai. Dahlah lapar," rungut Ariana. Dia membimbit beg pakaiannya dan ingin mengatur langkah ke restoran.

"Cik..." tegur satu suara dari arah belakang menghentikan langkah Ariana. Dia berpaling sejenak.

"Panggil saya ke?" soal Ariana sebaik saja melihat seorang lelaki yang segak memakai sut berwarna hitam dan berkaca mata hitam berdiri di belakangnya.

"Ya, saya nak jumpa cik sekejap boleh?" soal Baim dengan penuh sopan. Dia menghampiri Ariana yang berdiri di tepi jalan.

Dahi Ariana berkerut. Cuba mengamati wajah lelaki tersebut. Namun, gagal. Wajah itu tiada dalam kotak memorinya.

"Kita kenal ke? Seingat saya, saya tak pernah jumpa awak sebelum ni." Ariana mula menagih kepastian. Dia merenung wajah Baim dengan penuh tanda tanya.

Baim hanya tersenyum manis. Menyembunyikan rasa gusar apabila berhadapan dengan Ariana. Ternyata, gadis yang berhadapan dengannya sekarang ini jauh lebih cantik jika hendak dibandingkan di dalam gambar. Jadi, inikah kekasih tuan mudanya?

"Ya, kita tak pernah jumpa. Saya cuma nak tanya, cik kenal tak lelaki dalam gambar ni?" soal Baim lalu menghulurkan sekeping gambar kepada Ariana.

"Gambar? Gambar apa ni?" soal Ariana lantas menyambut huluran tangan Baim. Dia memandang gambar itu sekilas. Matanya terbuka luas apabila melihat gambar dirinya di samping Hamsyari dan kakaknya, Sufi. Dia kembali memandang wajah lelaki yang tidak diketahui namanya itu, hatinya mula terasa sesuatu. Siapa lelaki ini dengan Hamsyari? Detik hatinya. Kemudian, dia memandang ke arah kereta Mercedes berwarna hitam yang berada di belakang lelaki tersebut. Dia mengecilkan mata.

Takkan dia ini abang Am? Mustahil Am anak orang kaya. Pakai pun selekeh. Pergi kerja pun naik motor. Entah-entah, lelaki ini along tak? Mesti Am pinjam duit dengan dia tapi tak lepas nak bayar jadi dia cari Am. Sebab itulah Am hilangkan diri. Aku kena hati-hati ni, monolog Ariana.

CAGARAN CINTAWhere stories live. Discover now